Oleh Ali Salman
21 September 2022, 13:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peranan media sosial dalam bidang politik, masyarakat, perdagangan, dunia pekerjaan, latihan dan pembangunan serta perhubungan sosial sememangnya luas dan tidak boleh dinafikan. Satu daripada peranan media sosial termasuklah dengan menggalakkan orang ramai membentuk dan menghargai hubungan. Kajian telah membuktikan bahawa penggunaan media sosial dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan, namun pada masa yang sama memberikan kesan negatif kepada interaksi yang lebih bermakna dalam keluarga.

Walaupun terdapat unsur negatif, media sosial mempunyai banyak kelebihan lain termasuklah dari segi jalinan perhubungan, akses pendidikan, capaian maklumat dan sebagainya. Pengalaman penulis sendiri menunjukkan bahawa dalam aspek perhubungan, media sosial dapat menghubungkan pengguna tanpa mengira masa dan tempat. Apabila berada di luar negara selama bertahun-tahun, penulis sentiasa menggunakan sisi baik Internet dan media sosial untuk merapatkan jurang dalam hubungan kekeluargaan. Dengan memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh media sosial, penulis tidak menghadapi kejutan besar apabila tiba di Ghana pada awal Julai 2022. Dengan kesalinghubungan yang ada, ikatan kekeluargaan dapat dikekalkan melalui media sosial. Hal ini merupakan manifestasi konsep perkampungan global yang dibayangkan oleh Marshal McLuhan (1962) yang dimungkinkan oleh teknologi maklumat dan komunikasi.

Media sosial telah membantu pengguna kekal berhubung dan meredakan kejutan apabila melihat individu dan persekitaran secara fizikal selepas bertahun-tahun terpisah. Dengan adanya media sosial, pengguna dapat berhubung dengan keluarga dan rakan menerusi kaedah lebih mudah. Oleh itu, keberadaan media sosial dapat mengurangkan kesulitan dalam memikirkan tentang perubahan yang telah berlaku. Selalunya, seseorang itu membayangkan perihal tentang orang dan persekitaran yang telah berubah, terutamanya selepas bertahun-tahun berada di luar negara asal mereka. Oleh itu, jangkaan tentang apa-apa yang akan dilihat dikaburkan oleh gambaran mental yang dibuat tentang situasi itu.

Inilah yang penulis alami semasa perjalanan pulang ke Ghana pada awal Julai 2022, selepas 22 tahun tinggal di luar kampung halaman. Sebagai contoh, setibanya di rumah tempat penulis membesar di Kumasi, keadaan persekitarannya kelihatan jauh berbeza daripada 22 tahun lalu tetapi disebabkan sering melihatnya melalui video dan gambar di media sosial, penulis tidak begitu terkejut. Bukan itu sahaja, semasa penulis menziarahi keluarga terdekat dan sanak saudara yang lain, pandangan pertama berhubung dengan suasana tersebut tidak mengejutkan saya. Sepupu penulis juga bersetuju kerana kami sentiasa berhubung melalui media sosial dan oleh sebab itu tidak ada kejutan besar tatkala bertemu, terutamanya dari segi penampilan masing-masing. Penulis pula dengan mudahnya mengenali saudara mara yang lain. Hal ini merupakan hasil daripada keupayaan media sosial yang telah memungkinkan perkara ini bahawa teknologi, terutamanya Internet, mempunyai lebih banyak faedah daripada keburukan.

Bayangkan dunia tanpa Internet. Manusia pastinya akan semakin berjauhan. Pepatah “yang jauh semakin dekat dan yang dekat semakin jauh,” sedikit sebanyak sesuai dengan keadaan penulis yang tinggal di luar negara asal. Dengan adanya media sosial, penulis dapat berhubung dan berada dekat dengan keluarga di negara asal menerusi alam maya. Hal ini terbukti bahawa apabila tinggal di luar negara asal, penulis boleh berhubung dengan keluarga dan kawan-kawan secara langsung dengan menggunakan panggilan video.

Selain itu, satu daripada impak positif media sosial termasuklah dalam penyebaran maklumat di dunia pada hari ini. Platform seperti Facebook, LinkedIn, Twitter, WhatsApp, dan lain-lain membolehkan pengguna untuk mengakses dan berkongsi maklumat dengan cara mengklik butang pada paparan peranti masing-masing. Maklumat merupakan kuasa dan perlu ada cara terbaik untuk menyebarkannya supaya masyarakat dapat memanfaatkan kuasa.

Selain itu, media sosial juga berfungsi sebagai saluran maklumat, sekali gus membuka jalan kepada inovasi dan kejayaan melalui pembangunan pengetahuan dan kebolehan. Media sosial dapat melaporkan acara global dengan baik, menjadikan masyarakat lebih sedar tentang persekitaran mereka dari dalam dan di luar negara. Saya juga sentiasa mendapat maklumat tentang peristiwa yang berlaku di seluruh dunia dan di negara asal khususnya melalui media sosial. Berbeza daripada televisyen, radio, atau akhbar, media sosial memudahkan penyampaian maklumat tentang apa-apa yang berlaku di lapangan dengan cepat.

Selain itu, media sosial merupakan satu daripada platform terbaik untuk meluahkan perasaan dan pendapat kita, terutamanya dengan keluarga dan rakan-rakan sama ada di dalam atau luar negara. Di samping itu, pengguna juga boleh mengasah kreativiti mereka melalui media sosial dan seterusnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa media sosial sememangnya seperti pedang bermata dua. Di sebalik kelebihan, terdapat juga kelemahan tertentu, termasuklah kesan terhadap hubungan sosial-emosi, menyebabkan tekanan kepada perasaan seseorang, kekurangan masa yang berkualiti bersama-sama keluarga, buli siber, penggodaman, fikiran terganggu, ketagihan dan masalah perhubungan. Oleh itu, sebagai pengguna, kita harus sedar tentang kesan negatif tertentu di media sosial dan berhati-hatilah dalam menggunakannya.


Prof. Madya Dr. Ali Salman, Pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.