4 Julai 2022, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyampaikan nasihat buat anggota masyarakat khususnya golongan belia supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang isu sektarian yang boleh membawa kepada perlakuan keganasan.

Baginda juga berharap agar golongan belia sentiasa bersatu hati dalam memperteguh agenda keamanan dan keselamatan yang menjadi salah satu asas kepada kesempurnaan kehidupan.

Raja Muda Perlis (kanan) menyempurnakan penyerahan sumbangan zakat.

Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Mustaqim, Seriab dekat Kangar untuk diagihkan oleh amilnya, Rosli Yob, baru-baru ini. Penerima sumbangan akan menerima RM700 setiap seorang.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa mengambil iktibar supaya tidak mudah meninggalkan warisan budaya Melayu Muslim dalam usaha mengisi dan mengukir segala corak kemajuan yang akan dibina.

Lambakan isu negatif seperti keganasan, bunuh diri, penagihan najis dadah, kehilangan kasih sayang terhadap keluarga dan hakisan nilai murni dalam kalangan masyarakat mampu meruntuhkan nilai moral di samping melemahkan jati diri dan juga menghakis warisan budaya sekiranya tidak dikawal dengan baik oleh setiap individu mahupun kelompok masyarakat sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.