Oleh Mohd Hadi Roslan
21 Mac 2022, 19:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hulu Kelang – Seawal 7:00 pagi, guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Kelang telah bersedia di pintu pagar sekolah untuk menyambut kedatangan murid-murid. Murid-murid SK Hulu Kelang kelihatan riang dan bersemangat semasa hadir ke sekolah untuk memulakan sesi persekolahan 2022. Ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak-anak mereka sehingga di pintu pagar sekolah sahaja.

Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid-murid SK Hulu Kelang berjalan dengan lancar mengikut sistem penggiliran yang ditetapkan. Murid-murid prasekolah, tahun 1, tahun 2 dan  tahun 6 dikehendaki hadir penuh tanpa penggiliran manakala murid-murid tahun 3, tahun 4 dan tahun 5 hadir mengikut penggiliran kumpulan A dan kumpulan B.  Murid-murid juga diingatkan agar tidak hadir ke sekolah sekiranya mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selesema.

Menurut seorang murid Tahun 2 Intelek, Nurul Irdina Balqis Windra, dia dan abangnya bangun awal pada hari ini kerana hendak ke sekolah. Jelasnya lagi, dia ingin berjumpa dengan guru-guru dan rakan-rakannya. Dia mahu belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dalam pelajaran.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Khairah Duru Laman berharap agar murid-murid dapat menjalani sesi pembelajaran 2022 ini seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). “Pihak sekolah sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan murid-muridnya terjaga. Mereka dikehendaki menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan kerap untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19,” jelas Puan Khairah. Tambah beliau, Peraturan dan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa diikuti bagi mengekang berlakunya jangkitan.

Sementara itu, seorang lagi guru SK Hulu Kelang, Puan Wang Lock Hui berkata, “Saya bersyukur kerana pada tahun ini, murid-murid dapat mengikuti PdP secara bersemuka. Persediaan yang rapi telah dibuat oleh pihak sekolah bagi memastikan murid-murid yang hadir ke sekolah dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan selesa. Guru-guru telah bergotong-royong membersihkan kelas seminggu sebelum memulakan sesi persekolahan.” Beliau berharap, anak-anak didiknya dapat menimba ilmu dan belajar bersungguh-sungguh agar dapat menjadi warganegara yang baik dan berbakti kepada negara pada suatu hari kelak.

SK Hulu Kelang mempunyai murid sebanyak 860 orang dan 46 orang guru. Sebahagian kecil muridnya terdiri daripada orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman Kampung Kamensah. Sekolah ini juga terkenal dan tidak asing namanya dalam kalangan peminat filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Suatu ketika dahulu, SK Hulu Kelang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Masam-masam Manis lakonan P. Ramlee. Sehingga hari ini, bangunan yang dijadikan lokasi penggambaran filem itu masih kekal terpelihara. Difahamkan bahawa sekolah ini antara sekolah yang tertua di kawasan Ampang. SK Hulu Kelang dibina bagi menyediakan keperluan pendidikan untuk anak-anak penduduk setempat.

Murid-murid sekolah ini diharapkan dapat menuntut ilmu sehingga berjaya ke menara gading. Semoga kejayaan sentiasa menjadi milik murid-murid SK Hulu Kelang.  Dalam usaha menghadapi wabak COVID-19 pula, murid-murid perlulah mematuhi SOP yang ditetapkan agar mereka dapat belajar dalam keadaan yang selamat dan sejahtera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.