29 Julai 2022, 19:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru baru ini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa badan kehakiman hanya menjalankan fungsi kehakimannya dengan mengikuti duluan atau “precedent” yang telah ditetapkan dalam memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan Perlembagaan. Pada pandangan penulis, kenyataan ini dibuat sebagai tindak balas terhadap dakwaan-dakwaan yang mengatakan badan kehakiman telah berfungsi melebihi kuasanya. Secara tidak langsung kenyataan ini mencerminkan niat dan usaha Ketua Hakim Negara untuk mempertahankan kedaulatan dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.

Kebebasan badan kehakiman  amat mustahak dalam amalan demokrasi bagi memastikan kuasa dan had-hadnya yang ditetapkan oleh undang-undang dihormati dan diikuti. Untuk mencapai matlamat ini, Sir Browne Wilkinson pernah menyatakan bahawa, seseorang hakim itu haruslah bebas daripada apa-apa tekanan daripada kerajaan atau sesiapa sahaja mengenai tatacara untuk memutuskan keputusan sesebuah kes.  Namun begitu, ada pihak yang mengatakan bahawa kebebasan badan kehakiman telah terhakis lantaran daripada beberapa kontroversi yang menimpa badan kehakiman, terutamanya krisis kehakiman yang terjadi pada tahun 1988. Akibat daripada krisis ini, badan kehakiman terpaksa melalui pelbagai fasa bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kebebasannya.

Doktrin Pembahagian Kuasa

Demokrasi yang berfungsi dengan baik ialah sebuah demokrasi yang berpaksikan perlaksanaan doktrin pemisahan kuasa yang ampuh dan berkesan. Menurut sejarah, doktrin ini dipercayai dipelopori oleh cendekiawan terkemuka Yunani, Aristotle, dan seterusnya dikembangkan oleh sarjana-sarjana terkemudian seperti John Locke, Montesquie dan James Madison. Secara mudahnya, doktrin ini menolak pemusatan dan monopoli kuasa oleh sesuatu badan atau pihak, atas kepercayaan bahawa perkara tersebut boleh membawa kepada pencabulan hak, kezaliman, ataupun kemaharajalelaan. Melalui doktrin ini, kuasa sesebuah negara dipisahkan kepada tiga cabang utama, iaitu institusi pemerintah atau kerajaan, perundangan dan juga badan kehakiman. Melalui doktrin ini, setiap daripada cabang utama negara dituntut untuk menjalankan fungsi-fungsi yang ditetapkan perlembagaan dan undang-undang tanpa mengganggu atau merendahkan kuasa dan fungsi badan yang lain. Kaedah ini akan mewujudkan keadaan semak dan imbang antara cabang-cabang yang telah dipisahkan. Oleh hal yang demikian, elemen semak dan imbang yang wujud memberikan kuasa kepada setiap cabang yang dipisahkan untuk mengehadkan kuasa cabang yang lain. Sebagai contoh, badan kehakiman mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan yang dibuat oleh kerajaan sama ada keputusan tersebut telah melalui proses perundangan yang betul ataupun sebaliknya melalui kaedah semakan kehakiman. Sekiranya keputusan yang dibuat oleh kerajaan tersebut didapati tidak mengikuti lunas-lunas undang-undang, maka mahkamah berhak untuk membatalkan keputusan kerajaan tersebut. Oleh itu secara teorinya, setiap cabang berkuasa untuk menyemak cabang-cabang yang lain bagi memastikan bahawa kuasa yang diagihkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan juga undang-undang sedia ada dilaksanakan secara sama rata dan seimbang.

Jaminan Kebebasan Kehakiman di bawah Perlembagaan Persekutuan

Secara amnya, tanggapan terhadap kebebasan badan kehakiman boleh dilihat melalui tiga sisi; yang pertama, badan kehakiman haruslah bebas daripada segi strukturnya, iaitu dipisahkan daripada cabang-cabang yang lain. Kedua, kebebasan itu haruslah sebuah kebebasan yang berfungsi, iaitu bukanlah hanya bersifat kosmetik atau sekadar formaliti. Akhir sekali, kebebasan kehakiman juga bermula daripada faktor personaliti dan integriti seseorang hakim itu sendiri, iaitu beliau haruslah bersifat terbuka, tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran yang boleh menjejaskan kebebasannya, seperti faktor ekonomi, sosial dan juga kecenderungan politik. Menurut Profesor Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, kebebasan badan kehakiman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan menerusi beberapa fasal. Pertama, Perkara 123 dan Perkara 122B memberikan sedikit perlindungan terhadap badan kehakiman berkenaan dengan kaedah pelantikan hakim. Walaupun seorang hakim, secara amnya dilantik oleh pemerintah, namun pelantikan tersebut tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya kerana Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan syarat-syarat khas yang tertentu. Sebagai contoh, seseorang calon hakim yang mahu dilantik haruslah memenuhi syarat-syarat minimum yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Malah, bagi tujuan lantikan hakim mahkamah atasan, rundingan dengan pihak ketiga yang disebut dalam perlembagaan haruslah dijalankan.

Perlembagaan Persekutuan juga menjamin tempoh pemegangan jawatan seseorang hakim kerana seseorang hakim mahkamah atasan tidak boleh dilucutkan jawatan tanpa melalui satu proses pendengaran oleh sebuah Tribunal Khas. Tribunal khas ini haruslah dianggotai sekurang-kurangnya oleh lima orang hakim mahkamah atasan yang sedang berkhidmat atau yang pernah berkhidmat di Malaysia, ataupun mengikut kesesuaian mana-mana negara Komanwel. Sebab-sebab penyingkiran yang digariskan oleh undang-undang juga hanya terhad kepada pelanggaran etika kehakiman, keuzuran tubuh badan dan minda, serta atau apa-apa sebab lain yang tidak memungkinkan seseorang hakim boleh melaksanakan tugasnya dengan baik.

Tambah Profesor Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi lagi, walaupun umur persaraan seorang hakim ialah 65 tahun, namun khidmatnya boleh disambung selama enam bulan walaupun jika telah melepasi had umur persaraannya. Pendapatan seorang hakim juga tidak boleh dikurangkan dan saraan seseorang Hakim Mahkamah Persekutuan diperuntukkan dan dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan yang dibentuk melalui penggubalan undang-undang oleh Parlimen dan bukannya oleh kerajaan. Hal ini penting bagi memastikan bahawa institusi kehakiman bebas daripada sebarang bentuk ugutan dan ancaman, termasuklah dari segi kewangan. Tambahan pula, Perkara 127 juga melarang sebarang bentuk perbahasan atau perbincangan mengenai kelakuan seseorang hakim di Parlimen, kecuali melalui satu usul khusus yang disokong oleh tidak kurang satu pertiga daripada ahlinya. Seterusnya, Kod Etika Kehakiman juga melarang keras daripada seseorang hakim terlibat secara langsung dengan apa-apa kegiatan politik. Selain itu, Perkara 122C melarang seseorang hakim dipindahkan atas arahan mana-mana pihak kecuali dengan keizinan atau nasihat Ketua Hakim Negara. Selain itu, Perkara 126 memberikan kuasa kepada hakim untuk menghukum kesalahan penghinaan mahkamah bagi memelihara integriti badan kehakiman. Seterusnya, walaupun tidak dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang hakim juga dilindungi daripada sebarang tindakan undang-undang, sama ada jenayah atau sivil dalam melaksanakan tugasnya sebagai hakim.

Tambahan pula, Perlembagaan Persekutuan turut memberi perlindungan dalam bentuk yang menjamin sistem dan struktur badan kehakiman itu sendiri. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan mana-mana pihak mengganggu-gugat, atau mengubah hierarki, bidang kuasa, dan juga komposisi mahkamah sepertimana yang telah digariskan oleh undang-undang. Sebagai contoh, Perkara 122, Perkara 122A dan Perkara 122AA jelas memperuntukkan jumlah maksimum hakim mahkamah atasan yang boleh dilantik. Pada pendapat penulis, hal ini adalah mustahak bagi memastikan bahawa pelantikan hakim tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya terutamanya bagi mengukuhkan aspirasi politik pemerintah. Dalam hal ini, hanya Yang Dipertuan Agong diberikan mandat oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menambah jumlah bilangan hakim mahkamah atasan melalui Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan. Hal ini dikatakan demikian kerana apa-apa tindakan oleh Yang Dipertuan Agong adalah bersifat apolotikal dan tidak memihak kepada mana-mana aspirasi politik.

Seperti yang dinyatakan di atas, kebebasan badan kehakiman haruslah dijunjung dan dihormati sepertimana yang dianjurkan oleh Perlembagaan dan lunas-lunas asas demokrasi.  Pada masa yang sama, walaupun kebebasan kehakiman dijamin secara bertulis oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, namun tidak dinafikan bahawa masih terdapat beberapa kelemahan yang harus diatasi. Dalam hal ini, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi memastikan kebebasan badan kehakiman dipelihara dan terjaga.

 

Penulis, Pensyarah, Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.