Oleh Nurul Athirah
30 Jun 2022, 19:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada pagi 9 Jun 2022, sebuah kafe di Bangkok, Thailand, diserbu orang ramai. Jumlah pelanggan yang datang berganda daripada sebelumnya. Mereka kelihatan riang gembira, ada juga yang bersorak seperti tidak sabar untuk memesan minuman berperisa ganja. Ya, ganja!

Sorakan itu sebagai simbolik kepada tarikh bersejarah yang menarik perhatian seluruh dunia apabila Thailand dengan rasminya membenarkan penduduknya menanam pokok ganja di rumah untuk kegunaan bahan makanan atau minuman selain menghisapnya di rumah sendiri.

Kegembiraan itu juga diraikan lebih daripada 3000 orang yang menyertai pesta ganja berikutan keputusan kerajaan Thailand melonggarkan undang-undang berkaitan dadah. Pesta anjuran Highland Network yang berlangsung di White Sands Beach di timur Bangkok menyaksikan pelbagai barangan dijual termasuk baju, peralatan menghisap ganja serta makanan berasaskan ganja.

Kini, ganja telah dikeluarkan daripada senarai narkotik berbahaya dan dibenarkan penanaman serta pemilikannya, malah pada Mei lalu, Jabatan Pertanian Thailand turut mengedarkan sejuta pokok ganja kepada 500 ribu isu rumah yang berminat untuk menanam pokok tersebut.

Penanam ganja hanya perlu berdaftar menerusi aplikasi kerajaan, iaitu PlookGanja yang bermaksud “tanam ganja”. Yang menariknya, semenjak PlookGanja dibuka untuk pendaftaran secara dalam talian, Pegawai Kementerian Kesihatan negara tersebut merekodkan terdapat lebih daripada 150 ribu orang yang mendaftar.

Menurut Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul, keputusan menghalalkan ganja di negara gajah putih itu membawa dimensi baharu dalam sejarah ganja di Thailand. Beliau yang menerajui usaha menghalalkan penanaman ganja dan rami buatan sendiri percaya bahawa semua pihak perlu memahami titik perubahan tersebut dan perlu bergerak ke hadapan bersama-sama, selain menjelaskan bahawa keputusan tersebut membolehkan para petani menambah pendapatan mereka.

Perkembangan itu dijangka akan membawa kepada penawaran ganja dalam perubatan bagi merawat pelbagai penyakit secara besar-besaran oleh klinik di Thailand, manakala kebanyakan restoran turut dijangka akan menyajikan pelbagai hidangan serta minuman yang mengandungi ganja, dengan kurang daripada 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) – sebatian psikoaktif yang memberikan sensasi “tinggi” kepada pengguna.

Walaupun langkah itu dikatakan bertujuan untuk memperkukuh sektor pertanian lebih-lebih lagi apabila banyak negara dijangka bakal melonggarkan undang-undang berkaitan penggunaan ganja bagi perubatan atau peribadi, dari satu sisi, usahawan Thailand dilihat mengorak langkah lebih awal untuk menjadi gergasi pasaran ganja susulan liberalisasi penggunaan bahan mengkhayalkan itu. Selain itu, keputusan itu juga bakal merancakkan lagi industri pelancongan di negara terbabit, namun larangan menggunakan ganja untuk kegunaan rekreasi dan pengeluaran apa-apa sahaja produk, makanan atau minuman yang mempunyai lebih daripada 0.2 peratus THC dilihat sebagai masih mengehadkan perdagangan ganja secara menyeluruh.

Di dunia, hanya tiga buah negara yang menghalalkan ganja, iaitu Uruguay, Kanada dan Thailand. Perkembangan ganja di Thailand itu ternyata menarik perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meminta kerajaan Thailand mengemukakan alasan yang kukuh berhubung tindakan negara tersebut mengeluarkan ganja daripada senarai bahan narkotik berbahaya.

Penasihat Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB), Viroj Sumyai berkata, PBB juga akan meneliti draf undang-undang berkaitan ganja yang digubal oleh Thailand. Jelas beliau, sekiranya negara tersebut didapati melanggar Konvensyen 1961 mengenai narkotik, Thailand perlu memperbetulkan kekhilafan itu dan membuat laporan semula.

Jika langkah ini tidak dilaksanakan, INCB akan mendapatkan resolusi daripada Perhimpunan Agung PBB (UNGA). Sekiranya didapati kawasan penanaman ganja di Thailand boleh membawa kepada kegiatan perdagangan haram narkotik, PBB akan memaklumkan perkara itu kepada Majlis Ekonomi dan Sosial. Seluruh dunia akan dimaklumkan menerusi laporan tahunan bahawa Thailand sudah melanggar perjanjian narkotik antarabangsa

INCB turut mengakui terdapat kebimbangan mengenai kesan buruk akibat dasar berkenaan kerana Thailand merupakan satu daripada negara yang memeterai perjanjian berkaitan dengan narkotik pada tahun 1961. Di bawah perjanjian itu, ganja diklasifikasikan sebagai bahan terlarang, namun penggunaannya dibenarkan bagi tujuan perubatan dan berada di bawah pengawasan pihak berkuasa. Meskipun dasar membenarkan penggunaan ganja adalah untuk tujuan perubatan dan kajian, rang undang-undang mengenainya masih belum diluluskan.

“Disebabkan rang undang-undang itu masih belum diluluskan, Kementerian Luar Thailand bimbang kerana perlu menjelaskan perkara itu kepada INCB dan negara Asia Tenggara lain. Terdapat juga persoalan berbangkit mengenai bagaimana untuk menghalang kemasukan ganja dari Thailand ke negara jirannya serta kesan daripada dasar ‘menghalalkan’ ganja,” kata INCB dalam satu kenyataan.

Pada 26 Jun 2022, menurut Bangkok Post majoriti rakyat Thailand yang mengikuti satu kaji selidik menyatakan kebimbangan mereka mengenai kesan ganja dikeluarkan daripada senarai narkotik. Kaji selidik tersebut dijalankan oleh Universiti Suan Dusit Rajabhat, Bangkok, pada 20 hingga 23 Jun terhadap 2390 orang dari seluruh negara secara dalam talian dan mendapati bahawa sebanyak 70.63 peratus “berasa bimbang” dengan keputusan kerajaan Thailand itu; sebanyak 37.78 peratus “agak bimbang”; dan 32.85 peratus lagi “sangat bimbang”. Hanya sebanyak 16.27 peratus menjawab “sedikit bimbang”, manakala 13.10 peratus “tidak bimbang langsung”.

Ditanya apakah yang membuatkan mereka khuatir tentang pelonggaran undang-undang berkaitan dengan ganja? Sebanyak 84.58 peratus menjawab orang ramai masih kekurangan pengetahuan untuk penggunaan ganja yang betul; sebanyak 82.16 peratus menjawab ganja akan mudah diakses oleh kanak-kanak dan remaja yang sekadar mahu mencuba; dan sebanyak 73.73 peratus berkata masih tiada garis panduan praktikal yang jelas atau undang-undang tentang penggunaannya.

Berkait dengan cadangan bagaimana peraturan yang sepatutnya dilakukan, sebanyak 88.38 peratus berkata remaja tidak boleh dibenarkan mencubanya dan semua institut pendidikan perlu bebas ganja; sebanyak 82.26 peratus berkata perlu diberikan amaran yang menentang penggunaannya terutama dalam makanan; dan sebanyak 81.67 peratus berkata pengiklanan produk berasaskan ganja perlu disekat.

Di Malaysia, ganja merupakan bahan terlarang. Maka itu, sebagai negara jiran kepada Thailand, penghapusan ganja daripada senarai narkotik dan membenarkan rakyat negara itu menanam tumbuhan tersebut di rumah, dibimbangi akan meningkatkan risiko penyeludupan ganja ke negara ini. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, keputusan Thailand itu secara langsung turut menimbulkan keghairahan kepada tokan tempatan untuk mendapatkan bekalan dari negara berkenaan. Susulan itu kata Ayob Khan, polis akan melipatgandakan kawalan di kesemua pintu sempadan Malaysia-Thailand termasuk memantau pergerakan yang mencurigakan membabitkan cubaan penyeludupan ganja.

Keputusan muktamad membenarkan rakyat Thailand menanam ganja sudah pun dimuktamadkan, difahamkan pokok ganja mempunyai tempoh matang antara empat hingga sembilan bulan sebelum dituai untuk digunakan. Pastinya banyak kajian akan dilakukan berhubung dengan keputusan tersebut, sama ada keputusan tersebut tepat ataupun sebaliknya hanya akan diketahui tidak lama lagi, iaitu selepas ganja yang ditanam mula digunakan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!