20 Ogos 2022, 14:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai National Unity of Teachers (NUT) semalam hadir mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sesi taklimat dan tayangan video korporat berkaitan dengan DBP diadakan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP. Lawatan ini diketuai Mejar Bersekutu (PA) Wang Heng Suan, (SDK., AMK., BKM), Setiausaha Agung KPPK, En. Mohamad Rafee  Abd. Rahman, Bendahari Agung KPPK, En. Mohd Fadzil Isa, Pengerusi Biro Bahasa Melayu, En. Sayuti Ibrahim, Setiausaha Biro Bahasa Melayu dan AJK Biro-biro Bahasa Melayu KPPK.

Taklimat berkaitan bidang perkamusan di DBP telah disampaikan oleh Puan Zuraini Yeop Ahmad, Perancang Bahasa Bahagian Perkamusan DBP, manakala maklumat dan perkongsian berkaitan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi disampaikan oleh Puan Atikah Awang, Perancang Bahasa.

Dr. Haji Shantrol bin Abdullah, Ketua Akademi DBP.

Sesi pencerahan berkaitan dengan fungsi Akademi DBP pula telah dijelaskan secara komprehensif oleh Dr. Haji Shantrol bin Abdullah, Ketua Akademi DBP.

Sesi soal jawab berkaitan dengan perkhidmatan serta berkaitan Sijil Kemahiran Malaysia (Editorial) yang ditawarkan oleh Pusat Bertauliah Akademi DBP turut mendapat perhatian karyawan KPPK yang hadir.

Pihak KPPK turut telah mendapatkan maklum balas daripada Dr. Haji Shantrol berkaitan dengan Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Warga Asing (SKBMW) yang dikendalikan oleh akademi ini secara kerjasama dengan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Sijil SKBWM ini diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia seperti Sijil Peperiksaan Awam Malaysia.

Dr. Haji. Shantrol juga memaklumkan bahawa daripada pengalaman MPM mengendalikan penilaian ini, bahawa warga asing dari negara Jepun amat menitik beratkan kualiti berbahasa Melayu. Malah yang paling membanggakan pihak majikan di Jepun juga mengiktiraf sijil ini dan mana-mana warganya yang memiliki sijil ini akan diutamakan dalam penilaian mereka untuk dihantar bertugas atau bekerja di Malaysia.

Seterusnya, perkongsian oleh En. Armin Azhari Salleh daripada Bahagian Buku Umum berjaya mencuri perhatian karyawan KPPK dan diperjelaskan secara terperinci dan padat oleh En. Armin khususnya berkaitan penerbitan buku di DBP.

Sesi taklimat kunjungan ini seterusnya disampaikan oleh Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah. Beliau memaklumkan kepada karyawan yang hadir berkaitan peluang penulisan di majalah terbitan DBP serta bagaimana portal Jendela DBP serta majalah-majalah terbitan DBP boleh menjadi alat bantuan mengajar kepada guru-guru dan pelajar akan meraih serta menimba pengalaman sebenar penulisan dalam bahasa dan sastera kebangsaan.

Pada akhir sesi lawatan, semua karyawan KPPK dibawa mengunjungi Anjung DBP dan membeli buku-buku terkini terbitan DBP khususnya Kamus Dewan Perdana. Penyampaian cenderamata kepada wakil DBP turut disampaikan sebelum karyawan KPPK menamatkan sesi lawatan ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan KPPK anda boleh layari www.nutp.org.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.