Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam sesebuah negara, terdapat segelintir rakyat yang berhaluan kiri dan enggan menerima hakikat bahawa mereka merupakan warganegara yang berada dalam sebuah negara serba stabil dan makmur, lantas mendakwa negara terdedah kepada kebankrapan. Hal ini tersebar luas semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018 dan dijadikan antara bahan kempen oleh golongan yang tidak memikirkan kesan sampingan terhadap apa-apa yang disebarkan. Melalui laman sosial dan aplikasi Whatsapp, tersebar khabar angin kononnya negara akan bankrap pada September tahun tersebut, tetapi terbukti perkara tersebut tidak berlaku dan hanyalah suatu tanggapan, dakyah, tohmahan, jangkaan, andaian, firasat dan provokasi yang tidak sihat.

Memandangkan khabar angin sebegitu boleh memberikan impak negatif terhadap negara, Perdana Menteri pada ketika itu, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak yang juga Menteri Kewangan meminta rakyat supaya jangan mudah percaya dengan khabar angin yang mendakwa negara akan bankrap disebabkan kemerosotan ekonomi yang berpunca daripada faktor politik. Melalui akaun laman sosialnya www.najibrazak.com, beliau menegaskan hakikat bahawa ekonomi negara berkembang pada kadar lebih empat peratus pada separuh pertama tahun tersebut dan tidak tersungkur ke tahap negatif seperti yang berlaku pada tahun 1997 apabila negara mengalami krisis ekonomi yang dahsyat. Pada waktu itu, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar dan ramai orang kehilangan pekerjaan.

Pada tahun 2016, Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih baik pada tahun 2017 dan 2018, serta dijangka meningkat melebihi empat peratus sebagaimana yang disasarkan pada tahun 2016. Pertumbuhan tersebut didorong oleh pemulihan harga minyak dan sektor pengeksportan yang kembali rancak. Memetik kenyataan Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik, Sudhir Sheryy yang disiarkan oleh akhbar tempatan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDK) Malaysia diunjurkan perlahan, iaitu 4.2 peratus berbanding dengan sasaran awal 4.4 peratus yang diramalkan pada April 2016.

Selain daripada faktor minyak dan eksport perkilangan yang terjejas disebabkan permintaan global yang lemah, jelas Sudhir Sherry, perbelanjaan sektor awam dan swasta juga dilihat perlahan. Pada pendapat penulis, perbelanjaan sektor awam dan swasta diperlahankan kerana negara mengamalkan perbelanjaan berhemah pada ketika itu. Mengikut Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik itu, secara keseluruhannya pertumbuhan ekonomi negara-negara membangun di Asia Timur dan Asia Pasifik termasuklah Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sehubungan dengan itu, khabar angin tentang kebankrapan negara yang telah disebar luas tidak diketahui motifnya. Apakah tujuan sebenar penyebar khabar angin tersebut? Adakah mereka mendapat laba dariapda perbuatan tersebut? Namun, yang pastinya golongan ini cuba mensabotaj ekonomi negara, apabila didapati impaknya selepas itu begitu buruk terhadap negara dan terdapat rakyat dan para pelabur turut mempercayai khabar angin berunsur provokasi yang disebarkan itu.

Pada masa yang sama, selepas PRU-14, ekonomi negara agak parah tetapi disabitkan dengan angkara COVID-19 sebagai penyebab utamanya. Tidak semua rakyat boleh menerima COVID-19 sebagai suatu kemalangan, sebaliknya apa-apa yang berlaku terhadap rakyat dilihat sebagai ketidakstabilan politik kerajaan baharu yang menyamai kualiti kerajaan sebelum itu. Keadaan semasa kini merupakan hakikat dan natijah yang perlu diterima walaupun ada sesetengah pihak yang tidak dapat menerima hakikat tersebut.

Pihak berkuasa sebelum PRU-14 sewajarnya mengambil tindakan tegas terhadap penyebar khabar angin yang pada hakikatnya berniat tidak baik dan lebih merbahaya daripada anasir subversif kerana apa-apa yang dilakukan adalah bersifat mengkhianati negara dan seluruh warganegara. Penulis bersetuju dengan kenyataan  Dato’ Sri Najib (ketika beliau masih menduduki kerusi Perdana Menteri) bahawa hal ehwal ekonomi negara, bahkan ekonomi dunia sekali pun mempunyai kitaran naik turunnya dan perkara ini adalah normal sebagaimana kita manusia yang ada kalanya melalui situasi sihat dan sakit. Yang pasti, kerajaan yang memerintah tentulah sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan. Sehubungan dengan itu, negara memerlukan barisan kepimpinan yang berkemampuan dan bijaksana dalam melihat masa depan negara dan perkembangan dunia, terutamanya dari sudut ekonomi.

Memetik kata beliau, krisis kewangan negara pada tahun 1997 berlaku kerana dunia juga menghadapi masalah yang sama dan Malaysia sebagai sebahagian daripada dunia, turut sama menerima tempias dan kesannya, tetapi perkara tersebut tidak pula menyebabkan negara bankrap.

Setelah ekonomi negara kembali pulih 10 tahun kemudian, dunia kembali diasak krisis ekonomi dan Malaysia juga tidak terlepas daripada menerima tempias yang telah mengakibatkan ekonomi negara menyusut sebagaimana yang dialami oleh negara-negara lain. Hal ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan, namun kita perlu menghadapinya secara bijaksana supaya rakyat tidak terlalu merasa bahangnya. Sebagai tokoh yang berpengalaman sebagai Menteri Kewangan ketika negara menghadapi krisis ekonomi , Dato’ Sri Najib pastinya mempunyai formula yang boleh dirumuskan berdasarkan pengalamannya bagi memastikan ekonomi negara mampu bertahan dan mengalami pertumbuhan.

Sebagai rakyat, kita perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam usaha membantu kerajaan, contohnya dalam bentuk sokongan moral dan doa, bukannya mengambil bahagian dengan mensabotaj ekonomi negara melalui khabar angin dan tindakan provokasi yang boleh menyulitkan lagi keadaan. Banyak masa akan terbuang dalam merungkai kekusutan untuk menangkis khabar angin dan fitnah yang disebarkan itu.

Apabila para pelabur mempercayai khabar angin yang tersebar, pelabur baharu pastinya hilang minat untuk melabur dan negara-negara pengimport pula menghentikan  pengimportan, manakala pelabur sedia ada pasti akan menarik balik pelaburan mereka. Sekiranya negara benar-benar bankrap, padah dan petakanya bukan sahaja menimpa rakyat, malah akan turut menimpa penyebar fitnah itu sendiri. Oleh sebab itu, khabar angin dan fitnah tidak boleh dibiarkan bercambah dan membiak subur, sebaliknya harus diperangi secara habis-habisan.

Kini, semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu berganding bahu dengan tulus dan telus serta berusaha dalam usaha memulihkan kestabilan politik dan ekonomi negara. Penyebar khabar angin perlu menghentikan perbuatan tersebut dan tidak mengulanginya kembali. Kepimpinan yang sedia haruslah diberikan kerjasama, sokongan padu dan sekiranya perlu, diberikan teguran dengan cadangan membina, bukannya mengambil peluang untuk memburukkan lagi keadaan kerana hal tersebut tidak akan menyumbang kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

Pihak kerajaan juga seharusnya bertegas dan mengenakan hukuman yang selayaknya untuk penyebar khabar angin dan pemfitnah supaya mereka tidak mengulanginya kembali, di samping memberi peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukan perlakuan yang serupa. Perkara ini perlu digubal, dibahaskan dan dijadikan rang undang-undang kerana sesungguhnya fitnah dan khabar angin itu adalah lebih tajam daripada mata pedang dan boleh mendatangkan kemusnahan yang lebih besar. Hukuman  yang sewajarnya perlu dikenakan ke atas mereka.

Berdasarkan rujukan ayat 33 hingga 35 surah al-Maa’idah , pensabotaj ekonomi negara bolehlah dikategorikan sebagai pengacau keamanan dan pembuat kerosakan di muka bumi apabila hukuman bagi pelakunya adalah sebagaimana terjemahan ayat yang bermaksud:

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya dan yang membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar” –al-Maa’idah:33

Kecuali orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu menguasai (menangkap) mereka; maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun” – al-Maa’idah:34.

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah SWT dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keruntungan” – al-Maa’dah:35.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.