4 Jun 2022, 23:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri menerima cenderamata buku terbitan DBP sewaktu kunjungan beliau di reruai DBP bersama-sama YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Kanan Pendidikan.

Kuala Lumpur – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PABKL 2022) mencipta kenangan tersendiri bagi Keluarga Malaysia apabila buat julung kalinya perasmian pada tahun ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia.

Dalam ucapan perasmian, YAB Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) sebagai penganjur utama PBAKL selepas penganjurannya yang terakhir dua tahun lalu.

Buku adalah jendela ilmu dan  menerusi amalan membaca buku juga boleh mengubah dunia,” jelas YAB Perdana Menteri ketika menyampaikan amanatnya kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Menurut YAB Perdana Menteri, kepentingan budaya membaca harus diutamakan oleh umat Islam. Melalui perkataan iqra‘, Allah SWT memerintahkan amalan membaca kepada seluruh umat Islam. Sudah tentu membaca mesti dihayati dalam konteks yang lebih luas khususnya bagi umat Islam apabila al-Quran merupakan sumber ilmu terbesar, termasuklah dalam bidang sains, sains sosial dan lain-lain. “Sudah tentulah kitab atau buku ini menjadi sumber ilmu yang luas dan tokoh ilmuwan Islam, Buya Hamka ada mengatakan bahawa amalan membaca buku memberikan kesan yang baik kepada jiwa,” jelas Perdana Menteri. Beliau turut menyatakan bahawa bangsa berjaya ialah bangsa yang membaca kerana budaya membaca akan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan.

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri juga berkongsi pengalaman beliau dan menyarankan agar rakyat dapat mencontohi Jepun sebagai negara maju yang terasnya berakar umbi daripada amalan membaca. Semasa lawatan ke Jepun baru-baru ini, beliau menyaksikan bukan sahaja anak muda, malah seluruh masyarakat di Jepun mempunyai budaya dan semangat cinta akan buku. YAB Perdana Menteri turut menegaskan bahawa amalan membaca buku bukan semata-mata hanya untuk menimba ilmu, malah mampu meningkatkan kepintaran Keluarga Malaysia.

Keterujaan penganjuran PABKL selepas berlalunya era pandemik mengimbau kembali pelbagai kenangan yang tercipta di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) sepanjang penganjurannya selama ini. PBAKL pada kali ini disertai oleh 170 syarikat pempamer dan terdapat 709 unit reruai yang menyasarkan kehadiran 700 ribu hingga satu juta pengunjung. Melalui kaedah bersemuka dan hibrid, kaedah tersebut berupaya menjadikan akses pengunjung ke PBAKL lebih meluas di seluruh negara dan antarabangsa.

“Penghasilan buku yang berkualiti oleh pengarang, penerbit dan pemegang taruh industri amat penting dalam memainkan peranan untuk membina kelangsungan negara dengan budaya membaca,” jelas YAB Perdana Menteri semasa ucapan perasmian.

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, Ahli Lembaga Pengelola DBP bersama-sama YBhg. Prof. Datuk Seri Awang dan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin semasa melawat reruai DBP. 

Selain itu, YAB Perdana Menteri juga mengumumkan negeri Selangor sebagai Negeri Tamu PBAKL. Selepas tamat acara perasmian, beliau turut berkesempatan melawat reruai pempamer dan meluangkan masa melawat gerai jualan makanan di sekitar WTC. Turut hadir bersama-sama meraikan kunjungan YAB Perdana Menteri di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  ialah YB Senator Datuk Dr. Radzi Md Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP,  YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, ahli Lembaga Pengelola DBP dan YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Semasa kunjungan tersebut, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkesempatan menyerahkan cenderamata buku terbitan DBP kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri.


Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan program PBAKL, boleh layari laman sesawang www.klibf.my, manakala maklumat berkaitan dengan promosi dan program DBP boleh ikuti menerusi media sosial DBP Malaysia dan DBPNiaga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.