22 September 2022, 11:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Tahun 2022 mendapat perkenan Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Padang Besar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Tahun 2022 semalam di Pusat Kokurikulum Kem Dato Ariffin Mohd Nam Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Tasoh.

Dalam majlis tersebut, Raja Muda Perlis menitahkan bahawa pendidikan masa ini merupakan satu daripada ekosistem yang perlu saling melengkapi.

Pendidikan bukan hanya dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, tetapi memerlukan komitmen semua pihak khususnya organisasi yang boleh berfungsi sebagai sistem sokongan. Sistem ini dapat memberikan ruang untuk kita dalam membangunkan guru yang mempunyai peribadi dan sikap yang positif. Seterusnya, guru yang baik berupaya untuk membangunkan sikap positif murid.

Sekiranya wujud ekosistem sebegini, maka objektif kita di negeri Perlis untuk menghasilkan rakyat yang bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan akan terlaksana.

Titah baginda, pembangunan ekosistem yang mampan jelas terbukti dapat melahirkan rakyat yang berdaya saing, serta berupaya membangunkan negeri dan negara. Selain itu, ekosistem pendidikan yang berjaya tidak seharusnya tertumpu kepada empat sudut bilik darjah sahaja.

Tambah DYTM Tuanku Raja Muda lagi, sistem pembelajaran yang berkonsepkan “Environment Based Learning”, yakni pelajar boleh belajar di mana-mana sahaja dengan pengaksesan pelbagai bahan yang mudah seiring dengan sistem pendidikan kini yang telah beralih arah daripada “Exam Based Oriented” kepada “Learning Based Oriented”.

Oleh hal yang demikian, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail percaya bahawa lima kategori pertandingan berorientasikan webinar Program Titian Kasih anjuran pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bersama-sama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang dipelopori pada kali ini wajar dilaksanakan untuk membina ekosistem yang lebih menyeluruh.

Keberangkatan baginda ke program yang berslogankan “#09Educators, ThinkBig 2022” itu disambut oleh Pengarah JPN Perlis, Cikgu Naharudeen Othman.

Turut hadir bersama-sama ialah Pengarah Urusan IX Ventura Tech. Sdn. Bhd., Iliyas Jamil yang menaja pertandingan Gamified.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.