Oleh Suria Janib
28 Februari 2022, 09:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BALING – Dalam Wacana Diskusi Buku Liku-liku Pertemuan Baling yang ditulis oleh Mejar (B) Dr. Nor Ibrahim Sulaiman yang dapat diikuti menerusi media sosial langsung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada petang Ahad, beliau mendedahkan maksud sebenar di sebalik “pertemuan” yang sebelum ini difahami oleh masyarakat sebagai Rundingan Baling dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang diwakili oleh Chin Peng dan dihadiri oleh beberapa orang pemimpin tertinggi PKM dengan Ketua Menteri Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman pada 28 dan 29 Disember 1955. Wacana Diskusi Buku ini dijayakan oleh Kerajaan Negeri Kedah dan DBP dengan kerjasama Majlis Daerah Baling dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.

Ahli panel dari kiri: Profesor Madya Dr. Mohd. Kasri Saidon, Mejar (B) Dr. Nor ibrahim Sulaiman dan Moderator, Encik Abdul Ghani Abu.

Menurut Dr. Nor Ibrahim, peristiwa bersejarah dalam pertemuan tersebut dikatakan menjadi penentu dan penggerak yang penting terhadap proses kemerdekaan negara, sama ada pertemuan ini menguntungkan pihak British atau di pihak Tunku dan Parti Perikatan pada ketika itu.

“Baling menjadi tumpuan negara dan antarabangsa pada ketika itu yang menyaksikan pertembungan ideologi dunia, malahan Malaya turut terlibat dalam kancah ini,” jelas beliau.

Beliau menegaskan berdasarkan transkripsi asal Pertemuan Baling daripada The Baling Talks, tiada kata putus yang dapat dicapai menerusi hasil “rundingan” sebaliknya lebih kepada “pertemuan” antara kedua-dua belah pihak. Hasil penyelidikan Profesor Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam juga menjelaskan hal yang sama bahawa Pertemuan Baling ini bukanlah hanya sebuah pertemuan biasa, tetapi sebenarnya sebuah pertemuan dua ideologi bertentangan yang mahu menguasai antara satu sama lain.

Ternyata Pertemuan Baling, walaupun tidak memenuhi kehendak Tunku Abdul Rahman untuk membubarkan PKM, namun hal tersebut telah dapat meredakan sementara pengaruhnya. PKM masih tetap tidak dibubarkan sehingga kini.

Penulis buku ini turut memetik kata Tunku yang memperlihatkan ketegasannya dalam pertemuan tersebut bahawa “Kedamaian tidak akan wujud selagi kedua-dua ideologi bercanggah begitu kuat antara satu sama lain. Saya mahu kedamaian. Itu sebabnya saya minta kamu menerima ideologi kami demi 7 000 000 orang rakyat jelata Persekutuan Tanah Melayu.Kamu hanya berjumlah beberapa ribu sahaja, maksud saya, jumlah kamu adalah kecil berbanding dengan kami. Pada masa hadapan, apabila kumpulan ini mungkin menjadi kuat dan apabila mereka kuat, kami akan mengalah kepada mereka.”

Pada akhir konklusi, penulis buku ini menyatakan “satu aspek persamaan antara Tunku dengan Chin Peng, iaitu “keegoan” masing-masing dalam usaha mempertahankan pendirian mereka. Tunku dinukilkan sebagai nasionalis, manakala Chin Peng digambarkan sebagai setia dengan objektif parti yang mengatasi kebajikan rakyat.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Mohd. Kasri Saidon, dari Universiti Utara Malaysia dalam Wacana Diskusi Buku yang sama menyeru seluruh warga negara ini menghayati sejarah lalu bagi mewujudkan semangat patriotik dan jati diri bangsa. Menurut beliau, mengingati detik bersejarah bukan bersifat bermusim yang hanya perlu diingati pada 31 Ogos pada setiap tahun sahaja, sebaliknya perlu ditanamkan semangat patriotisme itu bermula pada awal tahun lagi.

“Misalnya, dengan mengingati sejarah Pertemuan Baling menggambarkan kepayahan dan kesukaran para pejuang nasionalisme pada masa dahulu untuk mencipta keindahan dan kedamaian negara,” jelas beliau di hadapan peserta wacana. Tambah beliau, warga tempatan termasuk penduduk Baling yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India mempunyai jati diri masing-masing serta tidak mudah dipengaruhi oleh pemikiran asing yang dibawa oleh komunis.
“Semua bangsa pada ketika itu bersatu mempertahankan bumi tercinta,” jelas beliau lagi.

Wacana Diskusi Buku Liku-liku Pertemuan Baling ini dikendalikan oleh Ketua Editor Buku Sekolah, Jabatan Penerbitan DBP, Encik Abdul Ghani Abu yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, Tuan Haji Abd. Halim Haji Harun dan wakil kenamaan yang lain.

Buku Liku-liku Petemuan Baling memaparkan cabaran yang dihadapi oleh Tunku Abdul Rahman untuk menghadapi pelbagai tentangan daripada pihak British dan Chin Peng.

Sinopsis Liku-liku Pertemuan Baling

Buku Liku-liku Pertemuan Baling memaparkan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu ketika berhadapan dengan tentangan British terhadap saranan beliau untuk melaksanakan program amnesti dan bertemu dengan Chin Peng. Tunku mengambil tindakan ini supaya proses untuk mendapatkan kemerdekaan dipercepat. British akhirnya akur terhadap desakan Tunku bersandarkan perwatakan beliau yang begitu antikomunis.

Chin Peng pula menyarankan pertemuan tersebut setelah dia menyedari bahawa dia tidak akan berjaya dalam peperangan bersenjata. Sebelum pertemuan itu lagi, kedua-dua tokoh tersebut sememangnya tidak berganjak daripada pendirian masing-masing. Tunku tidak mengiktiraf Parti Komunis Malaya (PKM) dan bertegas supaya parti tersebut dibubarkan serta pengganas komunis menyerah diri, namun pendirian pula Chin Peng sebaliknya. Kegagalan pertemuan ini membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu, manakala Chin Peng dan pasukan gerilanya terus menjadi buruan pasukan keselamatan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.