5 Mei 2022, 21:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru pelajar agar lebih mengkaji akan kekuatan subjek dalam bidang pengajian bagi memastikan bakat dan kebolehan diri bersesuaian dengan permintaan industri kini.

Bukalah mata untuk memilih kerjaya yang bakal diceburi selepas tamat belajar bermula dari peringkat awal. Mungkin kerjaya tersebut selari dengan sijil kelulusan, tetapi mungkin juga berlainan bidang.

“Maka kenali faktor penarik sebelum membuat keputusan memilih kerjaya idaman masing-masing.

Demikianlah titah baginda selepas berkenan berangkat singgah menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Hanafi Shafie, seorang pelukis yang berniaga secara dalam talian dan sedang menjaga ibunya yang sakit di Kg. Chantik, Padang Besar baru-baru ini.

Menurut baginda, graduan kini kebanyakannya mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang berbeza daripada bidang atau subjek yang dipelajari oleh mereka semasa pengajian. Namun begitu, baginda menegaskan perkara ini bukan suatu masalah yang besar.

“Dapatkanlah nasihat daripada mereka yang berpengalaman dan berjaya, terutamanya sekali dalam aspek pengalaman dan kejayaan atau kegagalan sepanjang laluan kerjaya mereka untuk dijadikan sebagai iktibar. Dapatkan pandangan mereka berkaitan dengan keperluan kemahiran terkini atau perkara yang diharapkan oleh majikan terhadap seseorang pekerja mereka,” titah baginda lagi.

Terdahulu, turut mengiringi baginda dalam agihan sumbangan zakat ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd. Nazim Mohd. Noor bagi menyantuni Mas Suenah, seorang penoreh getah yang berusia  50 tahun dan Roslan Md Desa, 54 tahun, yang bekerja kampung sempena program “Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf” di rumah masing-masing.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.