Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKepesatan teknologi yang menyaksikan dunia pada masa ini hanya di hujung jari menyebabkan masyarakat berhadapan dengan ancaman yang lebih berbahaya daripada ancaman fizikal, iaitu ancaman berita palsu. Ancaman ini saban hari semakin berleluasa dan amat membimbangkan seluruh masyarakat. Fenomena ini bukan sekadar isu biasa malah merupakan satu bentuk manipulasi maklumat yang mampu menggugat keharmonian negara, mencalarkan reputasi individu malah mampu meragut nyawa. Di sebalik kemajuan digital, tersirat risiko maklumat palsu yang bergerak lebih pantas daripada kebenaran itu sendiri.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), terdapat peningkatan drastik dalam aduan penyalahgunaan media sosial sepanjang tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Mengikut portal Sebenarnya.my, purata jutaan layaran setiap bulan membuktikan betapa derasnya arus maklumat palsu mengalir dalam ruang digital kita. Selain itu, berdasarkan data global daripada Reuters Institute Digital News Report, Malaysia pernah mencatatkan penggunaan aplikasi seperti WhatsApp yang sangat tinggi untuk perkongsian maklumat dan berita. Malangnya platform tertutup seperti aplikasi WhatsApp ini sukar dapat dipantau oleh pihak berkuasa berbanding dengan platform terbuka yang lain.
Jika dahulu, fitnah banyak disebarkan melalui mulut di medan meja kopi, tetapi kini fitnah berevolusi menjadi kandungan digital yang mampu tular ke seluruh pelosok dunia tanpa sempadan dalam beberapa saat sahaja. Algoritma media sosial yang mengutamakan sensasionalisme berbanding dengan ketepatan menjadi pemangkin kepada penularan berita palsu yang lebih drastik. Berita palsu sering kali mengaburkan mata masyarakat dengan menyentuh sentimen emosional dan sensasi. Strategi ini jelas untuk menarik perhatian dan memancing pengguna tanpa mereka sempat berfikir dengan lebih kritis terhadap maklumat yang diperoleh.
Berita palsu amat mudah dipercayai kerana manusia cenderung untuk mempercayai sesuatu maklumat yang menyokong pandangan sedia ada mereka, walaupun maklumat tersebut tidak mempunyai fakta yang sah. Tindakan ini melibatkan aspek psikologi, iaitu bias pengesahan atau dalam bahasa Inggeris, confirmation bias. Menurut teori yang dikemukakan oleh Raymond Nickerson (1998) dalam jurnal Review of General Psychology, bias pengesahan merujuk kecenderungan kognitif individu untuk mencari, mentafsir dan mengingati maklumat yang memberikan kepercayaan sedia ada serta mengabaikan atau memperkecilkan bukti yang bertentangan.
Dalam ekosistem digital, bias kognitif ini dieksploitasi secara sistematik oleh algoritma media sosial. Menurut kajian oleh Del Vicario et al. (2016) dalam jurnal Proceedings of National Academy of Sciences (PNAS), corak penggunaan media sosial cenderung mewujudkan “ruang gema” atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai echo chambers. Di dalam ruang gema ini, pengguna hanya didedahkan kepada naratif yang selari dengan pemikiran mereka dan menyebabkan kepercayaan terhadap disinformasi lebih kukuh. Apabila sesuatu berita palsu menyentuh sentimen emosional dan sensasi, sistem kognitif manusia akan bertindak balas secara afektif, iaitu emosi berbanding reflektif, iaitu logik. Strategi ini jelas memancing perhatian pengguna dengan lebih tangkas tanpa memberikan peluang kepada mereka untuk berfikir secara lebih kritis.
Selain itu, aspek psikologi lain yang melibatkan isu ini ialah Kesan Kebenaran Terzahir atau dikenali sebagai “Illusory Truth Effect”. Menurut kajian oleh Hasher, Goldstein dan Toppino (1997), penerimaan sesuatu maklumat secara berulang akan menyebabkan otak manusia mula menerimanya sebagai satu kebenaran walaupun maklumat tersebut adalah palsu kerana kekerapan mendengar maklumat tersebut. Perkara ini telah menjelaskan mengapakah naratif provokatif yang tular secara drastik terus dianggap sahih oleh kebanyakan masyarakat? Ketajaman daya fikir manusia sering kali tumpul apabila didedahkan dengan maklumat yang dimanipulasi untuk menyentuh emosi manusia seperti ketakutan atau kemarahan. Oleh yang demikian, memahami elemen psikologi terhadap khalayak adalah kunci utama mengapa berita palsu kekal releven dalam masyarakat digital masa kini. Tanpa kesedaran kendiri oleh setiap individu, masyarakat akan terus terperangkap dalam jaringan maklumat yang sering diputarbelitkan.
Mengenal Pasti Ancaman Berita Palsu
Seiring dengan kemajuan teknologi, ancaman berita palsu kini telah memasuki fasa yang lebih membimbangkan melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) atau dikenali sebagai palsu tulen (Deepfake). Jika dahulu disinformasi hanya terbatas dalam bentuk teks dan imej yang disunting secara kasar tetapi dalam teknologi palsu tulen, pengguna media boleh memanipulasi video dan audio dengan tahap ketepatan yang sangat tinggi sehingga sukar untuk dibezakan oleh mata kasar. Fenomena ini menggunakan pengetahuan mendalam untuk meniru wajah dan suara tokoh penting, sekali gus mencipta naratif palsu seolah-olah sesuatu perkara tersebut benar-benar berlaku.
Ancaman ini bukan sahaja melibatkan isu keselamatan individu malah berupaya menjadi senjata geopolitik yang berbahaya. Sebagai contoh, video palsu tulen yang memaparkan pemimpin negara mengisytiharkan perang boleh mencetuskan huru-hara dalam masa beberapa saat sahaja sebelum sempat disahkan kebenarannya. Penggunaan muka dan audio seseorang yang berpengaruh untuk mempromosikan atau menyebarkan sesuatu maklumat juga menjadikan individu terbabit sebagai mangsa, lebih menakutkan jika kandungannya tidak bermoral. Penularan kandungan yang berasakan AI ini sangat drastik kerana menyerang aspek kepercayaan visual manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat akan lebih cenderung mempercayai perkara yang mereka lihat dan dengar sendiri.
Kesan berita palsu ini sememangnya tidak boleh dipandang enteng kerana melibatkan nyawa, kestabilan kewangan dan keutuhan integrasi nasional. Penularan kepada masalah ini akan menimbulkan pelbagai masalah kepada banyak kelompok. Dalam konteks kesihatan awam, penyebaran maklumat palsu sering kali menjadi pemisah antara hidup dengan mati. Menurut kajian dalam jurnal perubatan The Lancet, maklumat palsu berkenaan menjadi rawatan perubatan atau penolakan vaksinasi yang telah mencetuskan krisis kepercayaan masyarakat terhadap sains perubatan. Sebagai contoh, penyebaran mitos mengenai ubat alternatif lain yang tidak diiktiraf bukan sahaja meracun fikiran masyarakat, malah boleh mendorong kepada komplikasi kesihatan yang kronik atau kematian akibat kelewatan mendapat rawatan daripada golongan profesional. Kegagalan menapis maklumat palsu daripada tersebar menyebabkan masyarakat terdedah kepada bahaya.
Dari sudut ekonomi dan kestabilan pasaran pula, penularan berita palsu bertindak sebagai pemangkin kepada ketidaktentuan kewangan. Kejatuhan sesebuah institusi kewangan boleh mencetuskan panik dalam kalangan pelabur dan pengguna yang seterusnya membawa kepada pengeluaran modal secara besar-besaran. Selain itu, reputasi syarikat kewangan terbabit juga boleh turut terjejas. Menurut Global Risks Report oleh World Economic Forum (WEF), penyebaran maklumat palsu disenaraikan sebagai satu daripada risiko global utama yang boleh menjejaskan pasaran saham dan reputasi korporat. Isu ini bukan sahaja merugikan organisasi secara material, malah akan meruntuhkan ekosistem ekonomi digital yang bergantung sepenuhnya kepada elemen kepercayaan antara pengguna dengan penyedia perkhidmatan.
Lebih parah lagi, impak yang paling kritikal di Malaysia adalah terhadap sentimen agama dan sensitiviti kaum. Sebagai sebuah negara majmuk, naratif provokatif yang dimanipulasi melalui media sosial sering kali menjadi garisan retak perpaduan rakyat. Berita palsu yang direka secara sengaja akan mencetuskan kegusaran awam dan ketegangan sosial terutamanya apabila menyentuh isu raja, agama dan kaum. Menurut perspektif sosiologi oleh Mansor Mohd Noor (2020) dalam kajian integrasi nasional, maklumat palsu yang lebih ke arah kebencian mampu meruntuhkan usaha perdamaian yang telah terbina berpuluh tahun dalam sekelip mata sahaja. Keharmonian nasional akan berada dalam keadaan yang sangat rapuh kesan daripada mempercayai naratif palsu dalam platform tertutup dan bukannya merujuk agensi berita yang berwibawa seperti Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Apabila fakta dan sejarah diputarbelitkan, kepercayaaan yang telah terbina antara masyarkat akan luntur, sekali gus meruntuhkan struktur perpaduan di negara ini.
Memperkasakan Kerangka Perundangan
Dalam menghadapi gelombang maklumat palsu yang kian meruncing, peranan kerajaan melalui agensi penguatkuasaan adalah benteng utama bagi memastikan kestabilan negara tidak tergugat. Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan memperkasakan kerangka perundangan sedia ada bagi menangani penyalahgunaan media sosial ini. Antara instrumen undang-undang yang paling kerap dirujuk termasuklah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Peruntukan ini secara jelas melarang mana-mana individu daripada menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar untuk membuat, mewujudkan atau meminta penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang palsu dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
Namun begitu, penguatkuasaan undang-undang dalam alam maya mempunyai cabarannya yang tersendiri terutamanya apabila melibatkan platform di luar negara. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bekerjasama untuk memantau hantaran yang menyentuh isu sensitif, iaitu isu yang berkaitan dengan raja, agama dan kaum. Ketegasan undang-undang ini bukan untuk menyekat kebebasan hak bersuara masyarakat, tetapi bagi memastikan kebebasan tersebut digunakan dengan sebaik-baiknya dan penuh tanggungjawab. Tanpa tindakan yang tegas ini, pelaku berita palsu akan lebih bergiat aktif untuk terus memanipulasi maklumat kepada masyarakat demi kepentingan peribadi atau agenda politik yang akhirnya merugikan rakyat.
Selain daripada tindakan hukuman mengikut undang-undang, strategi jangka panjang bagi membanteras maklumat palsu adalah melalui pemerkasaan literasi media dalam kalangan masyarakat. Pendidikan literasi media seharusnya diambil serius dengan memberikan pendedahan kepada masyarakat sejak peringkat sekolah rendah dan bukannya sebagai mata pelajaran sampingan sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana, generasi muda merupakan kelompok yang paling banyak didedahkan dengan teknologi alam maya. Mereka perlu dilengkapi dengan kemahiran untuk membezakan antara fakta, pendapat dan propaganda. Kemampuan untuk menilai sesuatu maklumat yang diperolehi secara kritis membolehkan individu mengenal pasti motif di sebalik berita yang diperoleh sebelum disebarkkan kepada orang lain.
Inisiatif kerajaan melalui portal Sebenarnya.my merupakan satu daripada contoh yang terbaik bagi membantu masyarakat merujuk fakta dan mendapatkan maklumat yang sahih. Portal ini berperanan sebagai pusat sehenti bagi menangkis khabar angin yang tular dalam media sosial. Walau bagaimanapun, keberkesanan portal ini bergantung pada budaya tabayyun atau menyemak kebenaran maklumat oleh setiap individu. Masyarakat perlu dididik agar tidak mudah terpesona dan terpedaya dengan maklumat yang disebarkan terutamanya apabila memancing emosi pembaca. Kesedaran yang tinggi dalam diri setiap individu mampu menjadikan masyarakat digital negara ini menjadi lebih matang dan tidah mudah diperalatkan oleh penyebar maklumat palsu.
Pada masa yang sama, pihak penyedia platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook juga memikul tanggungjawab besar untuk membendung penularan berita palsu. Sebagai pemilik teknologi, mereka mempunyai keupayaan teknikal untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan dan menurunkan kandungan yang bersifat palsu atau berbahaya dengan lebih pantas. Kerjasama antara pihak kerajaan dengan kelompok teknologi ini amat diperlukan bagi memastikan algoritma media sosial tidak terus mengutamakan kandungan yang bersifat sensasi semata-mata, tetapi memastikan maklumat itu selamat daripada unsur maklumat palsu. Inisiatif ini perlu dititikberatkan untuk mengelakkan segala permasalahan yang lebih besar sehingga mengganggu kestabilan negara.
Media massa arus perdana juga perlu kekal sebagai rujukan utama yang berwibawa kepada masyarakat. Di tengah lambakan maklumat yang tidak menentu, peranan wartawan yang profesional amat diperlukan untuk menjalankan kajian mendalam dan semakan fakta yang lebih terperinci terhadap sesuatu perkara. Agensi berita seperti Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) memikul amanah untuk menyediakan laporan yang objektif dan seimbang bagi mengimbangi penularan naratif palsu yang tersebar di aplikasi mesej tertutup. Apabila media arus perdana kekal menjaga kredibilitinya, masyarakat akan mempunyai tempat berteduh yang selamat untuk mendapatkan kebenaran di sebalik semua propaganda yang meribut dalam ruang digital.
Kesimpulannya, gejala berita palsu merupakan barah digital yang perlu dibanteras hingga ke akarnya. Jelaslah bahawa ancaman maklumat palsu tidak lagi bersifat terpencil, sebaliknya telah meresap ke setiap dimensi kehidupan manusia. Ancaman ini membuatkan psikologi individu terperangkap dalam bias kognitif, sehingga kepada ancaman terhadap kesihatan, ekonomi dan keharmonian kaum. Kegagalan seluruh masyarakat untuk menangani fenomena ini bukan sahaja akan meruntuhkan kepercayaan sosial tetapi akan meletakkan keadaan dan kedaulatan negara dalam keadaan yang sangat rapuh.
Oleh itu, bagi mendepani masa hadapan yang kian mencabar dengan kehadiran teknologi kecerdasan buatan dan palsu tulen, ketegasan undang-undang hanyalah satu aspek daripada penyelesaian holistik yang diperlukan. Perisai yang paling kukuh terletak pada nilai integriti dan tanggungjawab dalam diri setiap individu yang bermoral. Masyarakat perlu beralih daripada menjadi pengguna maklumat yang pasif kepada pengkritik maklumat yang aktif bagi mendapatkan kesahihan yang benar. Budaya tabayyun atau menyemak sesuatu berita dan maklumat sebelum berkongsi harus dijadikan norma baharu dalam interaksi seharian dalam alam maya. Pendidikan literasi media yang sistematik merupakan inisiatif jangka panjang yang berbaloi bagi melahirkan generasi yang celik digital dan kalis manipulasi.
Kedaulatan maklumat dan keutuhan tamadun bangsa bukan sahaja bergantung pada kecanggihan teknologi, tetapi lebih utama adalah pada kekuatan moral dan ketajaman daya fikir rakyatnya. Slogan “Tidak Pasti, Jangan Kongsi” seharusnya tidak sekadar menjadi retorik semata-mata atau hiasan di dada akhbar, sebaliknya perlu dihayati sebagai satu jihad ilmu demi memelihara keamanan dan keharmonian nasional. Hanya dengan kerjasama erat antara kerajaan, penyedia platform dan masyarakat awam, kita mampu untuk membina satu ekosistem digital yang bersih, sihat dan bermanfaat untuk generasi akan datang. Tanpa usaha bersepadu ini, kebenaran akan terus terpinggir dalam keriuhan dunia digital yang penuh dengan kepalsuan semata-mata.