14 Julai 2022, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebanyak lima atlet golf dari Akademi Golf Nasional (AGN) Universiti Utara Malaysia (UUM) mewakili negara ke Kejohanan Golf Universiti Dunia (WUC) 2022 FISU yang akan berlangsung pada 20 Julai hingga 23 Julai 2022 di Royal Park I Roveri, Torino, Itali.

Altet terpilih tersebut ialah Muhammad Farez Mohd Azihan, Charlayne Chong Shin Ling, Nur Maisara Saad dan Valerie Vanessa Langkab, yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Golf), dan seorang pelajar Sarjana Muda Komunikasi, iaitu Muhammad Ikhmal Basry.

Menurut Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah, kejohanan sukan golf universiti peringkat dunia yang diadakan dua tahun sekali merupakan medan terbaik bagi mereka untuk mengembangkan bakat dalam sukan berkenaan.

Bermainlah seperti juara, buat yang terbaik dan bawa pulang pingat demi mengharumkan nama Malaysia dan UUM.

“Sebagai wakil negara, kita perlu sematkan dalam hati bahawa kita bermain untuk menang. Tunjukkan juga yang anak muda UUM memiliki profesionalisme yang tinggi, fokus dan bijak hadapi tekanan kerana itulah pentas untuk melakar kejayaan,” kata beliau dalam Sesi Perjumpaan Naib Canselor Bersama Atlet Golf UUM, serta Penyerahan Bendera di Bilik Mesyuarat Naib Canselor bagi memberi suntikan semangat kepada atlet berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Ikhmal siap siaga menggandakan usaha daripada aspek fizikal dan mental kerana bertanding pada peringkat antarabangsa yang pastinya memberi saingan yang sengit.

“Perasaan saya amat teruja untuk bertanding dengan pemain hebat di seluruh dunia dan lebih bersemangat untuk mewakili Malaysia dan UUM memandangkan persediaan rapi sejak awal tahun telah dibuat dengan mengikut jadual latihan yang disediakan jurulatih berdedikasi, Wan Rosni Wan Chik.”

“Sasaran saya semestinya pingat emas buat Malaysia. Saya berharap seluruh warga kampus mendoakan kejayaan ini,” katanya yang pernah menjuarai kejohanan dalam pertandingan Malaysia Amateur Closed 2018, Era Sport Hainan Junior Golf Tour 2019, serta merangkul pingat perak di ASEAN University Games Myanmar 2018 dan Sukma XIX Perak 2018.

Kejohanan yang dihoskan oleh Turin University Sports Center itu menyaksikan empat acara dipertandingkan, iaitu acara individu lelaki dan wanita, serta berpasukan lelaki dan wanita.

Sementara itu, Pengarah AGNUUM selaku pengurus pasukan, Profesor Madya Dr. Azman Yasin berkata, Malaysia menyasarkan kutipan pingat pada kejohanan kali ini memandangkan pingat terakhir yang dikutip adalah pada kejohanan tahun 2014.

Katanya, pemilihan ke kejohanan terbesar peringkat universiti dunia ini dibuat berdasarkan pencapaian terbaik pemain pada kejohanan golf peringkat kebangsaan dan kejohanan Golf Matchplay IPT yang berlangsung pada tahun 2021 dan terpilih secara merit untuk mewakili Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.