19 Julai 2022, 13:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Darah ialah cecair badan yang berfungsi untuk membawa oksigen, nutrien dan hormon dalam badan manusia. Fungsi ini akan dijalankan dengan berkesan apabila sistem-sistem lain dalam badan seperti pernafasan, jantung, buah pinggang, hati dan kelenjar berada dalam keadaan baik. Sekiranya terdapat sistem yang tidak berfungsi dengan sempurna, parameter dalam darah mungkin berubah. Oleh itu, ujian darah boleh membantu mengesan gangguan kesihatan secara umum dan juga boleh mengesan sistem khusus dalam badan yang terganggu.

Contoh sampel darah yang diambil.

Kepentingan ujian darah 

Ujian darah boleh digunakan untuk membuat saringan kesihatan bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang gejala. Contohnya, ujian darah boleh dijalankan untuk mengetahui kandungan gula dan kolesterol dalam darah. Individu yang mempunyai masalah paras gula atau kencing manis dan kolesterol yang berlebihan selalunya tidak mempunyai apa-apa gejala. Walau bagaimanapun, pengesanan awal sangat penting untuk mengelakkan komplikasi jangka masa panjang. Saringan kencing manis disarankan setiap dua tahun sekali bagi golongan yang tidak berisiko setelah mencapai umur 35 tahun. Bagi golongan yang berisiko seperti mempunyai berat badan berlebihan, sejarah keluarga yang menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan pernah menghidap kencing manis semasa mengandung dan juga sudah mencecah umur 40 tahun ke atas, ujian saringan kencing manis perlu dilakukan setahun sekali.

Ujian darah juga digunakan untuk mengesan penyakit tertentu, terutamanya apabila mempunyai gejala. Pegawai perubatan atau kakitangan kesihatan akan melakukan ujian darah ke atas individu berdasarkan gejala yang dialami. Selalunya, gejala yang dialami akan memberi panduan kepada kakitangan kesihatan untuk memilih jenis ujian darah yang diperlukan. Sebagai contoh, pesakit dengan gejala berdebar yang berlarutan, selalu berpeluh dan mempunyai penurunan berat badan walaupun mempunyai selera makan, ujian pengesanan melihat paras hormon tiroid akan dijalankan. Adalah penting untuk pesakit memberikan maklumat kesihatan terperinci kepada kakitangan kesihatan untuk menjalankan ujian darah yang bersesuaian. Saringan untuk semua jenis penyakit sekali gus adalah tidak praktikal dan menyebabkan pembaziran darah dan material untuk menganalisis ujian darah. Selain itu, ujian darah juga dapat membantu mengenal pasti kuman yang berada dalam badan dengan mengesan paras antibodi kepada kuman tertentu yang mengakibatkan pesakit dalam keadaan kritikal.  Penentuan paras hemoglobin juga memerlukan pemeriksaan ujian darah.

Namun begitu, tidak semua keadaan memerlukan ujian darah. Ujian darah hanya akan dibuat sekiranya pesakit disyaki menghidap penyakit tertentu yang boleh dikesan melalui ujian darah. Di jabatan kecemasan contohnya, ujian awal selalunya digunakan untuk mengetahui keadaan umum pesakit bagi memberikan bantuan awal yang diperlukan. Contohnya, apabila pesakit datang dengan muntah yang berlarutan dan teruk, pegawai perubatan akan membuat pemeriksaan badan untuk mengetahui tahap dehidrasi pesakit. Ujian darah diperlukan ketika ini untuk membantu melihat sama ada kandungan garam telah berkurangan akibat daripada muntah yang berterusan. Sekiranya perlu, ujian darah tambahan akan dibuat untuk mengesan punca pesakit muntah. Muntah boleh disebabkan oleh keracunan makanan, yang mana ujian darah untuk mengetahui punca muntah tidak diperlukan. Tetapi sekiranya pesakit disyaki muntah disebabkan oleh masalah hormon yang tidak stabil atau disebabkan oleh tekanan tinggi dalam saluran cecair otak, ujian darah perlu dijalankan untuk mengesan kemungkinan masalah ketumbuhan dalam otak yang menyebabkan paras hormon tertentu meningkat. Ujian darah akan memberi sokongan kepada kemungkinan diagnosis hasil daripada kisah riwayat penyakit dan pemeriksaan badan pesakit.

 

Persediaan sebelum pengambilan darah

Persediaan pesakit sebelum darah diambil adalah sangat penting bagi memastikan keputusan darah yang dikeluarkan adalah tepat dan boleh digunakan dengan yakin untuk membuat rumusan keadaan pesakit. Sebagai contoh, sekiranya pesakit gagal untuk berpuasa selama 8 hingga 12 jam sebelum menjalankan ujian paras gula dan kolesterol dalam badan, keputusan ujian yang dikeluarkan mungkin tidak dapat digunakan untuk tujuan rawatan dan perlu diulang. Sesetengah ujian darah memerlukan pesakit datang pada sebelah pagi kerana ujian darah tersebut hanya sah sekiranya dilakukan pada waktu pagi. Kebiasaannya, ujian untuk melihat paras hormon dalam darah dilakukan pada sebelah pagi kerana julat rujukan hormon yang dianalisis merujuk kepada kandungan paras hormon pada waktu pagi. Sekiranya ujian ini dilakukan pada sebelah petang, keputusan ujian dikhuatiri tidak akan diinterpretasikan dengan tepat. Pegawai perubatan dan pesakit perlu mempunyai komunikasi yang jelas terutamanya apabila melibatkan ujian darah yang memerlukan pesakit menunda waktu makan ubat atau perlu memberhentikan ubat tertentu sebelum mengambil darah. Terdapat keputusan darah yang memerlukan tarikh hari pertama haid dicatatkan untuk tujuan interpretasi kerana paras normal parameter darah tersebut berbeza mengikut kitaran haid.

 

Apa yang berlaku semasa proses pengambilan darah

Pengambilan darah selalunya dilakukan dalam keadaan duduk di kerusi atau baring di atas katil. Postur badan selalunya tidak memberi kesan signifikan kepada keputusan ujian. Tetapi, ada jenis ujian darah yang perlu diambil setelah pesakit duduk sekurang-kurangnya 15 minit di kerusi untuk menstabilkan paras parameter tertentu dalam darah seperti paras renin, iaitu protein yang keluar daripada ginjal. Dalam kajian spesifik untuk sesuatu penyakit, ada darah yang perlu diambil setelah pesakit mengalami kekurangan gula yang signifikan atau selepas melakukan senaman berintensiti tinggi untuk melihat respons pengeluaran hormon kortisol dan hormon pertumbuhan dalam badan pesakit.  Komunikasi yang baik antara pesakit dan pegawai perubatan amat diperlukan untuk memastikan darah yang diambil berguna untuk perawatan pesakit.

Darah diambil daripada saluran vena atau saluran arteri. Kebanyakan jenis ujian hanya memerlukan darah vena kecuali untuk melihat kandungan gas oksigen dalam darah arteri terutamanya untuk pesakit yang mengalami sesak nafas. Kulit akan dicuci dengan larutan alkohol dalam peratusan yang boleh mematikan bakteria, virus dan fungus sebelum jarum dimasukkan ke dalam saluran darah untuk mengelakkan jangkitan. Ikatan dilakukan untuk pengambilan darah vena di bahagian atas tempat jarum dimasukkan untuk memudahkan darah vena dikenal pasti. Selepas darah dikeluarkan, bahagian tusukan jarum perlu ditekan sehingga darah berhenti. Selalunya darah akan berhenti dalam tempoh yang singkat sahaja. Tetapi sekiranya tempat tusukan jarum masih mengeluarkan darah melebihi 10 hingga 15 minit, pesakit perlu berjumpa dengan pegawai perubatan segera. Darah akan dimasukkan ke dalam tiub tertentu, dengan isi padu yang ditetapkan dan bergantung kepada jenis ujian yang dipilih.

Kesan sampingan selalunya tidak ketara semasa dan selepas darah diambil. Antara kesan sampingan ialah alergi kepada alkohol yang digunakan untuk mencuci kawasan tusukan, sakit disebabkan oleh tusukan jarum atau terkena saraf, lebam pada bahagian tusukan, atau hematoma, iaitu sedikit bengkak dan merah di tempat tusukan jarum. Selalunya komplikasi ini akan hilang dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan susulan. Pesakit perlu merujuk pegawai perubatan semula sekiranya terdapat komplikasi yang teruk . Selepas darah diambil, tiada sebarang aktiviti yang perlu dihadkan kepada pesakit atau individu.

 

Bagaimana darah ini diproses  

Setelah darah diambil, darah tersebut akan didaftar ke dalam sistem klinik atau hospital dan seterusnya dihantar ke makmal. Di makmal, darah tersebut akan dipastikan daripada pesakit yang didaftarkan. Pemprosesan sampel darah dijalankan di makmal khusus, bergantung kepada jenis ujian yang dipilih oleh pegawai perubatan. Staf makmal akan memastikan kawalan mutu alat yang digunakan dalam keadaan baik sebelum memproses darah. Darah tersebut akan melalui proses tapisan mata kasar dan secara halus untuk melihat sama ada darah tersebut dalam keadaan baik atau rosak. Darah yang rosak, membeku atau sel darah merah telah pecah dengan teruk, tidak akan diproses kerana berpotensi mengeluarkan keputusan ujian yang salah. Setelah pemeriksaan awal mendapati darah dalam keadaan baik, maka analisa ujian dijalankan. Apabila keputusan ujian dikeluarkan oleh alat, staf atau pegawai perubatan makmal akan melakukan pengesahan atau pemeriksaan untuk memastikan keputusan yang dikeluarkan adalah tepat dan jitu, dan seterusnya dihantar ke sistem klinik atau hospital.

 

Kenali keputusan darah anda 

Pesakit sebaik-baiknya memahami keputusan ujian darah masing-masing.

Sebaik-baiknya pesakit digalakkan cuba memahami sedikit sebanyak keputusan darah masing-masing, terutamanya yang melibatkan penyakit kronik. Pesakit kencing manis perlu dibiasakan untuk mengawal sendiri paras gula dalam darah. Paras HbA1c akan digunakan untuk mengawasi gula dalam darah untuk tempoh 3 bulan dari masa darah diambil. Bacaan paras gula dan HbA1c yang tidak berpadanan menunjukkan pesakit hanya mengawal gula dalam darah beberapa hari sebelum darah diambil. Pegawai perubatan boleh menerangkan kepada pesakit kepentingan ujian darah yang dibuat. Sebagai contoh, paras urea dan creatinine untuk melihat fungsi ginjal, paras albumin, koagulasi dan enzim hati (ALT, AST) untuk melihat fungsi hati. Sel jantung yang mati akan mengeluarkan protein seperti troponin dan enzim sel jantung. Sel jantung akan mati apabila tidak mendapat bekalan oksigen dan darah yang mencukupi disebabkan oleh saluran jantung tersumbat (serangan sakit jantung). Oleh itu, selain pemeriksaan jantung dengan alat elektrokardiogram, pesakit juga akan menjalani ujian darah untuk mengesahkan diagnosis serangan jantung. Bagi pesakit yang mengalami masalah kecelaruan hormon seperti tiroid, hormon dari kelenjar adrenal dan sebagainya, pesakit perlu memahami keputusan ujian supaya dapat memahami keadaan penyakit sendiri dan berusaha untuk mengawal keadaan penyakit masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.