26 Mei 2022, 20:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Penerima biasiswa bergambar bersama-sama Shazmi Ali Sardar Ali di dalam Majlis Penyerahan Biasiswa Alumni UUM dan Hi-Tea Raya Pusat Alumni di Dewan Sri Angsana, Hotel EDC UUM.

Alumni UUM, Shazmi Ali Sardar Ali memperuntukkan sebanyak RM22 000 sebagai biasiswa kepada 11 pelajar untuk terus melanjutkan pengajian di UUM dengan lebih bersemangat.

Naib Presiden SHELL Malaysia, merangkap Profesor Adjung School of Business Management (SBM) dan Ahli Majlis Eksekutif Persatuan Alumni UUM, berharap usaha yang dilakukan ini dapat menjadi pemangkin dan inspirasi kepada lebih ramai alumni untuk tampil memberikan sumbangan.

Alumni UUM, Shazmi Ali Sardar Ali.

Saya sebenarnya segan untuk memberikan ucapan, tetapi apabila memikirkan apa perkara ini dapat dijadikan sebagai contoh kepada alumni di luar sana untuk turut sama menyumbang bakti pada UUM dalam pelbagai kaedah sama ada kewangan, atau perkhidmatan, saya jadi bersemangat.

“Saya teringat nasihat ibu semasa kecil, kalau kita buat baik, jangan cerita pada orang bak kata pepatah ‘tangan kanan memberi, tangan kiri tak tahu dan saya rasa  ramai di luar sana yang ingin memberikan sumbangan, tetapi mereka tidak tahu cara dan saluran mana yang harus dituju.

Ujarnya, UUM jauh berbeza berbanding dengan era ketika beliau menjadi pelajar sewaktu tahun 1999 serta menyifatkan UUM dari dulu sampai sekarang kuat dari segi akademik, kokurikulum dan paling penting ialah integriti.

“Zaman sekarang hendak mencari orang yang pandai senang, tetapi hendak mencari orang yang berintegriti susah. Jadilah manusia yang baik, maju walau apa-apa sekalipun dan reda ibu bapa amat penting kerana apabila mereka bangga dengan kita itulah sebenar-benarnya kejayaan.

“Jangan malas membaca dan kedekut ilmu. Jadilah orang yang merendah diri dan tidak bangga diri. Apabila berjaya, hal ini bukanlah bererti kita orang yang paling rajin atau bijak, tetapi kita hanya mendapat rezeki daripada Tuhan,” ucapnya dalam Majlis Penyerahan Biasiswa Alumni UUM dan Hi-Tea Raya Pusat Alumni yang berlangsung di Dewan Sri Angsana, Hotel EDC UUM, semalam.

Pengarah Pusat Alumni UUM, Profefor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar menyampaikan biasiswa kepada pelajar terpilih.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UUM, Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar berkata, sejarah Biasiswa Alumni bermula pada tahun 2021 apabila Shazmi menyatakan hasrat untuk memberikan sumbangan biasiswa kepada pelajar dan memandangkan beliau merupakan alumni UUM, maka Pusat Alumni menguruskan biasiswa ini.

“Hari ini, kita sangat bertuah kerana Shazmi Ali yang sanggup datang dari jauh dan meluangkan masa ke UUM untuk bertemu dengan pelajar dan menyampaikan sumbangan biasiswa kepada 11 pelajar terpilih,” kata beliau dalam program anjuran Pusat Alumni dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan itu.

Penerima biasiswa, pelajar Sarjana Muda Perbankan, Previna A/P Marimuthu  mengakui  agak terkejut apabila terpilih untuk mendapatkan peluang keemasan ini serta merancang untuk menggunakan biasiswa ini bagi keperluan pembelajaran, misalnya membeli buku dan membaiki komputer riba yang rosak.

“Saya amat berterima kasih pada Tuan Shazmi Ali yang memberikan peluang untuk mendapatkan biasiswa ini, malah saya juga akan sentiasa ingat pesanannya agar menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” kongsinya.

Pelajar Sarjana Muda Keusahawanan, Muhammad Aiman Firdaus Mohd Izam menyambut baik program Biasiswa Alumni sebagai platform bagi pelajar UUM lebih mengenali alumni mereka yang telah berjaya dan dijadikan sebagai contoh teladan mencapai kejayaan.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana menerima biasiswa dan jutaan terima kasih atas tajaan ini. Saya akan berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh dan melakukan perkara yang sama seperti beliau pada satu hari nanti,” ujarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.