19 Mac 2022, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Kegembiraan berganda! Itulah perasaan seorang ayah dan anak perempuannya yang berkongsi pentas untuk menerima ijazah masing-masing pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dr. Alias Mat Nor bersama-sama anaknya, Nur Atiqah masing-masing merupakan graduan Diploma Pascasiswazah Pembelajaran dan Pengajaran Pendidikan Tinggi (PGDHELT) dan graduan Ijazah Sarjana Sains (Kewangan) menerima ijazah mereka yang disampaikan Naib Canselor.

Dr. Alias Mat Nor menerima Diploma PGDHELT daripada Naib Canselor UUM.
Nur Atiqah menerima Ijazah Sarjana Sains (Kewangan) daripada Naib Canselor  UUM.

Menurut Dr. Alias yang juga Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), beliau reda apabila dimaklumkan majlis konvokesyen yang sepatutnya berlangsung pada 2020 terpaksa dibatalkan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Namun saya pasti apa-apa yang berlaku ada hikmahnya dan ternyata inilah hikmah di sebalik konvokesyen yang ditangguhkan dahulu apabila saya dapat bergraduasi bersama-sama anak sulung pada hari yang sama setelah dua tahun menanti.

“Rupanya Allah mahu saya konvo dengan anak, berkongsi pentas pada hari yang cukup bersejarah kepada kami berdua,” katanya.

Dr. Alias berkata, cabaran paling besar ialah pengurusan masa dalam menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan dan juga kerja hakiki.

Menurutnya, sebagai orang industri yang sudah berkecimpung lebih 25 tahun dalam perbankan, beliau mesti faham dan tahu akan ilmu sebagai seorang ahli akademik, justeru melalui PGDHELT banyak kaedah dan ilmu baharu diperoleh dan boleh diaplikasikan sepenuhnya dalam bidang tugas.

Sementara itu, Nur Atiqah berkata, peluang memasuki dewan konvokesyen bersama-sama bapanya ialah anugerah yang tidak disangka-sangka dan perancangan Allah yang sangat indah.

“Saya rasa amat bersyukur kepada Allah kerana berjaya menghabiskan pengajian di peringkat sarjana ini. Semestinya saya gembira dan sangat teruja untuk menghadiri majlis konvokesyen, tambah pula bersama-sama bapa yang juga graduan 2020.

“Saya berbangga dengannya kerana bapa saya bermula dari bawah dari segi pembelajaran dan pekerjaan, malah dia sentiasa mendorong anak-anak untuk berjaya dalam apa-apa jua bidang yang diceburi.

“Beliau menjadi contoh kepada saya dan adik-adik untuk terus mencari ilmu meskipun dimamah usia. Bapa saya merupakan penasihat akademik yang terbaik, manakala ibu saya pula kaunselor terhebat dan juga pendengar setia yang sentiasa memberikan bahu untuk bersandar di saat saya menghadapi masalah,” katanya yang memiliki Diploma Akauntansi di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis dan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang Pengurusan Perniagaan (Kewangan Islam dan Perbankan).

Dr. Alias  bergambar bersama-sama keluarganya selepas sesi  Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM.

Tambah Nur Atiqah, dia berharap agar kejayaan bersama-sama bapanya itu akan menjadi teladan kepada adiknya untuk turut mengikut jejak langkah mengejar ilmu sehingga ke menara gading.

Sumber foto: Ihsan daripada graduan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.