Oleh Suria Janib
16 Mei 2022, 14:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun ini berlangsung di Dewan Canselori, Universiti Malaysia Kelantan. Pemilihan Kelantan sebagai lokasi majlis sambutan hari guru merupakan yang pertama kali bagi negeri yang terkenal dengan gelaran “serambi Mekah” itu. Sebelum berlangsungnya perasmian Hari Guru yang disambut pada hari ini, pihak urus setia sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan telah mengadakan beberapa aktiviti bagi mengisi jadual sambutan selama lima hari, antaranya termasuklah forum, penyampaian anugerah dan Festival Guru Malaysia, yang diadakan khusus untuk menghargai jasa dan sumbangan warga pendidik.

Pada pagi ini, acara kemuncak sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ialah perasmian sambutan Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei pada setiap tahun. Pada tahun ini, “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA” dijadikan tema sambutan Hari Guru. Berdasarkan tema tersebut, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin menjelaskan ungkapan “SEJAHTERA” yang terangkum dalam tema Hari Guru itu merupakan ungkapan yang selaras dengan konsep “Sekolahku SEJAHTERA”. Konsep “Sekolahku SEJAHTERA” yang dilancarkan pada 21 Februari 2022 telah dirangka berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan dengan hal itu, “SEJAHTERA” yang terdapat pada tema Hari Guru pada tahun ini merupakan konsep yang bermatlamat untuk menjadikan murid sekolah sebagai pewaris negara yang memahami dan menghayati beberapa konsep penting dalam kehidupan. Menurut YB Datuk Dr. Radzi, “Dalam konsep SEJAHTERA, ada 14 elemen nilai kehidupan, dan setiap huruf dalam konsep itu mempunyai elemen tertentu.”

Tambah beliau, “Bukan bermakna hanya 14 elemen dalam kehidupan yang harus dihayati dan difahami serta diaplikasikan oleh murid, tetapi sekurang-kurangnya apabila murid sudah keluar daripada sistem persekolahan nanti, mereka dapat memahami dan menghayati nilai-nilai penting dalam kehidupan mereka. Melalui konsep SEJAHTERA, diharapkan mereka benar-benar memahami dan menerapkan nilai tersebut dalam kehidupan, khususnya apabila mereka tamat persekolahan.

Secara khusus, YB Datuk Dr. Radzi menjelaskan bahawa terdapat 14 elemen yang terkandung dalam konsep “SEJAHTERA”, iaitu selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi. Kesemua elemen tersebut akan diterapkan secara langsung dan tidak langsung oleh guru dan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran, termasuklah semasa melakukan aktiviti kokurikulum di sekolah. Kesemua elemen itu juga akan diterapkan seawal prasekolah dan diteruskan sehingga ke peringkat sekolah menengah. Atas kewajaran itulah, tema Hari Guru pada tahun ini ialah “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA”

Dalam ucapannya juga, YB Datuk Dr. Radzi  menyatakan bahawa setelah mengadakan sesi libat urus dengan pentadbir sekolah, suatu keputusan telah dibuat berkaitan dengan penetapan jadual sekolah. Berdasarkan ketetapan tersebut, pihak KPM akan menyediakan satu platform atau aplikasi khas yang akan digunakan oleh semua sekolah untuk membuat penyusunan jadual sekolah, terutamanya bagi membantu sekolah yang mempunyai bilangan murid dan kelas yang banyak. Beliau yakin, sistem ini akan memudahkan pihak pentadbiran sekolah membuat penetapan jadual kelas.

Selain itu, YB Datuk Dr. Radzi turut menekankan soal kekuatan struktur sesebuah sistem, iaitu merujuk struktur yang menunjangi KPM. Secara analogi, beliau menyatakan bahawa rumah yang tidak betul strukturnya, walaupun cantik hiasannya dan mewah kelengkapannya, akan tetapi rumah itu tetap senget dan berkemungkinan roboh jika strukturnya tidak betul dan tidak mantap. Maka itu, KPM mahu membetulkan struktur dalamannya dengan mengadakan bengkel bagi menambah baik struktur sedia ada. Melalui bengkel tersebut, KPM berharap apa-apa juga kekurangan dan kelemahan sebelum ini dapat dimantapkan bagi menjamin setiap perancangan yang dirangka oleh KPM dapat dilaksanakan dengan lancar dan mendatangkan hasil seperti yang diharapkan oleh setiap warga pendidik, khususnya dan masyarakat amnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.