7 Jun 2022, 13:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kesihatan mental dapat memberikan keupayaan tinggi dari aspek emosi dan jasmani seseorang dalam mengharungi cabaran kehidupan. Usia remaja yang menjadi peringkat peralihan kepada dewasa kebiasaannya menjadikan remaja mahukan lebih perhatian dan sanjungan. Apakah faktor yang menyebabkan remaja begitu berani melakukan perbuatan tersebut? Adakah mereka menghadapi masalah mental kronik atau kegagalan mengawal emosi?  Namun, kadang kala mereka tidak tahu saluran yang betul untuk menyampaikan perhatian yang mereka harapkan apabila tidak mendapat reaksi positif, sebaliknya mendapat kecaman.

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Bahagian Mahasiswa Holistik, Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti-universiti Malaysia (MAKUMA) telah menganjurkan Konvensyen Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PRSK) pada 27 hingga 29 Mei 2022 lalu bertempat di Institut Sosial Malaysia, Kuala Lumpur. Seramai 150 orang mahasiswa dari 20 buah universiti awam hadir dalam konvensyen tersebut.

Penganjuran Konvensyen PRSK Institut Pengajian Tinggi (IPT) MAKUMA 2022 merupakan satu daripada inisiatif secara menyeluruh bersama-sama pihak KPT dan MAKUMA dalam menyediakan usaha dan inisiatif untuk membantu mahasiswa. Sepanjang konvensyen ini berlangsung, ramai tokoh kaunseling dan psikologi dijemput untuk berkongsi ilmu, idea, pengalaman serta tahap kesiapsiagaan para mahasiswa kumpulan pembimbing rakan siswa supaya dapat terlibat dalam ruang lingkup pelajar secara dekat dan terperinci. Konvensyen Pembimbing Rakan Siswa ini juga menjadi satu wadah perhubungan yang lebih baik di antara perwakilan universiti dengan universiti demi kesejahteraan mahasiswa.

Peranan Pembimbing Rakan Siswa merupakan salah satu penghubung para kaunselor dan pegawai psikologi universiti dalam usaha bersama menjamin kesejahteraan kampus dari sudut fizikal dan emosi.  Usaha menghimpunkan semua wakil kepimpinan Pembimbing Rakan Siswa (PRS) 20 universiti awam seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menjadikan kampus di IPT Kampus Sejahtera dan berkebajikan dan memerlukan sokongan penuh daripada seluruh warga kampus.

Pelbagai acara dan aktiviti telah dilaksanakan sepanjang tiga hari program tersebut berlangsung. Antaranya ialah slot bersama pakar dalam membicarakan isu dan permasalahan mental pelajar. Konsepnya mudah, iaitu proses individu mengawal diri atau sebaliknya dan memerlukan sokongan, bantuan dan pertolongan daripada rakan sebaya di kampus.

Tujuan utama penganjuran konvensyen ini adalah untuk memberikan ilmu dan perkongsian pengalaman dalam proses membantu rakan siswa yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19, khususnya dari segi kesihatan mental dan kesejahteraan emosi. Mengambil kira kemasukan para mahasiswa ke kampus kini yang mencapai 80%, pastinya terdapat pelbagai isu dan permasalahan yang perlu ditangani secara bersama dan memerlukan tindakan segera bagi memastikan tumpuan kepada kecemerlangan akademik, kesejahteraan emosi dan kendiri dapat dicapai. Usaha juga perlu diteruskan dalam meningkatkan pemahaman tentang peranan dan tanggungjawab kelompok PRS universiti yang matang dan berkewajipan dalam proses membantu di kampus.

Selain itu, konvensyen ini memberi ruang dalam menyediakan barisan kepimpinan pelajar yang berfokus kepada perkhidmatan dan proses membantu dalam kalangan mahasiswa dan berupaya menjadi suri teladan kepada mahasiswa yang lain. PRS berperanan sebagai penghubung kepada khidmat bimbingan dan kaunseling, sebagai contoh membuat rujukan jika perlu. Program ini merupakan tanggungjawab bersama dalam membuka lembaran baharu kepada mahasiswa dan memperkasakan perkhidmatan kaunseling serta kesejahteraan kampus. PRS perlu lebih proaktif, produktif dan dinamik dalam kalangan warga kampus.

Majlis Penutupan Konvensyen Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan telah disempurnakan oleh YBhg. Lt Jeneral Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM. Turut hadir Prof. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan bin Yahya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPNM merangkap Pengerusi MAKUMA, En. Kaliapan a/l Rajakumaran mewakili Bahagian Mahasiswa Holistik KPT, En. Mohd Hanafi bin Mohd Hanafiah, Timbalan Pengarah Institut Sosial Malaysia dan barisan pengurusan tertinggi universiti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.