4 April 2024, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Detik 1 Syawal pada setiap tahun amat dinanti-nantikan oleh semua Muslim global sebagai detik hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Bagi masyarakat Nusantara, kegembiraan menyambut Aidilfitri diraikan sebagai pesta sehingga sambutan itu turut dirasai oleh masyarakat bukan Islam.

Tidak hanya di Malaysia, masyarakat bukan Muslim sama ada di Indonesia, Singapura, Brunei dan di negara lain turut berbusana Melayu dan meraikannya. Apatah lagi melibatkan bangsa Melayu yang sudah pastinya memperagakan pakaian Melayu pada 1 Syawal untuk menambahkan lagi keindahan menyambut Aidilfitri. Dengan rumah terbuka yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sepanjang bulan Syawal, menyaksikan himpunan orang ramai dengan variasi gaya Melayu begitu mengujkana mata yang memandangnya.

Namun begitu, hal ini tidak berlaku kepada masyarakat di Patani, Selatan Thai kerana sedang berdepan dengan tekanan Akta Darurat yang sudah memasuki tahun ke-21. Sambutan 1 Syawal di sana berlangsung dalam suasana serba sederhana sahaja memandangkan sudah menjadi kebiasaan untuk penduduk Islam di sana meraikan sambutan Aidiladha dengan lebih meriah berbanding dengan Aidilfitri. Acara kemuncak yang menyaksikan kemeriahan Syawal di Patani ialah Sambutan Melayu Raya yang dianjurkan pada 3 Syawal di Pantai Teluban atau nama lokasi tersebut yang diubah kepada nama Thai, iaitu Pantai Wasukri.

Puluhan ribu masyarakat tempatan berpakaian Melayu sambil menonton pelbagai jenis persembahan kebudayaan seperti pidato, puisi dan pelbagai acara pentas diadakan, selain jualan di tepian pantai untuk memeriahkan lagi suasana. Bahkan masyarakat setempat bukan Melayu turut serta dalam acara tersebut. Gambaran golongan belia berbusana Melayu menyaksikan himpunan yang penuh warna-warni dan keindahan itu mendapat pujian kerana selain menonjolkan identiti Melayu, hal ini juga melambangkan sebuah manifestasi etnik mereka di Thailand.

Di balik kemeriahan warna-warni Sambutan Melayu Raya, ada yang tidak senang dengan pesta mengangkat kebudayaan Melayu itu sehingga penganjur acara tersebut diancam dengan tuduhan sebagai mengganggu gugat keselamatan negara.

Busana Melayu Dianggap Cubaan Pisahkan Patani dari Thailand

Para aktivis yang menganjurkan Himpunan Melayu Raya pada Syawal tahun lalu telah mendapat waran panggilan ke Balai Polis Saiburi kerana Bahagian Pentadbiran Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) telah mendakwa mereka dengan kesalahan menerusi Akta 116 Perlembagaan Thailand yang mana jika disabitkan kesalahan bakal dikenakan penjara tidak melebihi tujuh tahun.

Jika disoroti perincian dalam Akta tersebut, kita akan dapati bahawa perkara yang dimaksudkan ialah sebarang tindakan berbentuk paksaan atau kekerasan dengan tujuan untuk merubah undang-undang atau kerajaan, menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat yang memungkinkan tercetusnya situasi tidak aman dalam negara atau untuk mempengaruhi orang awam untuk melanggar undang-undang negara Thailand.

Isu yang berlaku, ketika penulis soroti upacara tersebut didapati bahawa tidak ada satu pun ucapan atau pertunjukan yang dilakukan oleh penganjur itu cuba untuk mempengaruhi masyarakat setempat untuk melawan pemerintah Thailand atau usaha untuk memisahkan Patani dari negara tersebut. Sebaliknya penganjuran himpunan tersebut dilakukan untuk mengingatkan kembali golongan belia Patani bahawa etnik mereka ialah Melayu, selain pengekalan nilai Melayu yang bersendikan syariat Islam.

Selain itu, sembilan orang aktivis penganjur Himpunan Melayu Raya turut didakwa atas dakwaan lain. Antaranya termasuklah cubaan menubuhkan kumpulan rahsia yang boleh mendatangkan mudarat kepada negara, walaupun pertubuhan yang menganjurkan himpunan tersebut merupakan pertubuhan sah yang didaftarkan di Thailand.

Pihak yang mendakwa Himpunan Melayu Raya sebagai platform untuk menubuhkan kumpulan pemisah disifatkan sebagai keterlaluan, bahkan amat bercanggah dengan polisi ISOC serta pemerintah Thai yang cuba untuk mempromosikan keamanan di Selatan berasaskan kepelbagaian kaum sejak tahun 2018.

Wujud Ketidakadilan dalam Budaya Berpakaian?

Persoalannya,  adakah wujud ketidakadilan dalam berpakaian berasaskan budaya di Thailand? Hal ini demikian kerana konsep satu negara, satu identiti yang diperkenalkan sejak zaman Field Marshal Plaek Phipunsongkram sekitar tahun  1941 dengan menetapkan identiti kenegaraan kepada satu jenis identiti dan satu bahasa sahaja. Namun, pada masa yang sama Thailand tidak mampu menafikan kepelbagaian kaum yang ada di negara tersebut. Setakat ini, terdapat lebih 60 kaum dan etnik di Thailand yang secara perlahan-lahan menyaksikan model satu negara, satu identiti semakin tidak relevan dan imej kaum yang pelbagai itu mula diakui.

Jika sekitar 20 tahun dahulu, pemakaian etnik Kayan atau Karen di Utara Thailand yang bersempadan dengan Myanmar dianggap sebagai kuno dan kurang bertamadun, kini berubah menjadi produk pelancongan yang dipromosikan oleh pemerintah Thailand. Situasi ini menjadikan pemakaian gelang besar yang banyak menutupi leher cukup dikenali etnik Karen diiktiraf serta berjaya meningkatkan pendapatan bernilai jutaan Thai Baht  ke negara tersebut.

Pemakaian busana Cina juga meluas di Thailand ketika sambutan Tahun Baru Cina. Masyarakat India pula boleh menyambut sambutan Deepavali sekitar Phahurat di Bangkok serta pelbagai pakaian etnik dipadankan masyarakat Thailand tanpa sebarang ancaman. Pada hakikatnya, pemakaian baju Melayu serta perhiasannya boleh dipakai secara meluas di seluruh Thailand, namun menjadi ancaman jika dipakai di tiga buah wilayah Selatan Thai, khususnya di kawasan asal Negeri Patani Darussalam.

Ketika penulis soroti sejarah Thailand, penulis dapati pemakaian busana etnik selain Thai secara beramai-ramai pernah berlaku, namun kes yang melibatkan tindakan undang-undang tidak pernah wujud. Penganjur Himpunan Melayu Raya yang dikenakan tuduhan di bawah Akta 116 ini boleh dikatakan sebagai kes pertama penganjuran busana etnik yang disabitkan dengan dakwaan jenayah.

Hal ini juga memberikan gambaran bahawa peristiwa yang berlaku di Patani sekarang adalah bercanggah dengan proses rundingan damai. Sambil beberapa pertemuan rundingan damai antara Barisan Revolusi Nasional yang dikatakan mewakili masyarakat Patani dengan pihak pemerintah Thailand berlaku, namun pada masa yang sama pemerintah khususnya mewakili ISOC yang merupakan entiti tentera terus melakukan dakwaan terhadap aktivis setempat.

Justifikasi yang diberikan oleh ISOC yang membuat pendakwaan kepada penganjur Himpunan Melayu Raya ialah kerana terdapat acara pembacaan ikrar dengan peserta acara tersebut membaca ikrar ketika sedang melakukan tabik. Maka mereka mengesyaki bahawa ikrar yang dilafazkan itu berkemungkinan sebuah ikrar untuk membentuk usaha ke arah pembinaan semula Negeri Patani Darussalam. Walau bagaimanapun, apabila diperhalusi, isi ikrar tersebut didapati lebih kepada sebuah tekad belia Patani untuk membangunkan nusa dan bangsa, tanpa ada satu patah lafaz perkataan pun yang menyatakan bahawa mereka akan memisahkan bumi Patani dari negara Thailand.

Bagi negara yang memperlihatkan pihak tentera mempunyai kuasa yang luar biasa serta sikap pihak tentera yang kerap kali melakukan rampasan kuasa, lafaz ikrar tersebut terus dianggap sebagai ancaman keselamatan negara. Akan tetapi, pemakaian busana Melayu, pertunjukan silat atau apa-apa sahaja penzahiran etnik Melayu di lokaliti lain terutamanya di Bangkok langsung tidak mempunyai sebarang masalah.

Bahkan pertunjukan silat pernah dipamerkan di tengah-tengah Siam Square, iaitu satu daripada pusat bandar di Bangkok tanpa sebarang ancaman. Pemakaian busana Melayu atau sebarang himpunan berpakaian berasaskan etnik yang sopan tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Tentera Thai Tidak Memahami Model Perpaduan ?

Dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, pihak ISOC yang mengawal selia tiga wilayah Selatan Thailand dalam suasana penguatkuasaan Akta Darurat yang sudah memasuki tahun ke-21, giat mempromosikan model perpaduan kepelbagaian kaum di kawasan Patani sebagai model penyelesaian konflik dan percanggahan pendapat antara masyarakat Melayu dan Buddha di sana.

Namun begitu, penulis mendapati bahawa model kepelbagaian kaum yang berlaku di Patani oleh pihak tentera Thai terlalu mencampuradukkan elemen agama sehingga berlakunya salah faham dalam kalabngan masyarakat di sana. Antaranya masyarakat Melayu diminta untuk menyertai acara berasaskan agama Buddha sehingga melahirkan fahaman pluralisme agama. Gadis Melayu berhijab diminta untuk mengangkat bahan sembahan dalam acara Hari Wisakha Bucha (Hari Wesak) dan menyediakan lilin untuk sembahan masyarakat Buddha sempena hari Makha Bucha dan banyak lagi tingkah laku yang tidak daapt membezakan antara elemen agama dengan kebudayaan.

Sedangkan Himpunan Melayu Raya pula merupakan himpunan untuk menyambut kemeriahan Syawal sebagai hari kemenangan. Bagi masyarakat bukan Islam yang merayakan acara Melayu Raya, mereka tidak dipaksa untuk berdoa atau melafazkan ikrar seperti peserta yang berbangsa Melayu beragama Islam.

Model perpaduan berasaskan kepelbagaian kaum tidak seharusnya melibatkan perkara yang berkaitan dengan agama, anutan atau kepercayaan. Dalam hal ini, pihak tentera dan ISOC seharusnya mengenal pasti model perpaduan berasaskan kepelbagaian kaum yang tidak menyentuh kepercayaan seseorang. Kaji selidik dan perbincangan harus dilakukan bagi memastikan model yang sesuai dengan sensitiviti di kawasan tersebut.

Jika identiti Melayu dianggap sebagai sebuah usaha pemisahan negara Thai, di samping model perpaduan kepelbagaian kaum yang mencampuradukkan perayaan berasaskan agama, hal tersebut memperlihatkan pihak pentadbir yang mengawal selia bumi Patani serta pihak tentera di sana sebenarnya tidak memahami model yang sesuai dengan masyarakat setempat.

Penulis, Pemerhati Selatan Thai, Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.