18 Ogos 2022, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Naratif merupakan satu bentuk penceritaan yang mempunyai bahagian permulaan, pertengahan dan pengakhiran yang jelas. Naratif memberikan maklumat mengenai adegan, watak dan konflik yang tidak dapat diselesaikan pada awalnya tetapi beroleh penyelesaian pada akhir penceritaan. Pujukan naratif pula ialah kesan daripada naratif terhadap sikap, kepercayaan dan tingkah laku individu yang terdedah kepada naratif tersebut.

Menurut hasil kajian terdahulu, pujukan naratif dalam bahan berasaskan teks terbukti sangat berkesan untuk penggunaan naratif dalam program Hiburan-Pendidikan atau “Entertainment Education” (E-E). E-E merupakan satu strategi komunikasi yang bermatlamat untuk menangani isu sosial atau pun meningkatkan pengetahuan penonton mengenai masalah yang dihadapi, mewujudkan sikap yang baik, membetulkan norma sosial dan mengubah tingkah laku. Pendekatan E-E yang berjaya perlu melalui suatu proses tuntas dalam merancang dan melaksana mesej media dengan tujuan untuk menghibur dan juga mendidik.

Namun begitu, tidak banyak kajian yang dilakukan untuk mengukur pujukan naratif berdasarkan iklan pendek mahu pun iklan panjang seperti Hebahan Khidmat Awam atau “Public Service Announcement” (PSA). Oleh itu, satu kajian perlu dijalankan bagi mengenal pasti cara atau kaedah proses naratif PSA beroperasi dalam meraih perhatian penonton.

E-E telah digunakan sebagai alat untuk mengubah tingkah laku manusia di serata dunia dalam era penggunaan media yang meluas dan hampir tepu. Sebagai contoh, kaedah ini telah digunakan untuk memerangi masalah buta huruf di Amerika Latin (melalui telenovela Peru dan Mexico pada tahun 1969 dan 1970, “Simplemente Maria”), yang mempromosikan kesetaraan gender di Asia Selatan (melalui siri kartun “Meena” dari Bangladesh pada tahun 1991 dan tersebar ke negara-negara India Selatan), membasmi kemiskinan dan kempen untuk kesedaran HIV/AIDS di Afrika (melalui siri drama televisyen Afrika Selatan pada tahun 1992, “Soul City”). Di Malaysia pula, satu contoh terbaik ialah siri Dilema Wanita yang ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 11 musim. Rancangan berupa drama pendek ini berkisar tentang konflik yang dihadapi oleh golongan wanita khususnya dalam menjadi ibu, isteri mahu pun sebagai seorang pekerja di pejabat. Pada akhir setiap siri, pakar motivasi terkenal Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah akan memberi sedikit kesimpulan dalam bentuk nasihat kepada penonton sebagai pengajaran kepada mereka yang mungkin mempunyai masalah yang serupa.

Kesemua program E-E ini didasarkan menerusi langkah-langkah yang dirancang secara teliti dengan melibatkan pelbagai pihak setelah mengkaji masalah sosial dan kesihatan masyarakat tertentu. Disokong oleh teori sosial, psikologi dan komunikasi, pakar daripada pelbagai bidang bekerjasama untuk merancang, melaksana dan memantau kejayaan program E-E tersebut. Usaha kolaborasi oleh pakar daripada pihak penerbitan dan pakar E-E adalah penting bagi kejayaan sesebuah program E-E.

Kajian dan pelaksanaan E-E adalah berdasarkan pelbagai teori dan model yang telah dibangunkan oleh pengkaji terdahulu. Pakar E-E menumpukan kajian kepada proses pujukan naratif daripada perspektif E-E dengan mempertimbangkan Teori Kognitif Sosial Bandura dan mengembangkan Model Penghuraian Penerangan atau “Elaboration Likelihood Model” (ELM) yang diperluas dengan menambahkan konteks naratif. Mekanisme pemujukan naratif beroperasi agak kompleks. Terdapat banyak penyelidikan yang telah dilaksanakan untuk mengkaji kekuatan pujukan naratif sehingga menjadi begitu berkesan dalam mempengaruhi sikap, niat, kepercayaan dan tingkah laku yang berkaitan dengan penceritaan. Secara umumnya, pujukan naratif meningkatkan kesan pujukan dan mengurangkan hujah balas. Pujukan naratif dapat meningkatkan pengenalan (kepada watak-watak dalam jalan cerita) dan penyerapan ke dalam cerita, bagi mengatasi penentangan terhadap mesej media.

Daripada perspektif E-E, pujukan naratif digunakan secara strategik untuk mengatasi penentangan. Satu contoh bentuk E-E yang paling berkesan ialah drama bersiri yang kebiasaannya berterusan untuk jangka masa yang panjang (berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun) dalam proses menghibur dan melibatkan penonton yang setia. Contoh ini merupakan manipulasi pujukan naratif oleh pereka program E-E bagi menambahkan keberkesanan program E-E. Lama-kelamaan, penonton yang terlibat dengan naratif akhirnya terpengaruh oleh sikap, niat dan tingkah laku yang berkaitan dengan jalan cerita. Program EE ini adalah berdasarkan Model Hiburan Mengatasi Penentangan atau “Entertainment Overcoming Resistance Model” (EORM).

EORM melibatkan dua konstruktif utama, iaitu penglibatan dengan naratif dan penglibatan dengan watak dalam penceritaan. Penglibatan dengan watak terdiri daripada pengenalan, pengenalpastian, kesamaan, interaksi parasosial atau “Parasocial Interaction” (PSI), dan kesukaan kepada watak. Konstruksi ini boleh dikaitkan dengan konsep model sosial seperti yang dibawa oleh Teori Kognitif Sosial Bandura. Penglibatan dengan naratif pula digambarkan sebagai fenomena yang sama seperti penglibatan, penyerapan dan pengangkutan.

Para penyelidik telah menguji model ini dengan membandingkan program naratif dan bukan naratif mengenai kesan buruk kehamilan yang tidak dirancang dalam kalangan remaja. Terdapat juga penyelidikan yang menerangkan rasional mengenai penggunaan komunikasi naratif sebagai alat perubahan tingkah laku yang melibatkan kesihatan.

Satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 2008, telah mempelopori cabaran penyelidikan dalam pujukan naratif dengan menyarankan penggunaan mesej naratif yang berkesan untuk berhubung dengan penonton dan pertimbangan perbezaan antara media. Peranan naratif diringkaskan sebagai “menyentuh emosi, mempengaruhi kepercayaan, mengajar tingkah laku baharu dan membentuk identiti budaya kita” daripada perspektif pengangkutan (transportation) dan keupayaan pengangkutan individu (individual transportability). Penyelidikan yang paling hampir dengan kajian ini mengembangkan pengukuran bagi naratif yang melibatkan campur tangan unsur multimedia bagi kempen berhenti merokok.

Terdapat juga kajian yang melihat kepada keterlibatan naratif daripada perspektif model pemikiran apabila tetapan bagi adegan, watak dan situasi digabungkan dengan maklumat daripada pengetahuan pembaca atau penonton dengan naratif. Pengetahuan sedia ada berasal dari dunia nyata dan pengalaman peribadi yang menjadi perantara kepada fiksyen dan bukan fiksyen. Semasa naratif diteruskan, model pemikiran ini sentiasa dikemas kini. Daripada model ini, mereka menghuraikan peranan pengambilan perspektif, kehadiran dan aliran dalam naratif yang sangat berkaitan dengan teori pengangkutan.

Kajian yang melibatkan filem dan drama ini seharusnya memfokuskan pada kedua-dua mekanisme pujukan naratif, iaitu penglibatan dengan naratif (pengangkutan) dan penglibatan dengan watak (emosi).

Kejayaan filem-filem tempatan semasa dalam menimbulkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat seperti filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan seharusnya dijadikan bahan kajian oleh pihak akademik. Kajian pujukan naratif ini mungkin dapat membantu pihak akademik untuk memahami keberkesanan E-E dalam menangani isu-isu masyarakat, selain dapat membantu pihak industri dalam pembikinan filem yang seterusnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.