7 September 2022, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersama-sama tetamu kehormat semasa Majlis Pelancaran Buku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa, semalam.

Putrajaya – Seiring dengan visi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama dunia, DBP melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menerbitkan buku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa.

Kerjasama ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mendaulatkan bahasa ibunda dan membuktikan bahawa bahasa kebangsaan tidak mengekang kemajuan negara. Usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia ini merupakan dasar kerajaan dan satu daripada fokus dalam Kerangka Dasar Luar Negeri, iaitu Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan.

YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap.

Saya telah mengarahkan supaya semua urusan surat-menyurat menggunakan Bahasa Melayu, termasuklah urusan yang melibatkan urusan luar negara. Saya sendiri telah mengutus surat kepada pemimpin dunia yang ditulis dalam bahasa Melayu disertakan terjemahan Bahasa Inggeris.

“Begitu juga dengan penggunaan bahasa Melayu sewaktu penyertaan saya dalam pelbagai mesyuarat antarabangsa yang lain,” ujar YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Pelancaran Buku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa yang diadakan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Wisma Putra, Putrajaya, semalam.

Turut hadir bersama-sama ialah Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri; Menteri Pengajian Tinggi (KPT), YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmed; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, YBhg. Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan dan Ketua Pengarah IDFR, Dato’ Dr. Shazelina Zainul Abidin.

Kerajaan turut menggalakkan diplomat negara untuk menguasai bahasa asing selaras dengan keperluan menjalankan urusan rundingan diplomatik dan perdagangan dengan negara lain.

Pelancaran tersebut turut disaksikan oleh 106 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara secara dalam talian yang turut hadir bersempena dengan Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 (HOMC9) dalam majlis yang sama. Persidangan tersebut mengumpulkan semua Ketua Perwakilan Diplomatik di luar negara untuk memperkatakan dengan jelas aspirasi, dasar dan hala tuju kerajaan bagi kepentingan nasional, imej dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.

Untuk rekod, buku ini mengandungi istilah khusus dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa, iaitu sebanyak 1198 istilah sumber (bahasa Inggeris) dan 1281 istilah sasar (bahasa Melayu), serta 144 nama pertubuhan dan usaha kerjasama antarabangsa. Ahli Jawatankuasa buku daftar ini terdiri daripada pensyarah dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pegawai Kementerian Luar Negeri, pegawai Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP dan pegawai IDFR.

Buku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa ini sesuai dijadikan sebagai rujukan kepada pengajar, pelajar dan pengamal dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa. Buku ini boleh didapati dalam bentuk digital melalui pautan ini, manakala versi bercetak pula boleh didapati di laman web DBPNiaga.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.