30 September 2022, 21:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kadar ketidaksamaan ekonomi pada peringkat dunia terus meningkat sejak tiga dekad lalu dan semakin parah sewaktu wabak COVID-19 berleluasa.

Laporan Oxfam (2021) melaporkan bahawa 10 orang terkaya dunia telah menggandakan kekayaan mereka sewaktu era pandemik COVID-19, walhal sebanyak 160 juta orang juga dijangka bakal dihimpit kemiskinan dan sekitar 17 juta nyawa telah terkorban akibat wabak COVID-19. Krisis ekonomi sedemikian membuatkan kemunculan karya terbaru Thomas Piketty, A Brief History of Equality, menjadi lebih mustahak untuk dibahaskan. Thomas Piketty merupakan seorang Professor di École des Hautes Études en Sciences Sociales dan Paris School of Economics (PSE). Beliau antara sosok terkedepan dalam mengemukakan data dan kajian terbaharu mengenai ketidaksamaan ekonomi dunia, terutamanya pada abad ke-21.

Sebelum itu, Thomas Piketty yang juga pemenang anugerah Yrjö Jahnsson Award, telah menerbitkan dua buah adikarya yang cukup berpengaruh, Capital in the Twenty-First Century (2014) dan Capital and Ideology (2020).

Kedua-duanya memerihalkan sejarah dan analisis struktural  bagi masalah ketidaksamaan ekonomi dunia sejak 200 tahun yang lalu. Sepertimana penulisan Piketty yang lain, kajiannya sarat dengan data yang dicuplik dari pelbagai sumber; laporan cukai dan kewangan negara, bancian umum, bahkan keratan-keratan akhbar yang menjangkau ratusan tahun usianya. Variasi data inilah antara kekuatan Piketty yang paling menyerlah.

A Brief History of Equality turut menyentuh hal ketidaksamaan ekonomi, namun mempunyai hala tuju yang berbeza daripada karya sebelumnya. Capital (2014) tertumpu pada persoalan punca asasi bagi jurang ekonomi yang kian melebar yang tersimpul pada rumus r>g. Capital and Ideology (2020) pula membangkitkan persoalan institusi dan ideologi yang melatari masalah ketidaksamaan ekonomi dunia moden. Berbeza daripada kedua-dua karya ini, A Brief History of Equality membawakan suatu naratif yang lebih optimistik. Piketty menawarkan suatu refleksi persejarahan dan ekonomi berserta panduan bagi mengarah masyarakat dunia kepada sebuah ekonomi yang lebih saksama. Secara tidak langsung, seperti yang dinyatakan oleh Piketty pada awal penulisan buku ini, penulisan kali didedikasikan kepada orang awam sebagai “senjata melawan ketidaksamaan ekonomi” di setiap penjuru dunia.

Secara keseluruhan, buku setebal 288 halaman itu, memuatkan analisis yang pelbagai dan merangkumi skop persejarahan yang panjang. Kesemua 10 bab yang disertakan membahaskan ketidaksamaan ekonomi dari pelbagai aspek termasuklah gagasan dasar-dasar awam yang pernah dan wajar diguna pakai semula pada hari ini (Bab 4, 7, 8 dan 10). Satu daripada kekuatan buku tersebut melibatkan tumpuan kepada kesan penjajahan dalam evolusi ketidaksamaan ekonomi dunia, terutamanya buat negara-negara dunia ketiga. Aspek ini tidak tergambar sepenuhnya dalam karya-karya Piketty sebelum ini. Bab 3 menjelaskan dengan tuntas mengenai empayar Eropah dan Amerika Syarikat mengumpul kekayaan negara mereka sehingga menjadi negara yang membangun melalui eksploitasi ekonomi dan hegemoni politik terhadap negara jajahan mereka. Sumber pendapatan dari negara jajahan ini disalurkan untuk kegunaan empayar dan tidak digunakan untuk membangunkan infrastruktur di tanah jajahan. Kesan daripada hal ini menyebabkan sebahagian negara bekas jajahan agak perlahan untuk mengikuti arus pembangunan dunia dan sebahagian lain turut terjerat dengan perangkap kemiskinan (poverty trap).

Hujahan ini tidaklah baharu dan sudah pun diamati oleh kebanyakan pengkaji, termasuklah Walter Rodney, dalam adikaryanya How Europe Underdeveloped Africa (1972). Kajian terbaru Utsa Patnaik juga mencatatkan kiraan sejumlah A.S.$45 trilion nilai kekayaan yang disalurkan keluar dari India kepada British sepanjang India dijajah. Di Malaysia dan Indonesia, kajian terkini oleh DYMM Sultan Nazrin, Charting the Economy: Early 20th Century Malaya and Contemporary Malaysian Contrast (2017), dan mendiang Alec Gordon (2010), turut mengemas kini jumlah pendapatan yang mencecah ratusan bilion yang telah disalurkan keluar sewaktu era penjajahan.

Kajian terbaharu daripada pengkaji bekas negara jajahan ini malangnya tidak dipetik di dalam buku ini terutamanya apabila Piketty lebih banyak bergantung pada kiraan lama yang direncanakan oleh pengkaji-pengkaji negara Barat. Piketty turut mencadangkan negara-negara kaya “memulangkan” semula wang yang diperoleh sepanjang tempoh penjajahan dalam bentuk wang pampasan, bahkan lebih lagi kepada negara bekas jajahan yang terpaksa menanggung pelbagai kepayahan dan halangan untuk membangun negara mereka hari ini. “Tentunya, wang pampasan sahaja tidak memadai untuk menyelesaikan masalah ini,” jelas Piketty. Tambah beliau, “Untuk membaik pulih kerosakan yang dibuat oleh rasisme dan kolonialisme, kita juga harus mengubah sistem ekonomi dengan mengurangkan kadar ketidaksamaan, serta memastikan semua orang mempunyai akses yang egalitarian terhadap pendidikan, pekerjaan dan harta, tanpa mengira asal usul mereka (muka surat 93).”

Pada peringkat yang lebih umum, inti pati buku ini berangkat dari premis yang optimis, iaitu dari sudut pandang Longue Durée Piketty mengatakan telah wujud trend yang memperlihatkan pergerakan menuju ekonomi yang saksama terutamanya dari sudut pengumpulan harta. Bahagian kelas ekonomi 10 peratus teratas dalam jumlah keseluruhan pendapatan negara semakin berkurang, termasuklah jumlah aset dan kini lebih cenderung didominasi “kelas menengah patrimoni”. Semacam suatu paradoks, Piketty menjelaskan: “Dari satu sudut, wujud pergerakan jangka panjang ke arah kesamaan, iaitu pengumpulan harta yang lebih rendah sekali gus mengurangkan kuasa ekonomi dan sosial; pada masa yang sama, ketidaksamaan ekonomi kekal tinggi, bahkan sangat memeritkan, dan sukar untuk kita berpuas hati dengan keadaan hari ini (muka surat 32).” Data dari tiga dekad yang lalu sememangnya menunjukkan kadar ketidaksamaan mencanak naik, namun Piketty kekal positif melihat bahawa perkara ini tidak menjejaskan trend jangka panjang yang menuju kepada kesaksamaan ekonomi.

Seperti dalam penulisan-penulisan sebelumnya, Piketty tidak pernah lekang daripada mengusulkan cadangan-cadangan dasar pembaharuan yang konkrit. Institusi yang harus wujud untuk keluar dari perangkap ketidaksamaan ekonomi menurutnya mudah: “hak mengundi sejagat dan demokrasi berparlimen; pendidikan wajib dan percuma; tanggungan kesihatan sejagat; cukai pendapatan progresif, harta warisan, dan pemilikan harta; pengurusan bersama dan undang-undang buruh; kebebasan media; undang-undang antarabangsa dan lain-lain (muka surat 12)”.

Namun begitu, dua dasar utama yang menjadi nadi bagi keseluruhan cadangan beliau; cukai progresif terhadap pendapatan dan harta, serta pengagihan kekayaan melalui kerangka negara berkebajikan (welfare state). Cukai progresif berfungsi untuk mendanai program-program perlindungan dan kebajikan bagi kelas terbawah, termasuklah membiayai wang pampasan untuk mangsa daripada era penjajahan, penghapusan hutang, dan lain-lain. Hal ini hanya boleh tercapai sekiranya kuasa pemilikan harta dikurangkan. Pengembangan skop negara dalam hal kebajikan rakyat kebanyakan ini sekali gus membuka ruang baharu untuk menukar sistem ekonomi dunia hari ini dengan menyeluruh.

Ahli ekonomi akan terus membahaskan gagasan yang ditawarkan oleh Thomas Piketty. Namun begitu, tiada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa kupasan dan hujahan beliau tidak berasaskan kajian data yang sangat komprehensif. Sungguhpun karya A Brief History of Equality ini tidak setebal karya-karya sebelumnya, cakupan perbincangannya meluas dan idea-idea penting dalam dunia ekonomi pada hari ini disajikan dengan baik. Perbincangan corak, punca, serta jalan keluar bagi masalah ketidaksamaan ekonomi sepanjang dua abad yang lalu tentunya akan terus dibincangkan dan dinilai semula, namun tidak sewajarnya dihadkan kepada ahli ekonomi semata-mata.

Begitulah seperti yang dipesan oleh Piketty, iaitu persoalan ekonomi terlalu penting untuk dibiarkan kepada kumpulan tertentu. Pelibatan masyarakat dalam mengguna pakai pengetahuan dalam hal ini merupakan langkah penting dalam perlawanan bagi memperjuangkan kesaksamaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.