Oleh Periasamy Muthan
15 April 2022, 18:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Islam merupakan agama kedua terbesar di dunia dengan peratusan 21.01 peratus, manakala agama terbesar, iaitu agama Kristian pula mencakupi 33.32 peratus, diikuti agama lain seperti Hindu (13.26 peratus) dan Buddha (5.84 peratus).

Menurut sebuah laman web, www.worldpopulationreview.com, dianggarkan populasi penganut Islam di dunia pada tahun 2020 ialah 1.91 bilion dan mendiami hampir semua negara, khasnya Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Nigeria, Iran, Turki, Algeria, Maghribi dan Mesir.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2020 adalah sebanyak 32.73 juta. Daripada jumlah ini, kaum bumiputera merangkumi  65.1 peratus,  Cina (26 peratus), India (7.7 peratus) dan selebihnya diwakili oleh kaum lain. Jika dilihat dari segi anutan, komposisi rakyat yang beragama Islam adalah sebanyak 60.4 peratus, penganut Buddha (19.2 peratus), penganut Kristian (9.1 peratus), penganut Hindu (6.3 peratus) dan penganut Konfucius atau Taoisme, serta fahaman tradisi Cina pula ialah 2.6 peratus. Maka itu, dapat dinyatakan bahawa majoriti penduduk Malaysia yang berpegang pada ajaran Islam hampir mencecah 17 juta orang.

Sebagai pegangan agama yang utama di negara ini, Islam sudah lama bertapak seawal kerajaan Melayu awal. Islam diterima baik oleh rakyat pada ketika itu sehingga sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu. Di bawah Perlembagaan Persekutuan (Malaysia), Islam diangkat sebagai agama persekutuan di bawah Perkara 3 (1).

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada penduduk berbilang kaum, etnik, agama, budaya dan kepercayaan, wujud satu peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan bahawa agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan secara aman dan damai.

Pada masa itu, ketika umat Islam di Malaysia menyambut bulan Ramadan al-Mubarak 1443 Hijrah dengan menunaikan ibadah berpuasa, masyarakat bukan Islam turut meraikan rakan taulan mereka yang beragama Islam menyambut bulan puasa. Bagi umat Islam, Ramadan dianggap sebagai bulan yang mulia kerana al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia agar melakukan amalan yang baik dan menghindari perbuatan yang boleh menjauhkan mereka daripada Yang Maha Esa.

Ibadah puasa ialah satu kewajipan yang merupakan satu daripada Rukun Islam. Umat Islam amat menantikannya kerana mereka percaya bahawa pada bulan ini, segala pintu taubat akan dibuka dan sekiranya mereka menjalankan banyak ibadah seperti yang dituntut oleh Islam, nescaya mereka akan dicurahkan dengan pahala yang berlipat ganda. Bahkan, pintu syurga dibuka dan segala amalan ibadah yang dilakukan akan dicatatkan.

Hidup dalam masyarakat majmuk, kita perlu mengetahui bahawa amalan berpuasa juga terdapat dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Sebagai contoh, masyarakat Hindu berpuasa (antara tiga hingga 30 hari) bagi tujuan sembahyang bagi sesuatu perayaan agama Hindu. Bukan itu sahaja, orang India dan Cina yang beragama Hindu, Tao dan Buddha juga mengamalkan pemakanan sayur-sayuran bagi menyambut hari keagamaan seperti Hari Thaipusam dan Hari Menyembah Guanyin.

Rakyat Malaysia, tidak kira kaum Melayu atau bukan Melayu, kita perlu sedar terhadap peri pentingnya kefahaman terhadap kepelbagaian agama dan kepercayaan dengan nilai yang bersifat universal. Antara nilai Islam yang bersifat universal atau sejagat adalah seperti tiada paksaan dalam agama (Surah al-Baqarah), berbuat baik dan adil kepada umat Iain (Surah al-Mumtahanah), jangan menghina sembahan yang lain selain Allah SWT (Surah al-An’am), yang paling akrab dengan mukminin, iaitu orang Nasrani (Surah al-Ma’idah), serta kepelbagaian bangsa dan kelompok untuk taaruf atau saling kenal mengenali (Surah al-Hujurat).

Sehubungan dengan itu, setiap usaha perlu dipertingkatkan untuk saling memahami, menghayati, serta menerima perbezaan agama dan kepercayaan yang wujud di Malaysia. Malah, rakyat Malaysia perlu menumpukan kepada titik pertemuan nilai murni dalam pelbagai agama serta meraikan perbezaan itu sebagai asas kekuatan negara.

Amalan budaya hormat-menghormati antara agama lain ialah asas dan teras untuk memelihara kesejahteraan, keharmonian dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum di Malaysia. Sementara itu, umat Islam berpuasa dan menunaikan ibadah Qiyam Ramadan serta memperbanyak perbuatan kebajikan. Masyarakat bukan Islam pula harus menghayati bulan Ramadan sebagai bulan yang mulia untuk merapatkan hubungan mesra sesama mereka dalam menyemarakkan lagi tautan Keluarga Malaysia.

Malah masyarakat bukan Islam harus digalakkan untuk menyertai iftar Ramadan (berbuka puasa) bersama-sama umat Islam bagi mengeratkan semangat silaturahim dalam kalangan rakyat di Malaysia yang dapat merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia. Rakyat di negara Barat yang tenggelam dalam Islamophobia pada suatu ketika dahulu kini kelihatan menganjurkan program iftar secara besar-besaran bersama-sama warga Islam untuk meraikan bulan Ramadan.

Rakyat Malaysia haruslah menerapkan nilai murni supaya dapat melahirkan keharmonian dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama. Marilah bersama-sama berdoa agar kita diberkati dengan nikmat rezeki Ramadan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.