16 Mei 2022, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok Tarikh 16 Mei 2022 menjadi hari yang bersejarah dan penuh makna bagi negeri Kelantan kerana pada pagi ini berlangsungnya sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ini julung kalinya diadakan di Kelantan Darul Naim. Sambutan yang khusus diadakan untuk meraikan jasa dan sumbangan guru ini berlangsung dalam suasana meriah setelah dua tahun tidak diadakan perhimpunan guru ekoran pandemik COVID-19. Majlis pada pagi ini juga memberikan pengiktirafan kepada individu yang layak menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan.

Warga pendidik mendengar ucapan daripada YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan.

Berucap di hadapan khalayak yang terdiri daripada warga pendidik di Dewan  Canselori, UMK, Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin kedengaran beberapa kali menyebut ungkapan “Terima kasih, cikgu”. Sememangnya pada tarikh 16 Mei, ungkapan tersebut seharusnya diucapkan tanpa jemu kepada sesiapa sahaja yang bergelar pendidik, terutamanya mereka yang berkerjaya sebagai guru dan dipanggil cikgu.

Sebagai pembuka ucapannya, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menyatakan, “Setiap daripada kita pasti telah disentuh hatinya oleh insan yang dipanggil cikgu. Semasa bertugas di sekolah, mereka yang berjawatan guru ini dipanggil cikgu. Selepas bersara, mereka juga masih dipanggil cikgu. Maknanya, itulah gambaran atau manifestasi betapa dekatnya guru dengan masyarakat sehinggakan selepas tidak mengajar di sekolah pun, guru yang sudah bersara masih dipanggil cikgu, terutama oleh individu yang pernah menerima didikan daripada guru berkenaan. Terima kasih, cikgu.”

Menyentuh tentang kerjaya guru pula, YB Datuk Dr. Radzi menegaskan,

Betapa besarnya jasa dan pengorbanan guru kerana gurulah yang menjadi orang pertama yang mengajar dan mencorakkan pemikiran kita. Oleh sebab itu, guru merupakan profesion yang sangat dihormati oleh masyarakat, terutama melalui sumbangan mereka dalam pembangunan masyarakat, negara dan tamadun. Maka itu, tarikh 16 Mei dipilih dan ditetapkan sebagai Hari Guru untuk meraikan pendidik yang telah mencorakkan masa hadapan negara  dengan acuan didikannya. Terima kasih, cikgu!

Menteri Kanan Pendidikan juga turut berkongsi perasaannya, terutama pada sambutan Hari Guru tahun ini. “Hari Guru merupakan hari yang cukup menyentuh jiwa. Itulah yang saya rasainya selama dua tahun menduduki tampuk tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Saya mula bertugas semasa negara bergelut dengan pandemik COVID-19. Saya berdepan dengan keadaan dunia pendidikan yang dibebani masalah pengajaran dan pembelajaran semasa pandemik COVID-19 kerana pada ketika itu, aktiviti bersemuka tidak dibenarkan, namun pembelajaran murid perlu diteruskan dari rumah. Itulah beban yang saya pikul dalam tempoh yang sukar dua tahun yang lalu, terutama dalam menyediakan pelan dan rancangan pengajaran dan pembelajaran dari rumah. Namun begitu, saya amat bersyukur kerana atas kesabaran dan komitmen para guru, anak murid masih dapat belajar dengan baik dan masih menerima ajaran daripada cikgu walaupun pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam suasana kebiasaan baharu kesan daripada pandemik COVID-19. Terima kasih, cikgu kerana kita berjaya melalui tempoh yang sukar pada ketika itu.”

Setelah bergelut dengan situasi sukar selama dua tahun, maka pada 21 Mac 2022, sekolah dibuka semula dan murid belajar di sekolah secara bersemua. Kemudian, pada April 2022, pihak kementerian menamatkan sistem penggiliran ke sekolah, dan akhirnya pada Mei 2022, operasi sekolah berlangsung seperti biasa, iaitu sebelum dilanda pandemik COVID-19, namun harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Jadi, terima kasih cikgu kerana menunggu di pagar sekolah bagi memastikan sop dipatuhi dan murid berada dalam keadaan sihat untuk belajar di sekolah, serta memastikan garis panduan yang ditetapkan oleh KPM dapat dilaksanakan oleh warga pendidik seperti yang dirancang. Terima kasih, cikgu,” demikianlah ungkapan terima kasih yang disebut beberapa kali oleh Menteri Kanan Pendidikan, yang mewarnai ucapan perasmiannya sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

Exco Pendidikan Negeri Kelantan turut hadir bersama-sama dengan Timbalan Ketua Setiausaha, KPM dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dalam majlis ini. Sebelum ucapan perasmian sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan oleh Menteri Kanan Pendidikan, telah berlangsung lafaz ikrar guru yang diketuai oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid bersama-sama dengan barisan pengurusan tertinggi KPM. Majlis turut diserikan dengan deklamasi puisi dan persembahan nyanyian lagu dalam dialek Kelantan yang membuka tirai majlis perasmian sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.