Oleh Aninah Janang
5 September 2022, 18:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 


Kuala Lumpur
– Sukan dan industri golf di Malaysia bakal menyaksikan buku berbahasa Inggeris yang bertajuk Rules of Golf diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu apabila Akademi Kemahiran Belia Golf Malaysia (AKBG) dan Persatuan Golf Malaysia (MGA) bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Umum mengetahui bahawa buku Rules of Golf yang menjadi antara rujukan utama peminat sukan golf di serata dunia telah diterjemahkan ke dalam 33 bahasa di 33 buah negara. Buku terbitan United States Golf Association  ini merupakan panduan penting bukan sahaja kepada pencinta sukan ini tetapi kepada sesiapa sahaja yang ingin mengenali dunia golf. Maka itu, kerjasama antara DBP, AKBG dan MGA bukan sahaja bakal merakam sejarah Malaysia sebagai negara ke-34 yang menterjemahkan buku tersebut ke dalam bahasa negara masing-masing, tetapi merupakan usaha murni dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

“Penterjemahan buku Rules of Golf ke dalam bahasa Melayu membuktikan bahawa pemartabatan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa merentasi pelbagai bidang ” – Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Puan Fauzilahyatun Mustafa.

“DBP sememangnya menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh pihak AKBG dan MGA apabila memilih DBP sebagai pakar rujuk dalam bahasa Melayu untuk penerbitan buku terjemahan yang telah digunakan di serata dunia ini. Pastinya usaha ini membanggakan negara apabila terdapat buku yang dapat memberikan input baharu kepada industri golf negara dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu,” ujar Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapan alu-aluannya dalam kunjungan pihak AKBG dan MGA ke DBP, yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa, pada petang ini.

Bagi mencapai hasrat tersebut, kerjasama antara DBP, AKBG dan MGA yang bermula sejak tahun 2021, bertitik tolak dengan penganjuran bengkel semakan terjemahan “74 Definisi Peraturan Golf” yang diadakan di Cameron Highlands, pada 11 hingga 14 Oktober 2021. Rentetan kejayaan bengkel pertama yang menyaksikan keberhasilan menyiapkan sebanyak 44 daripada 74 entri definisi peraturan golf, kerjasama ini diteruskan dengan bengkel kedua pada 22 Disember 2021, di Kelab Golf Perkhidmatan Awam Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Menerusi bengkel tersebut, sebanyak 15 entri berjaya dimuktamadkan. Selepas itu, diadakan pula bengkel ketiga yang berlangsung di Forest City Golf Resort Johor Bahru. Hasil daripada bengkel ini sebanyak 24 daripada 48 entri interpretasi golf berjaya disiapkan. 

Menuruti Pengarah AKBG, Encik Mohd Hazan Dahari, usaha penterjemahan buku Rules of Golf ke dalam bahasa Melayu perlu dilakukan oleh pakar bahasa daripada agensi yang berwibawa agar penterjemahannya dapat menjadi pegangan yang dihormati dan boleh menjadi rujukan yang tepat bukan sahaja kepada industri golf di negara ini tetapi turut membantu AKBG melahirkan generasi muda yang lebih memahami industri ini, khususnya golongan belia yang sedang mengikuti kursus yang ditawarkan di AKBG.

Encik Mohd Hazan Dahari.

“Kerjasama penerbitan buku terjemahan ini ke dalam bahasa Melayu pastinya akan membuka ruang baharu kepada pemahaman rakyat Malaysia terhadap sukan golf. Oleh itu, AKBG yakin bahawa usaha ini hanya akan dapat direalisasikan dengan kepakaran dan kerjasama yang baik daripada DBP,” ucap Encik Mohd Hazan Dahari yang menjangkakan bahawa buku terjemahan Rules of Golf ke dalam bahasa Melayu akan berjaya disiapkan dan dicetak pada tahun 2023. Menurutnya, buku tersebut akan diberikan secara percuma kepada khalayak yang disasarkan oleh pihak AKBG dan MGA.

Sebagai makluman, penubuhan AKBG adalah bertujuan untuk membuka peluang latihan kemahiran kepada penduduk tempatan terutamanya golongan belia. Program yang ditawarkan oleh AKBG juga bermatlamat untuk menggalakkan golongan belia berkecimpung dan bergiat aktif dalam aktiviti sukan golf menerusi peluang kemasukan pelajar dalam latihan kemahiran sukan golf seterusnya memperoleh pentauliahan pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia.

Yang turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Pengurus Operasi MGA, Encik Bambang Sumanteri Osman; Pegawai Projek AKBG, Puan Umaimah Husni; Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Encik Azhar Mohamad Dora; Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Mohd Fadzli Tajuid; dan para pegawai kanan DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.