3 Ogos 2022, 18:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini seorang pengkaji masalah kesesakan jalan raya telah merumuskan bahawa kaedah penyelesaian bagi masalah kesesakan di jalan raya ialah dengan mengehadkan usia kereta yang dibenarkan menggunakan jalan raya diberikan kepada kereta yang hanya berusia 10 tahun ke bawah. Hal ini bermakna, apabila kereta mereka sudah berusia lebih 10 tahun, pemilik kereta tersebut perlu membeli kereta baharu dan melupuskan kereta lama.

Pada pandangan penulis, cadangan tersebut adalah seperti menyuruh orang yang datang awal ke masjid supaya keluar dari masjid selepas berada di dalamnya selama 10 minit untuk menyelesaikan masalah kesesakan yang berlaku di dalam masjid walaupun solat belum didirikan. Kemudian orang-orang tersebut akan dibenarkan untuk masuk semula ke dalam masjid dengan beratur untuk masuk semula bagi mendirikan solat. Adakah  kaedah ini akan menyelesaikan masalah kesesakan yang berlaku di dalam masjid itu?

Analogi lain adalah seperti masalah terlampau banyak perabot di dalam rumah. Dengan menggunakan logik beliau, pemilik rumah akan dinasihati untuk membuang semua perabot yang berusia lebih 10 tahun dan membeli perabot baharu. Adakah kaedah ini juga akan menyelesaikan masalah keadaan rumah yang padat?

Sudah pasti cadangan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah secara langsung kerana jumlah kereta di jalan raya tidak akan berkurangan. Oleh sebab kilang-kilang kereta masih mengeluarkan ribuan kereta pada setiap hari dan pengguna dipaksa untuk terus membeli, maka kesesakan jalan raya akan terus bertambah teruk dari tahun ke tahun. Dengan kata lain, cadangan pengkaji tersebut sebenarnya tidak masuk akal sama sekali.

Beliau juga turut menyatakan bahawa kereta yang berusia lebih 10 tahun tidak selamat berbanding dengan kereta yang digunakan di bawah usia 10 tahun. Marilah kita berfikir secara waras, iaitu antara kereta yang berumur kurang 10 tahun tetapi tayarnya sudah botak dan pad brek pula tidak pernah ditukar berbanding dengan kereta yang berumur lebih 10 tahun, namun tayar dan pad breknya masih baharu, manakah yang lebih selamat untuk digunakan di atas jalan raya? Secara logiknya, sudah tentu kenderaan dengan tayar dan pad  brek baharu yang lebih selamat. Jelaslah di sini bahawa penyelidik berkenaan tidak menyedari bahawa faktor utama keselamatan pengguna jalan raya melibatkan amalan penyelenggaraan kereta dan tidak semestinya melibatkan umur kereta.

Selain itu, satu lagi kenyataan beliau termasuklah kereta yang berumur lebih daripada 10 tahun adalah tidak baik untuk alam sekitar. Andaian ini juga tidak berasas. Cuba kita bayangkan senario individu tertentu. Sebagai contoh, katakanlah Encik Ahmad (bukan nama sebenar) yang bergaji rendah membeli kereta baharu berharga RM100 ribu ringgit dengan cara berhutang selama sembilan tahun. Oleh sebab beliau perlu membayar hutang tersebut, Encik Ahmad dan mungkin juga isterinya akan bergilir-gilir menjadi pemandu Grab selepas pulang daripada kerja untuk menjana pendapatan tambahan. Akibatnya, kereta yang baru dibelinya itu akan dipandu pada setiap hari sejauh ratusan kilometer serta menggunakan petrol berpuluh-puluh liter sehari.

Bandingkan pula dengan keadaan jiran beliau, iaitu Encik Rashid (bukan nama sebenar) yang telah selesai membayar hutang kereta yang berumur 10 tahun. Encik Rashid tidak berminat untuk membeli kereta baharu dan oleh itu tidak perlu mencari pendapatan lebih dengan menjadi pemandu Grab. Selepas pulang daripada kerja, beliau berpeluang berehat dengan selesa di rumah dan selepas itu akan ke surau untuk solat Maghrib dan Isyak. Apabila pulang dari masjid, beliau dengan gembiranya dapat meluangkan masa untuk makan malam bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya. Selepas makan malam pula, beliau akan menggunakan masa yang ada untuk berbual-bual dengan isteri dan anak-anak sebelum tidur. Oleh sebab beliau hanya menggunakan kereta untuk pergi kerja dan menguruskan keperluan penting sahaja, maka kereta beliau hanya berjalan sejauh purata 20 kilometer sehari sahaja. Contoh ini adalah jelas membuktikan bahawa sebenarnya kereta Encik Rashid adalah lebih mesra alam sekitar berbanding dengan kereta Encik Ahmad walaupun kereta Encik Ahmad itu lebih baharu.

Namun demikian, apa-apa yang lebih penting untuk kita sedari termasuklah proses pembuatan kereta baharu oleh kilang-kilang sangat banyak menggunakan tenaga dan mengeluarkan karbon dioksida. Jika kereta hanya boleh digunakan selama 10 tahun sahaja, maka kilang-kilang kereta akan lebih banyak mengeluarkan kereta-kereta baharu. Keadaan ini sudah tentu akan terus meningkatkan pendapatan kepada industri kereta. Pendapatan kepada industri perbankan juga akan turut bertambah kerana kebanyakan pembeli akan berhutang untuk membeli kereta baharu. Namun demikian, kesan kepada alam sekitar sebenarnya pula jauh semakin tenat akibat operasi kilang kereta yang semakin meningkat.

Ada dalam kalangan kita yang menyangka bahawa kereta baharu yang menggunakan teknologi elektrik akan membantu mengurangkan kesan negatif kepada alam sekitar. Teknologi ini dikenali sebagai teknologi hijau. Namun demikian, bagi membekalkan tenaga tersebut, bekalan elektrik terpaksa ditambah di stesen-stesen jana kuasa. Secara umumnya, ada antara kita yang mungkin tidak sedar bahawa kebanyakan stesen jana kuasa yang membekalkan tenaga elektrik di Malaysia menggunakan arang batu, gas dan minyak diesel. Oleh itu, peningkatan operasi stesen jana kuasa akan menambahkan jumlah karbon dioksida ke ruang udara dan meningkatkan pencemaran.

Dalam kalangan rakyat yang dipaksa membeli kereta baharu pada setiap 10 tahun, kebanyakan daripada mereka terpaksa berhutang dengan bank setiap 10 tahun dalam jumlah puluhan atau ratusan ribu ringgit. Mereka terpaksa bekerja keras untuk memastikan mereka mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membayar balik pinjaman pembelian kereta baharu. Aktiviti ekonomi sudah pasti akan bertambah. Jumlah kilang-kilang dan pejabat-pejabat akan bertambah dan jumlah kereta di jalan raya juga akan turut bertambah. Namun begitu, bayangkan kesan negatifnya terhadap alam sekitar. Maka, situasi inilah sebenarnya yang sedang berlaku di bandar-bandar besar di negara China apabila kabus hitam (smog) dilaporkan semakin bertambah teruk pada setiap tahun.

Sebenarnya, perkara yang sangat penting untuk kita sedari adalah jika kereta yang digunakan sudah berusia 10 tahun dan diselenggarakan dengan baik, besar kemungkinan kereta berkenaan masih elok dan masih boleh dipakai tanpa sebarang masalah. Oleh itu, polisi melupuskan kereta yang masih berkeadaan baik jelas merupakan suatu pembaziran. Dalam Islam, pembaziran adalah sesuatu yang amat dibenci oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya yang jelas di dalam Surah Al Isra, ayat 27 yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang membazir yang membelanjakan harta kepada jalan yang menyalahi syarak itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.

Berbalik pada senario Encik Rashid, cuba kita bayangkan suasana malang yang akan menimpa beliau apabila kerajaan bersetuju untuk menerima cadangan oleh pengkaji tersebut dan menguatkuasakan polisi untuk menghalang kereta yang berumur lebih daripada 10 tahun daripada menggunakan jalan raya. Encik Rashid terpaksa melupuskan kereta beliau dan membeli kereta baharu yang berharga puluhan ribu ringgit. Beliau perlu meminjam dari bank untuk membeli kereta baharu tersebut kerana tidak mampu untuk membeli secara tunai. Oleh sebab beliau berpendapatan rendah, maka beliau terpaksa berhutang dengan bank selama sembilan tahun walaupun sebenarnya tidak perlu jika beliau dibenarkan menggunakan kereta beliau yang memasuki usia 11 tahun dan telah diselenggarakan dengan baik sebelum itu. Akibat daripada keadaan tersebut, Encik Rashid juga terpaksa menjadi pemandu Grab pada sebelah malam untuk menjana pendapatan tambahan. Beliau tidak lagi dapat pergi ke surau selepas pulang daripada kerja dan juga tidak akan ada banyak masa untuk bersama-sama dengan anak-anak dan isterinya. Adakah keadaan seperti ini akan mewujudkan keadaan yang sejahtera dalam kalangan masyarakat? Adakah kerajaan perlu menerima cadangan seperti ini?

Kerajaan perlu berhati-hati apabila mendengar nasihat daripada golongan yang menggelar diri mereka sebagai pakar, namun sebenarnya tidak berfikiran jauh sebelum memberikan padnangan mereka. Polisi memaksa kereta dilupuskan selepas 10 tahun merupakan polisi yang berasaskan sikap kebendaan semata-mata, iaitu dengan mementingkan pertumbuhan ekonomi yang mengatasi segala-galanya. Polisi tersebut sudah tentu akan menguntungkan segelintir pihak yang memiliki saham dalam industri kereta dan juga industri kewangan sahaja. Akan tetapi, polisi tersebut secara jangka panjang akan mendatangkan kesengsaraan kepada jutaan rakyat, terutamanya kepada golongan yang berpendapatan rendah. Tidak dinafikan lagi bahawa cadangan yang dikemukakan ini merupakan polisi yang tidak wajar kerana negara Barat seperti Amerika dan Eropah juga masih enggan melaksanakannya. Adalah amat pelik jika sebaliknya negara Islam seperti Malaysia pula yang menguatkuasakannya.


Profesor Dr. Mohd. Nazari Ismail, Profesor Kehormat, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.