16 Mac 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Tiada istilah mengalah walaupun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU). Berbekalkan semangat itu, graduan Sarjana Muda Pengurusan Acara, Muhammad Farid Anuar terus melangkah bagi menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Saya juga mahu berjaya dan membuktikan bahawa saya juga boleh belajar sehingga mendapat segulung ijazah.

“Adik saya, Muhammad Fuad merupakan graduan Sarjana Muda Fizik dan Elektronik dari Universiti Malaysia Sabah, jadi saya juga mahu buktikan saya boleh tandingi dia dan berada di ‘level‘ yang sama dengan dia walaupun saya serba kekurangan,” katanya ketika ditemui pada sesi kelima Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM, semalam.

Terus berjuang melawan penyakit Cerebral Palsy, iaitu kecacatan otak atau otot yang dideritai, Muhammad Farid tidak pernah menjadikan penyakitnya itu sebagai alasan untuk mencipta kejayaan seperti orang lain.

Berpegang pada prinsip “jangan mengalah sebelum berjuang” dan “usaha tangga kejayaan” anak kelahiran, Muar, Johor itu memilih UUM untuk melanjutkan pengajian setelah mendapati universiti ini menyediakan kemudahan yang kondusif kepada para pelajar OKU dan amalan budaya kecemerlangan ilmiah yang memberikan keselesaan kepada golongan sepertinya.

Naib Canselor UUM meluangkan masa beramah mesra dengan Muhammad Farid Anuar sekeluarga semasa Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM, semalam.

“Saya membawa harapan keluarga, sekali melangkah terus ke hadapan dengan penuh yakin, berani dan paling penting jangan peduli kata orang. Saya utamakan reda ibu bapa sekiranya ingin berjaya di dunia mahupun di akhirat.

“Cabaran sebagai pelajar OKU tidak dinafikan terutamanya ketika hendak ke kuliah, perpustakaan, menyiapkan tugasan dan perbincangan dengan rakan-rakan, jadi saya sentiasa menjaga kesihatan dan meletakkan sasaran untuk mencapai impian,” katanya yang menghidap penyakit tersebut sejak berusia sembilan bulan.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Thendabani a/l Raja mengakui pengalaman melanjutkan pelajaran ke menara gading cukup bermakna yang menjadikannya lebih berilmu dan berkeyakinan menghadapi dunia luar.

Thendabani a/l Raja, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat ketika menjawab pertanyaan daripada Naib Canselor UUM.

Menurutnya, menjadi pelajar “istimewa” tidak membuatnya lebih istimewa untuk menuntut ilmu kerana dia belajar sama seperti rakan-rakan lain dan turut menyertai program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pusat pengajian.

“Saya gembira kerana berpeluang untuk bersama-sama rakan sekuliah lain yang tidak pernah meninggalkan saya, malah pensyarah juga banyak membantu dalam pelajaran sehingga saya berjaya menamatkan pengajian.

“Terima kasih kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang telah banyak memberikan semangat dan dorongan, begitu juga semua pendidik yang bertungkus-lumus mencurahkan ilmu kepadanya dengan penuh sabar dan dedikasi,” katanya yang menghidap penyakit gangguan saraf “dystonia” yang menyebabkan pergerakan otot sukar dikawal.

Kecekalan dua graduan OKU ini turut mendapat perhatian daripada Naib Canselor yang meluangkan masa beramah mesra dengan mereka dan pada masa sama mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya mendapat ijazah masing-masing.

Sumber foto: Shamsaimi Ezil

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.