30 Mac 2022, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – “Demi memastikan Universiti Utara Malaysia (UUM) mampu bersaing di semua peringkat, UUM perlu diperkasakan dalam segenap aspek mengikut acuan sendiri berdasarkan keadaan semasa universiti. Selain itu, tahun 2022 bakal menjadi penanda aras buat UUM dalam usaha menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka menerusi Pelan Strategik UUM,” ujar Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam Kursus Penjawat Utama UUM Tahun 2022 di EDC UUM semalam.

Menurut beliau lagi, pendidikan merupakan sektor kritikal yang menjadi akses kepada tadbir urus terbaik, kepimpinan berkualiti dan sumber kewangan yang kukuh serta berperanan penting dalam memacu kecemerlangan universiti. Selain itu, beliau turut mengingatkan semua warga UUM tentang matlamat utama kewujudan UUM, iaitu mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global.

Para peserta Kursus Penjawat Utama UUM Tahun 2022 di EDC UUM.

Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kelompok pemimpin UUM menjadi tunjang kepada komuniti di pusat tanggungjawab (PTJ) masing-masing agar lebih cemerlang secara kolektif untuk memberi yang terbaik kepada universiti. Di samping itu, skop tadbir urus dan kepimpinan merangkumi aspek tatacara ketua jabatan dan para pegawai pada semua peringkat pengurusan untuk melaksanakan tanggungjawab secara telus dan berhemah dari segi pengambilan dan penyampaian hasil, budaya kerja, dasar, strategi serta tatacara berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan (stakeholders).

Tambah beliau, tadbir urus dan kepimpinan yang berkualiti mencerminkan sikap profesionalisme sebagai penjawat awam yang dapat meningkatkan keyakinan dan persepsi masyarakat luar terhadap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan secara amnya dan dapat mencapai matlamat. Selain itu, seorang ketua perlu menjadi teladan dengan mempamerkan komitmen yang tinggi terhadap prinsip tadbir urus yang terbaik di samping mempunyai visi, integriti, pemikiran strategik, hubungan kerja yang produktif, saluran komunikasi yang berkesan dan berupaya untuk menghasilkan pencapaian

“Kursus ini dapat membuka ruang kepada semua warga UUM untuk memahami inspirasi universiti, menjalankan amanah dan tugas dengan lebih sempurna serta dapat meningkatkan kemahiran diri dan pengetahuan melalui pengisian yang telah diatur,” kongsi Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Kursus ini disertai oleh 134 peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Dekan dan Timbalan Dekan Pusat Pengajian, Pengarah dan Timbalan Pengarah Pusat Tanggungjawab serta Pengetua Inapan Siswa (INASIS).

Sepanjang kursus berlangsung, semua penjawat utama akan mengikuti dua slot ceramah, iaitu Slot 1 bersama dengan Profesor Madya Dr. Engku Ismail Engku Ali dan Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz. Manakala Slot 2 pula bersama dengan Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.