10 Mei 2022, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wang Kelian – “Gejala rasuah memberikan kesan terhadap hal keselamatan sempadan negara, termasuklah alam sekitar. Akibatnya, budaya rasuah menyebabkan berlakunya aktiviti penyeludupan yang tidak sihat. Jika tidak dibendung, perkara ini boleh menjejaskan imej keselamatan negara dan merosakkan alam sekitar di sempadan negara.”

Menurut Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, jenayah rasuah jelas memberikan kesan terhadap ekonomi, bahkan merosakkan reputasi sesebuah negara.

Dalam laporan Transparency International, dunia telah mengalami kerugian kira-kira sejumlah A.S.$2.6 trilion pada setiap tahun, yakni anggaran rasuah sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-10 Bagi Tahun 2022 berlangsung di Masjid Nurul Husna.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program “Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-10 Bagi Tahun 2022” bertempat di Masjid Nurul Husna, Wang Kelian baru-baru ini.

Turut mengiringi baginda dalam program ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd. Shokri Abdullah.

Baginda turut bertitah,

Kesalahan rasuah bukannya hanya sekadar memberi dan menerima, tetapi juga merangkumi pelbagai kesalahan lain, termasuklah tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa sepertimana termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di bawah Seksyen 16, 17, 18 dan 23.

Jika disabitkan kesalahan di bawah akta SPRM boleh dipenjarakan tidak lebih daripada 20 tahun dan denda lima kali suapan atau RM10 000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

DYMM Raja Muda Perlis menyerahkan sumbangan sebanyak RM12 000 kepada golongan asnaf di Wang Kerian.

Sementara itu, Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih, yakni masing-masing menerima RM400 setiap seorang dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan melalui amilnya, Md. Razak Md. Daud.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.