Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sehari sebelum menjelangnya tarikh keramat 22 Jun 2022, pada pagi ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meraikan perjuangan usianya yang ke-66 (esok) dalam usaha pembinaan, pengembangan dan penerbitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus merasmikan pelantar penerbitan digital yang dinamai JendelaDBP.

“Tahniah kepada seluruh warga DBP kerana terus berusaha memperjuangkan bahasa Melayu” – YB  Menteri Kanan Pendidikan

Dalam ucapan perasmian, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga DBP kerana institusi yang ditubuhkan dengan semangat untuk memperjuangkan bahasa Melayu itu terus kekal relevan dalam konteks pembangunan tamadun negara.

Meniti perjalanan usianya hingga hari ini, penubuhan DBP pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum kemerdekaan negara cukup sinonim dengan imejnya sebagai badan yang berautoriti dalam hal kebahasaan.

“DBP lahir daripada perjuangan dan kesaktian lidah rakyat” – YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan bersempena dengan ulang tahun DBP, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menjelaskan bahawa DBP ditubuhkan hasil daripada perjuangan dan kesaktian lidah rakyat dari pelbagai kelompok.

Alhamdulillah, dengan dukungan semua pihak dan peringkat terutamanya rakyat, DBP dapat terus tegak berdiri sebagai badan bahasa, sastera dan kepustakaan negara.

Tambah beliau, Pelan Strategik DBP 2021 – 2025 yang merupakan asas hala tuju DBP memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi; Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara; dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.

“Perkara utama yang mendasari pelaksanaan Pelan Strategik DBP ini ialah amalan nilai teras yang digariskan dalam Rukun Budaya Korporat DBP, iaitu usaha pelestarian dan pembangunan bakat dalam kalangan warga kerja DBP dan tumpuan untuk melahirkan modal insan DBP yang berupaya untuk mengadaptasi perubahan dan keperluan semasa.”

Oleh itu, selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0, pelantar penerbitan digital JendelaDBP telah berjaya dibangunkan sebagai pusat sehenti untuk semua produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya yang dihasilkan oleh DBP.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucapannya turut menyentuh kepentingan integriti dalam kalangan warga DBP dengan berkongsi cerita tentang kejayaan DBP selaku Juara Integriti dan Antirasuah 2021 bagi kategori Agensi Awam Persekutuan. Kejayaan tersebut menurutnya membuktikan bahawa DBP telah mengambil pelbagai inisiatif dalam menyokong usaha kerajaan dalam membanteras rasuah. Terkini, Pelan Antirasuah DBP 2021 – 2025 telah diwujudkan bagi memperkukuh integriti dan usaha membanteras rasuah dalam kalangan warga DBP.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP mengetuai lafaz Ikrar Bebas Rasuah.

Dalam majlis yang sama, lebih daripada 300 orang warga DBP yang berada di dalam Balai Budaya Tun Syed Nasir dan staf yang mengikuti majlis ini secara dalam talian turut memperkukuh azam dan tekad antirasuah melalui sesi lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Sementara itu, menerusi sidang media sebaik-baik sahaja Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-66 dan Pelancaran JendelaDBP berakhir, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menjelaskan bahawa bersesuaian dengan tema Ulang Tahun DBP Ke-66, “Api dari Suatu Zaman”, kecemerlangan DBP dalam usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu akan dapat dicapai menerusi cadangan pindaan Akta DBP selaras dengan aspirasi kerajaan.

Pindaan Akta DBP menurutnya harus dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh dengan memberikan tumpuan kepada aspek pengantarabangsaan, pelesenan, penarafan dan pentauliahan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Pindaan Akta DBP ini adalah bersifat holistik. DBP akan terus komited untuk meningkatkan peranan pelibatannya sebagai pengawal dan pengesah bahasa di tempat awam. Jadi, masyarakat perlu menghormati bahawa DBP ialah struktur jentera jabatan kerajaan yang mempunyai kuasa tersendiri.

Turut hadir memeriahkan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-66 dan Pelancaran JendelaDBP ialah YBhg. Datuk Razim Mohd. Noor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM);  mantan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengelola DBP; mantan Ketua Pengarah DBP; serta mantan Pengarah Jabatan yang pernah mengetuai jabatan masing-masing di DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.