14 Mac 2022, 20:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok- Walaupun keseorangan diri mengikuti pengajian, hal tersebut tidak mematahkan semangat juang Muhammad Azhar Tazirun Ismail, 28 tahun, sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Pengajian Multimedia pada sesi pertama Majlis Konvokesyen ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Beliau merupakan graduan sulung bagi program pengajian tersebut yang baru ditawarkan kepada pelajar pascasiswazah di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).

“Saya tidak menyangka kerana menjadi satu-satunya pelajar yang mengambil program pengajian ini. Ketika berada di bilik kuliah, saya keseorangan tanpa kawan-kawan untuk berbincang atau bergurau senda. Saya juga menyiapkan tugasan secara sendirian walaupun tugasan yang diberikan itu sepatutnya dilakukan secara berkumpulan,” ujar Muhammad Azhar yang menjelaskan bahawa setiap tugasan bertukar menjadi tugasan individu kerana sesi kuliah hanya dihadiri oleh dirinya sahaja.

“Memandangkan dalam keluarga saya juga merupakan anak tunggal, jadi memang terasa sunyi apabila perlu berjuang seorang diri pada kala jatuh bangun dan suka duka, namun, demi masa depan saya kuatkan semangat bagi mengharungi segala cabaran dengan tunjuk ajar daripada pensyarah yang tidak jemu-jemu membantu,” jelas Muhammad Azhar yang kini bekerja sebagai jurugambar.

Anak tunggal kepada Ismail Jusoh dan Paridah Omar ini memilih UUM untuk menyambung minatnya dalam bidang multimedia yang kini menjadi kursus pilihan ramai pelajar. Menurut Muhammad Azhar, sebaik-baik sahaja tamat persekolahan, beliau memilih kursus Sarjana Muda Multimedia di UUM sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian pada peringkat sarjana atas nasihat bapanya.

Jelas beliau, bagi menampung kehidupan di universiti, beliau melakukan kerja sambilan sebagai jurugambar dan membuat kerja suntingan gambar serta video. Muhammad Azhar menganggap dirinya bertuah kerana UUM yang terkenal dengan keindahan flora dan fauna itu menjadi tempatnya untuk merakamkan panorama indah di Taman Rusa, Bukit Kachi, Pokok Tiga Beradik, Tasik Guthrie dan persekitaran kampus lain.

“Di UUM, saya dididik untuk mewujudkan peluang pekerjaan sendiri dalam bidang keusahawanan, sekaligus menjana pendapatan sebagai persiapan untuk mencari pekerjaan tetap dalam suasana ekonomi yang tidak menentu berikutan pandemik COVID-19. Melalui kesempatan yang diberikan itu juga, saya berpeluang untuk terlibat dalam aktiviti pelajar pada peringkat antarabangsa seperti menyertai kursus fotografi serta peluang keusahawanan dalam program “Creativepreneur Incubator” yang membuka laluan mudah untuk menubuhkan Daeha Photography Enterprise,” jelas anak kelahiran Rantau Panjang, Kelantan ini.

Merupakan antara 99 orang graduan sulung pada Majlis Konvokesyen Ke-33 bagi sesi pertama yang menerima ijazah sarjana daripada Naib Canselor, Muhammad Azhar merakamkan penghargaan kepada seluruh pensyarah, pengurusan universiti serta kedua-dua ibu bapa yang banyak membantu dan mendoakan kejayaannya menamatkan pengajian.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.