6 Oktober 2022, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Artikel Profesor Mohamed Hatta Shaharom yang diterbitkan dalam Dewan Masyarakat.

Kolumnis tetap Dewan Masyarakat, Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom telah menulis sebuah artikel dalam majalah tersebut yang dipisahkan kepada tiga bahagian mengenai psikoanalisis dengan menampilkan tokohnya, iaitu Sigmund Freud dan juga pandangan Profesor Malik Badri terhadap psikoanalisis sebagai teori psikologi yang tidak bertuhan.

Penulisan beliau terhadap kritikan yang dilakukan oleh Profesor Malik Badri dalam menyedarkan pelajar dan ahli psikologi Muslim agar tidak berterusan mengikut teori psikologi Barat menunjukkan bahawa Profesor Malik Badri merupakan seorang tokoh revolusi dalam bidang psikologi. Kritikan yang dilakukan oleh Profesor Malik Badri terhadap teori psikologi Barat ini sekali gus membuka ruang dan peluang kepada ahli psikologi untuk mula menggali khazanah tokoh ilmuwan Muslim yang terdahulu dalam mencari serta menubuhkan teori baharu dalam bidang ilmu jiwa, yakni teori psikologi Islam.

Kritikan Profesor Malik Badri terhadap teori psikologi Barat tidak berhenti dalam aspek psikoanalisis sahaja. Dalam buku magnum opusnya, The Dilemma of Muslim Psychologist, Profesor Malik Badri telah mengkritik teori yang datang selepas teori psikoanalisis, iaitu teori behaviorisme. Teori behaviorisme ini dilihat sebagai sebuah teori yang tidak hanya menyatakan bahawa manusia ini tiada beza dengan haiwan lain, namun teori ini juga seperti teori psikoanalisis sebelum ini. Teori ini merupakan antara teori psikologi yang tidak meletakkan jiwa dan agama sebagai konsep terpenting dalam memahami minda manusia.

Behaviorisme merupakan teori dalam psikologi yang bertunjangkan persekitaran. Teori ini menjelaskan situasi manusia itu berperangai, iaitu sesuai dengan adaptasi yang dipelajarinya kepada sesuatu situasi atau persekitaran. Behaviorisme merupakan teori dalam pemikiran psikologi yang datang selepas kejayaan Sigmund Freud dalam mengeluarkan teorinya sendiri dalam bidang kajian ilmu jiwa manusia ini yang diberi nama psikoanalisis. Berbanding dengan psikoanalisis yang mengkaji jiwa manusia melalui fikiran bawah sedar seseorang individu tersebut, behaviorisme yang dipelopori oleh John Watson dengan eksperimen “anjing jelir lidah bersama loceng”, memfokuskan  persekitaran sebagai satu-satunya punca manusia berperangai atau bertingkah laku, iaitu dengan memberikan tindak balas terhadap persekitaran.

Dalam teori pelaziman klasik yang dilakukan oleh Ivan Pavlov, beliau mengatakan bahawa teori behaviorisme ini meletakkan fungsi stimuli atau rangsangan dan juga tindak balas kepada rangsangan tersebut. Eksperimen yang menjadi ikutan hingga kini, memperlihatkan tingkah laku tersebut boleh diperkukuh dengan menggunakan kaedah tertentu, seperti juga anjing yang terjelir lidah menunggu makanan. Eksperimen yang dilakukan oleh Ivan Pavlov tersebut, berjaya membuktikan perangai haiwan dapat diperkukuh dengan menggunakan kaedah pengukuhan klasik. Kita juga dapat melihat pengukuhan klasik ini yang masih digunakan hingga sekarang dalam penternakan, bahkan dalam pengiklanan. Penggunaan pengukuhan klasik ini dalam bahagian pengiklanan dapat membantu peniaga dalam meraih jualan dengan meletakkan iklan yang bersesuaian sehingga dapat menggalakkan individu yang melihat untuk membeli barang mereka.

Pelaziman klasik yang menjadi tulang belakang kepada mazhab behaviorisme, tidak hanya berhenti setakat ini. Mazhab psikologi tingkah laku ini telah berkembang ke tahap yang seterusnya, yang disebut sebagai fasa kedua. Fasa kedua dalam mazhab ini merupakan kesinambungan terhadap teori pelaziman klasik tersebut. Ahli teori behaviorisme mendapati bahawa terdapat masalah dalam meletakkan teori pelaziman klasik sebagai teori dalam mengkaji tingkah laku manusia. Sekurang-kurangnya terdapat tiga permasalahan yang terdapat pada pelaziman klasik ini. Perubahan ke fasa kedua dalam mazhab behaviorisme oleh John Watson dengan memperkenalkan teori pelaziman operan. Teori ini secara umumnya memberikan pendedahan kepada tingkah laku manusia itu boleh dilazimkan dengan menggunakan pengukuhan positif dan negatif.

Setiap ahli teori behaviorisme ini berminat terhadap kajian perubahan dalam manifestasi tingkah laku, dan bukannya keupayaan mental seperti yang didokong oleh konstruktivisme. Berdasarkan teori tersebut, banyak pihak yang berpendapat bahawa dalam kajian tentang tingkah laku manusia, manusia beradaptasi atau bertingkah laku sebagai suatu kesan terhadap perubahan situasi dan persekitaran yang didiami oleh mereka. Menurut Kamarudin (2010), ahli teori behaviorisme ini berpendapat bahawa otak manusia merupakan sebuah kotak hitam yang gelap dan apa-apa di dalam otak tersebut tidak dapat diamati dan diselidiki. Oleh sebab itu, mereka menolak secara mutlak sebarang kajian atau pembelajaran yang berkaitan dengan otak manusia.

Tidak dinafikan pemikiran teori behaviorisme ini banyak membantu dalam merawat tingkah laku manusia, apatah lagi terapi yang berdasarkan kepada teori ini masih lagi digunakan oleh ahli psikologi. Namun begitu, kita harus bersedia untuk menerima hakikat bahawa pembelajaran mengenai hakikat personaliti dan tingkah laku manusia merupakan pembelajaran yang cukup rumit.

Manusia seperti yang disebut oleh Imam Ghazali di dalam bukunya The Alchemy of Happiness, terdiri daripada ‘heart’ yang jika diterjemahkan bukan bermaksud jantung, tetapi jiwa yang membentuk peribadi setiap individu. Kajian mengenai jiwa atau roh manusia ini merupakan sebuah pembelajaran yang masih lagi dikaji. Hal ini demikian kerana pengetahuan tentang roh, menurut Al-Ghazali dalam bukunya, merupakan pengetahuan yang disimpan oleh Allah bagi hamba-Nya. Oleh itu, kajian tentang manusia dengan kehadiran jiwa dan roh tidak mungkin akan boleh disamakan dengan kajian tentang tingkah laku haiwan atau binatang lain, apatah lagi kajian yang juga dilakukan di dalam makmal.

Teori behaviorisme ini ditentang oleh Profesor Malik Badri disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah teori ini telah menidakkan fungsi jiwa dan minda manusia dalam kajian mereka. Kajian terhadap tingkah laku yang diimani oleh teori behaviorisme ini hanya memberikan fokus terhadap kajian tingkah laku manusia di dalam makmal semata-mata. Behaviorisme, seperti juga teori psikoanalisis sebelum ini cuba untuk lari daripada perkaitan agama dalam kehidupan manusia. Keghairahan mereka ini yang cuba untuk menidakkan fungsi agama dalam kehidupan individu akhirnya membawa mereka untuk bersembunyi di sebalik teori saintifik yang berselindung di sebalik bilik makmal, namun nyatanya kajian mereka hanya memberikan sedikit pengetahuan dalam memahami psikologi manusia itu sendiri.

Profesor Malik Badri juga bersetuju dengan tokoh Carl Rogers dan Lev Vygotsky yang mengkritik behaviorisme ini dengan memahami manusia dari sudut tindak balas mereka terhadap persekitaran semata-mata. Konstruktivisme, sebuah teori yang wujud untuk menyangkal behaviorisme ini cuba untuk memberikan sudut pandang lain dalam memahami tingkah laku manusia, iaitu dengan melihat dari sudut manusia itu sendiri sebenarnya mempunyai tindak balas kognitif yang tersendiri dalam menentukan cara mereka beradaptasi dengan persekitaran mahupun masalah. Profesor Malik Badri, dengan konsistennya masih mengkritik keghairahan teori ini yang cuba untuk lari dari agama sehingga akhirnya terlepas daripada memahami fungsi jiwa, minda serta pemikiran manusia itu sendiri untuk memahami tingkah laku manusia dalam ilmu psikologi.

Profesor Malik Badri telah meninggalkan sebuah legasi yang cukup besar terhadap ilmu psikologi. Dengan membuka pintu terhadap kajian serta hubungan yang erat antara Islam dengan psikologi manusia, beliau menunjukkan jalan kepada kita untuk terus mengkaji dengan lebih mendalam lagi. Kita dapat lihat ilmu psikologi  yang hingga kini masih terbuka luas untuk kajian kerana masih belum memahami dengan baik psikologi manusia itu sendiri.

Islam sebagai agama yang syumul serta menyeluruh ini mampu untuk memberikan panduan dalam memahami ilmu jiwa manusia itu sendiri. Keghairahan dalam mengagung-agungkan tokoh psikologi Barat perlu berasas dan tidak secara membabi buta kerana apabila berlarutan akan membawa pelajar serta pengamal ilmu psikologi ini ke arah kebinasaan, iaitu terperosok ke dalam lubang biawak yang sering diulang-ulang oleh Profesor Malik Badri itu sendiri di dalam buku beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.