27 September 2022, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia kesusasteraan kebangsaan tidak kurang pentingnya dalam menyumbang dan menyemai semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini sehingga menjadi sebuah keluarga besar.

Oleh itu, idea dan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dengan tujuan untuk merapatkan lagi hubungan pelbagai kaum di negara ini sememangnya selari dengan cita-cita dan semangat penggiat sastera tanah air.

Pada hakikatnya, sejak dahulu lagi, usaha ke arah itu telah dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan induk yang dipertanggungjawabkan dalam usaha mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Sebagai contoh, lebih dua dekad yang lalu, iaitu pada 27 hingga 29 Mei 1994, Bahagian Sastera, DBP yang pada ketika itu diterajui oleh ketuanya, Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan dengan kerjasama Kelab Sastera DBP yang dipimpin oleh saudara A. Ghani Abdullah selaku penyelaras kelab telah menganjurkan Bengkel Penulisan Berbilang Kaum 1994. Bengkel tersebut diadakan di Pusat Membina Semangat, Pasir Panjang, Port Dickson melibatkan penyertaan penulis dari pelbagai kaum.

Antara tujuan penganjuran bengkel tersebut ialah untuk mencungkil bakat di samping memberikan pendedahan yang luas dalam bidang penulisan kreatif bahasa Melayu kepada penulis dari pelbagai kaum di negara ini. Sambutan menggalakkan diterima dengan 30 orang peserta yang telah terpilih menyertainya.

Peserta yang terpilih ialah mereka yang telah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh penganjur, iaitu setiap peserta perlu menghantar dua buah puisi dan sebuah cerpen berbahasa Melayu untuk dinilai dan dipertimbangkan. Bayaran pendaftaran serendah RM20.00 seorang dikenakan manakala urusan pengangkutan, penginapan dan makanan kesemuanya disediakan oleh pihak penganjur.

Turut menyertai bengkel tersebut ialah saudara Uthaya Sankar SB, pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan, Rabeah Mohd Ali serta beberapa orang lagi yang aktif menulis selepas itu, manakala komposer Julfekar Ahmad Shah pula merupakan seorang daripada ahli jawatankuasa induk bengkel tersebut.

Sepanjang tiga hari bengkel berlangsung, peserta telah dibimbing dan didedahkan dengan pelbagai topik berkait puisi dan cerpen yang merangkumi teori,teknik penulisan, proses penciptaan dan pengalaman diri oleh penulis-penulis jemputan yang masing-masing diberikan dua slot setiap seorang untuk mengemudi bengkel tersebut.

Rata-rata peserta teruja kerana bengkel tersebut dibimbing oleh penulis-penulis mapan tanah air yang tidak asing ketika itu, iaitu Sasterawan Negara, Dato’ Seri A. Samad Said, Allahyarham Dr. Othman Puteh dan Allahyarham Prof. Madya Kamaruzzaman Abdul Kadir atau lebih dikenali dengan nama penanya Dharmawijaya.

Datuk Seri A. Samad Said dalam ceramahnya antara lain menyarankan supaya setiap penulis agar tidak dikuasai oleh bahasa sebaliknya menguasai bahasa. Penulis harus pada setiap detik menggunakan bahasa dan memperbanyakkan membaca karya sastera kerana dengan membaca akan timbul keinginan untuk menulis.

Menurut beliau lagi, penulis tidak harus menyendiri sebaliknya perlu terdedah kepada manusia dan kehidupan serta usah takut pada kritikan kerana jelas beliau, seseorang penulis tidak semestinya tahu segala-galanya tentang dunia.

Beliau turut berkongsi mengenai buku-buku yang pernah mempengaruhinya seperti War and Peace karya Leo Tolstoy, Of Mice and Men karya John Steinbeck, Doctor Zhivago oleh Boris Pasternak, The Great Gatsby oleh F. Scott Fitzgerald dan Bumi Manusia yang ditulis oleh Pramoedya Ananta Toer ketika ditahan di Pulau Buru, Indonesia.

Dr. Othman Puteh pula melalui kertas kerja bertajuk “Penulisan Cerpen: Mengenal Diri, Mengilas Kembali dan Mengalur Visi”  berpendapat kebanyakan penulis bukan Melayu pada ketika itu menghasilkan karya kreatif dengan menyerlahkan warna lokal tersendiri, terpencil dan agak kurang merealisasikan realiti objektif tentang kewujudan kepelbagaian penduduk yang saling berinteraksi.

Soal beliau, apakah situasi tersebut menggambarkan khalayak penulis belum benar-benar mengenali diri sebagai suatu hakikat hidup dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia? Para penulis turut dituntut supaya sentiasa berada dalam arus perdana mobilisasi sejajar dengan transformasi waktu, perkembangan dalam konteks politik, ekonomi, budaya dan ledakan kemajuan dalam bidang ilmu pengetahuan.

Bagi Dharmawijaya yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Penciptaan Puisi: Catatan dari Daerah Pengalaman”, penyair itu dilahirkan dan perlu dibentuk. Hal tersebut membawa maksud setiap penyair selain daripada memiliki bakat, harus pula dididik dan dibimbing. Keyakinan beliau itu timbul hasil daripada pengalaman yang telah dilaluinya.

Dalam kertas kerja tersebut juga, Dharmawijaya turut menekankan mengenai persediaan-persediaan untuk menjadi seorang penyair dan kemudiannya dihubungkan dengan proses serta teknik penulisan sajak atau puisi. Menurut beliau, untuk menjadi penyair, seseorang itu harus mengasuh diri menjadi pemerhati yang tajam, pentafsir yang bijaksana dan kritis. Selain memiliki kekayaan pengalaman, penulis juga, tambah beliau, perlu memiliki kekayaan bahasa sebagai alat bagi sesebuah puisi.

Pada akhirnya, dapat dirumuskan bahawa bengkel tersebut berjaya mencapai objektifnya dengan kesemua peserta telah memberikan komitmen tinggi dan bersama-sama terlibat secara aktif dari awal hingga ke akhirnya.


Penulis seorang daripada peserta Bengkel Penulisan Berbilang Kaum 1994 anjuran DBP.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.