Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSintok – Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (MPUUM) mempromosikan gaya hidup sihat dan ceria dalam Program 10000 Langkah Majlis Profesor UUM yang berlangsung di Pusat Sukan, pagi tadi.
Pengerusinya, Profesor Ts. Dr. Suhaidi Hassan ketika mengulas acara ini berkata, cetusan idea bermula daripada Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan inisiatif program “Kampus Sihat UUM Fit”.
Oleh itu, MPUUM berpandangan inisiatif ini sebagai satu daripada usaha untuk merapatkan ukhuwah, di samping mewarnai Bulan Kemerdekaan kali ke-65, khususnya Hari Merdeka yang bakal disambut esok.
“Sebagai tanda cinta negara, MPUUM menjayakan aktiviti santai yang menyihatkan, sekali gus membentuk warga kampus yang aktif dan produktif dalam menjalani kehidupan seharian,” ujarnya.
Sementara itu, Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Majid menyifatkan aktiviti ini merupakan satu program yang berjaya dan bersifat inklusif bukan sahaja melibatkan profesor, malah staf akademik dan pentadbiran UUM dari pelbagai jabatan yang memberi sokongan padu.
“Saya teruja kita dapat bersama-sama warga kampus menjayakan aktiviti riadah ini yang menyuntik semangat berpasukan dan menjaga kesihatan diri. Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada warga kampus dengan semangat yang ditunjukkan,” katanya.
Beliau berharap hubungan baik dapat dijalin dan hubungan sedia ada dapat disemarakkan dan program seumpama ini wajar dilaksanakan dari semasa ke semasa dan mampu menyegarkan minda serta memperkasa semangat patriotik.
Dimulakan dengan acara pemanas badan, peserta yang telah mendaftar ceria merakam gambar kenang-kenangan dengan Jalur Gemilang sebelum mengatur langkah selain dapat disaksikan juga staf yang menyertai aktiviti kayuhan basikal.