28 Julai 2022, 20:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yakin program MFLS dapat mendekatkan rakyat untuk memahami hal-hal berkaitan dengan institusi beraja.

Kuala Lumpur – Program anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia merupakan modul program di bawah elemen kenegaraan, iaitu Institusi Beraja. Modul ini bertujuan untuk mendekatkan rakyat, terutamanya golongan belia dengan institusi beraja, selain memahami realiti dan fakta tentang kepentingan sistem pemerintahan beraja atau sistem kesultanan.

Para peserta Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 Tahun 2022 amat teruja dengan komitmen dan keramahan mesra Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berserta Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan berangkat menghadiri “Majlis Titipan Titian Kasih Bersama DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis” yang diadakan di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada petang semalam.

Objektif utama program ini adalah bertunjangkan tujuh elemen, iaitu kepimpinan, kenegaraan, pembentukan watak dan jati diri, keusahawanan, kesukarelawanan, komunikasi dan pengantarabangsaan. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah “Bicara Tokoh”, “Bicara Ikon”, “Bicara Kenegaraan”, “Bicara Jati Diri”, aktiviti kesukarelawanan, lawatan institusi, perbahasan ala parlimen dan komunikasi berimpak tinggi.

Menurut i-LEAD, program ini telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan dilaksanakan secara bersemuka sepenuhnya bermula pada 16 hingga 30 Julai 2022. Jumlah peserta pada kali ini adalah sebanyak 150 orang yang terdiri daripada kalangan peserta terbaik program MFLS Tier 2 pada tahun 2019, 2020 dan 2021.

Dalam perkembangan majlis yang sama pada sebelah pagi, peserta berpeluang untuk mendengar ceramah bertajuk “Raja Muda Perlis: Berjiwa Rakyat Menyantuni Masyarakat” oleh Setiausaha Sulit kepada DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Zaharin Haris, “Kemudi Diraja Bahtera MAIPs” oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor dan “Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Segala Tindakan” oleh Mufti Perlis, Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Menyambut keberangkatan tiba tetamu diraja berkenaan ialah Ketua Pengarah i-LEAD, Haji Mohd. Haswandi Haji Ahmad yang diiringi Presiden serta Timbalan Presiden MFLS Tier 3, Fadhlin Hadhira Mohad Hakimi dan Muhammad Fadhlan Muaallin Ahmad Fauzi.

Turut hadir bersama-sama memeriahkan majlis ini ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Dato Sri’ Ti Lian Ker, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Abdullah Hasan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd. Razali serta Pengurusan Tertinggi KBS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.