Oleh Mubarak Ismail
22 Februari 2022, 14:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan Majlis Aspirasi Ketua Pengarah JPPKK 2022 yang disempurnakan oleh Ts. Zainab Ahmad dengan tema “Melestari Ekosistem, Mengadaptasi Pendigitalan” yang diadakan secara hibrid. Majlis turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi JPPKK serta pengarah-pengarah politeknik dan kolej komuniti.

“Melestari Ekosistem, Mengadaptasi Pendigitalan” yang menjadi tema bagi majlis aspirasi kali ini merupakan pendirian yang harus dipegang dalam segala tindakan dan keputusan yang dibuat bagi menjamin kehidupan masa hadapan yang harmoni antara manusia dengan alam sekitar. Tiga pemacu utama yang akan memandu arah masa hadapan kehidupan manusia dan sewajarnya menjadi pertimbangan pokok dalam segala keputusan dan tindak tanduk yang akan diambil ialah ekosistem (ecosystem), kelestarian (sustainability) dan penerimaan digital (digital adoption).

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Zainab Ahmad.

Menurut Ts. Zainab Ahmad, semua 22 Key Performance Indicator (KPI) pada tahun 2021 telah mencapai sasaran yang ditetapkan dan sebanyak 99 peratus institusi pula telah mencapai skor melebihi 85 peratus. Malahan terdapat 95 institusi mencapai skor 100 peratus.

“Pada tahun lalu, saya telah memperkenalkan empat inisiatif utama politeknik dan kolej komuniti sebagai satu organisasi untuk meningkatkan daya tahan mendepani cabaran dan meneraju masa depan. Empat inisiatif utama tersebut termasuklah Majlis TVET Negara, Pemantapan Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT), Pengukuhan Tadbir Urus Institusi dan Pengukuhan PSH Kolej Komuniti,” ujar Ts. Zainab Ahmad.

Ts. Zainab Ahmad turut mengajak dan menyeru seluruh warga politeknik dan kolej komuniti untuk memfokuskan dan mempraktikkan KUSAVA yang membawa maksud pengetahuan dan pemahaman (knowledge and understanding), kemahiran dan aplikasi (skills and application) serta nilai dan sikap (values and attitude). KUSAVA boleh ditanam melalui aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) termasuklah aktiviti pembangunan pelajar dan interaksi secara formal dan tidak formal dalam ekosistem TVET yang bersesuaian di politeknik dan kolej komuniti.

Ts. Zainab Ahmad turut berkata, elemen KUSAVA juga memastikan pelajar dapat membangun secara holistik, berimbang dan mampu menangani fenomena globalisasi yang mencabar, kuantiti maklumat yang melimpah ruah serta teknologi yang semakin pesat di samping pertembungan peradaban Timur dan Barat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.