9 September 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pemerkasaan semangat patriotik dan rasa megah kepada bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia serta peneguhan perpaduan kaum melalui pengucapan puisi menjadi matlamat penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-36 Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.

Program anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menyaksikan sebanyak 17 orang peserta yang mewakili negeri dan agensi masing-masing bertanding merebut wang tunai berjumlah RM5 000.00 dan piala pusingan.

Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan menyampaikan ucapan alu-aluan.

Melalui ucapan alu-aluan daripada Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan, Ketua Satu GAPENA Malaysia, beliau menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada DBP kerana bersama-sama menjayakan SDPK dari peringkat awal.  Menurut beliau, kemerdekaan itu bukan sekadar bebas tapi memberi makna tersendiri.

 

SDPK bukan sahaja meraikan kemerdekaan, tetapi juga mendidik, untuk menghargai bait-bait puisi yang dilontarkan oleh para pendeklamatornya semenjak 36 tahun yang lalu; bait-bait puisi yang mendoakan supaya negara kita maju, bait-bait puisi yang mendoakan supaya negara kita aman makmur, bait-bait puisi yang melahirkan generasi baharu yang peka tentang sebuah bangsa, yang peka tentang seluruh negaranya. Ia bukan suatu perkara yang mudah. Ia adalah suatu harga yang mahal.

Acara perasmian penutupan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 ini pula telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff, Setiausaha Politik dan juga selaku wakil rasmi kepada Yang Berhormat (YB) Dato Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan.

YBhg. Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff merasmikan penutupan SPDK Peringkat Kebangsaan ke-36 Tahun 2022.

Dalam ucapan penutupan beliau, YBhg. Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff menyatakan bahawa masyarakat perlu memahami erti sebenar kemerdekaan.

Jangan kita mengamalkan kemerdekaan tanpa sempadan. Kita perlu sedar kita menumpang atas perjuangan nenek moyang kita

 

YBhg. Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff mengambil kesempatan mendeklamasikan sebuah puisi, inspirasi daripada semangat “Keluarga Malaysia” dan menyampaikan mesej supaya rakyat mengekalkan perpaduan, semangat,  menjaga perhubungan sesama kaum demi memastikan Malaysia berada dalam keadaan aman damai.

Wakil kepada YB Menteri Wilayah Persekutuan itu juga turut berbesar hati menyampaikan hadiah buat para pemenang pertandingan ini. Gelaran johan bagi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Tahun 2022 dirangkul oleh peserta yang mewakili negeri Melaka, iaitu Muhammad Suffian Khirham, manakala tempat kedua disandang oleh Zaheera Ibrahim yang mewakili negeri Kedah. Tempat ketiga pula jatuh kepada peserta dari Perak, iaitu Noor Azli Sudin.

Penyampaian piala pusingan kepada Johan SPDK ke-36, Muhammad Suffian Khirham yang mewakili negeri Melaka.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi puisi oleh Mohd Fauzi Jumikah, Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Tahun 2021, diselangi persembahan oleh kumpulan muzik Mafidz.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Datuk Ramlan Haji Shahean@Askolani, Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Yang Berhormat (YB) Dato Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Hazami Juhari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP mewakili Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abg Sallehuddin Abang Shokeran, Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Pengerusi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2022, Ahli Jawatankuasa GAPENA, pegawai-pegawai kanan DBP serta pimpinan kerabat GAPENA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.