Oleh Rosmani Omar
26 Mac 2022, 18:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap hormat daripada Pasukan Floria DiRaja Putrajaya yang terdiri daripada tujuh orang pegawai yang mewakili Perbadanan Putrajaya di Galeri DiRaja Arau, Perlis. Kunjungan sembah mengadap tersebut diketuai oleh Puan Haslinda Khalid, iaitu Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Taman, Jabatan Landskap, Perbadanan Putrajaya.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Pasukan Floria DiRaja Putrajaya.

Floria Diraja Putrajaya 2022 dirancang untuk diadakan oleh Perbadanan Putrajaya pada 29 Ogos 2022 hingga 4 September 2022 selama tujuh hari bertempat di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya. Perancangan tersebut dipersembah maklum kepada baginda Tuanku Raja Muda oleh Puan Haslinda semasa sembah mengadap hormat berkenaan.

Menurut Puan Haslinda:

Ini adalah kali ke-12 Festival Bunga dan Taman DiRaja Putrajaya bertaraf antarabangsa ini dianjurkan untuk memeriahkan lagi suasana Bandar Putrajaya. Acara ini yang juga merupakan salah satu produk pelancongan negara akan dapat menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke Putrajaya.

Tambah Puan Haslinda lagi, acara yang akan diadakan pada tahun ini bertemakan Bunga Orkid dan tema acara ialah Floria Hebat (Awesome Floria). Pelbagai program akan diadakan sepanjang festival ini seperti taman pameran, taman khas, pertandingan orkid dan bonsai, jualan pokok bunga, produk perkebunan dan aktiviti harian yang menarik. Program ini akan melibatkan penyertaan pihak antarabangsa dan dalam negara.

Melalui sembah mengadap hormat tersebut, Pasukan Floria DiRaja Putrajaya mempersembahkan pokok Orkid Phalaenopsis yang merupakan bunga yang menjadi tema program Floria DiRaja Putrajaya 2022 kepada Raja Muda Perlis. Turut dipersembahkan ialah koleksi buku yang berkaitan dengan pokok berbunga yang termasuk dalam penganjuran Floria sebelum ini yang ditanam di sekitar Putrajaya.

Penganjuran Festival Bunga dan Taman DiRaja Putrajaya pada tahun-tahun sebelum ini merupakan kebanggaan Malaysia dan kegemilangan terhadap festival yang bertaraf antarabangsa. Pokok-pokok berbunga yang ditanam di sekitar Putrajaya menghasilkan impak yang cukup bermakna  kepada pengunjung dengan suasana berwarna-warni terutama pada musim berbunga antara bulan Mac hingga Mei dan terdapat juga pokok yang berbunga sepanjang tahun. Usaha dan hasil kejayaan ini adalah sejajar dengan konsep Putrajaya sebagai Bandar dalam Taman dan Bandar Berbunga.

Turut hadir mengiringi Puan Haslinda ialah pegawai Jabatan Landskap, Perbadanan Putrajaya, iaitu Encik Jamalludin Budin, Puan Noor Shazlin Mohd Sharif, Encik Muhammad Salihuddin Mohd Naser, Encik Mohd Sukri Rusalan, Puan Mariana Abdul Malik dan Puan Nurul Ain Mohamad Fazli.

Raja Muda Perlis, Floria
Pasukan Floria DiRaja Putrajaya melihat barangan yang dipamerkan di Galeri DiRaja Arau, Perlis.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.