15 Mei 2022, 18:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Tahun 2022 memperlihatkan Universiti Malaysia Kelantan, Bachok, Kelantan terpilih sebagai lokasi untuk meraikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Pagi ini, berlangsungnya perasmian Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2022, suatu acara mega sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51. Sambutan Hari Guru pada tahun ini julung kalinya diadakan di Kelantan dengan tema “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA”. Festival Guru Malaysia yang bermula pada 12 Mei 2022 lalu diisi dengan pelbagai kegiatan dan pameran, khususnya pameran yang berkaitan dengan dunia pendidikan profesion keguruan.

Pada pagi ini, Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2022 telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan. Dalam ucapannya, beliau menjelaskan dalam melaksanakan kerja, secara kebiasaannya kita mengikut teori motivasi yang mempengaruhi seseorang bekerja dengan baik. Teori itu seharusnya dipegang oleh setiap individu agar dapat melaksanakan kerjanya dengan tekun, seterusnya memberikan hasil kerja yang baik dan sempurna.

Sebaliknya, teori yang mengaitkan amalan bekerja dengan penuh keikhlasan dan kejujuran pula menunjukkan hubungan pekerja itu dengan Tuhan bagi memperoleh keberkatan daripada hasil kerjanya. Melakukan kerja yang terbaik atas nama amanah yang diletakkan di atas bahu kita, yang pada khirnya nanti kerja itu akan memberikan suatu kepuasan motivasi intrinsik untuk membolehkan kita terus melaksanakan yang terbaik.

YB Datuk Dr. Radzi Jidin

Menurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, dalam pendidikan, yang paling penting untuk dijadikan terapi dalam kerjaya sebagai guru ialah keikhlasan dan kejujuran. Lantaran itu, dalam majlis apresiasi seperti yang berlangsung pada hari ini, kementerian akan memastikan usaha yang dilakukan oleh guru bukan setakat di sekolah tempatnya mengajar, malahan harus dikembangkan ke sekolah lain jika ada yang bersesuaian, terutamanya pendekatan yang tidak memerlukan kos yang tinggi serta dapat dilaksanakan dengan cepat dan mudah.

Tambah beliau, hal ini penting supaya peranan guru terus signifikan dalam usaha melahirkan generasi yang mampu bersaing pada peringkat dunia. Anugerah apresiasi pula merupakan asas kecil untuk kita mewujudkan suatu budaya baharu supaya guru dan pelajar dapat membentuk ekosistem pendidikan yang boleh melahirkan modal insan yang hebat dan mampu bersaing dengan sesiapa sahaja.

Sebelum itu, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), iaitu Tuan Haji Aminudin Adam. Dengan nada penuh gembira dan rasa syukur, beliau menyatakan, “Festival ini memberikan peluang kepada semua pihak untuk berkongsi maklumat dan pengalaman. Seharusnya, festival ini diteruskan acaranya setiap kali sambutan hari guru sebagai usaha mengangkat prestij profesion keguruan.”

Bagi pihak YGMB, beliau berasa bangga kerana YGMB berjaya menganjurkan festival yang berkonsepkan kesepaduan dan permuafakatan, dan beliau berharap agar festival ini dapat menambahkan lagi kemeriahan sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun. YGMB juga akan terus komited membantu kebajikan guru dan meningkatkan profesionalisme guru di Malaysia. Yang pasti, YGMB akan sentiasa membuat penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan para guru.

Festival yang berlangsung selama lima hari ini mendapat sokongan padu daripada pihak swasta dan sektor korporat seperti Bank Simpanan Nasional, Celcom, Sharp, Perodua, Bank Islam Malaysia Berhad, Nestle dan McDonald, termasuklah kesatuan guru, wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dalam majlis yang sama turut disampaikan pelbagai anugerah kepada guru yang telah memulakan inisiatif dan usaha untuk melakukan yang terbaik dalam memenuhi tanggungjawab sebagai guru. Anugerah ini juga rentetan rasa kecintaan guru terhadap profesion perguruan supaya anak didik generasi pewaris negara dapat dilahirkan, seterusnya mampu bersaing pada peringkat dunia. Inisiatif dan usaha ini juga dilakukan dengan penuh rasa keikhlasan dan kejujuran untuk melihat anak didik mereka memperoleh kecemerlangan.

Para pendidik dari seluruh negara yang turut serta memeriahkan Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2022.

Antara anugerah yang diberikan termasuklah anugerah tajaan YGBM seperti Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Inovatif (tajaan YGBM), Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Ikon (tajaan Bank Islam Malaysia Berhad), Anugerah Ikon Guru Kurikulum dan Sukan (tajaan Nestle) dan Anugerah Cikgu Juara Digital (tajaan Perbadanan Kemajuan Multimedia). Acara lain yang turut mengisi festival ini ialah penyampaian Hadiah Cabutan Apresiasi Ahli YGMB Festival Guru Malaysia 2022 kepada Nuraizila Mohd Radi dari Sekolah Kebangsaan Chembong, Negeri Sembilan yang memenangi sebuah kereta Perodua Myvi tajaan Perodua.

Acara pagi tadi diserikan dengan persembahan biola oleh Akmal Danial yang menjadi Ikon Teknik dan Vokasional Malaysia 2012-2018 dan Ikon Yayasan Pelajaran Johor 2019-2022 serta persembahan daripada artis Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan dan persembahan nyanyian lagu “Budaya Kelantan” oleh Poyie Gasi.

YBhg. Datuk Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia turut menghadiri majlis perasmian yang dihadiri 16 kontinjen yang mewakili Pejabat Pendidikan Daerah dari seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.