10 Oktober 2022, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang – Seramai 14 kumpulan telah menyertai Pertandingan Reka Cipta Bahan Terbuang bersempena dengan Festival Seni dan Alam (FESA), yang telah diadakan pada 5 Oktober 2022, pukul 9.30 pagi di Pentas Budaya, Pekan Kundasang merupakan program yang julung-julung kali diadakan. Pertandingan ini ialah anjuran bersama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan Pejabat Daerah Ranau, Majlis Daerah Ranau dan Pejabat Pendidikan Daerah Ranau.

Pertandingan ini adalah antara pengisian program FESA yang diwakili oleh dua orang pelajar yang melibatkan sekolah menengah di sekitar daerah Ranau dan Kundasang.

Antara objektif pelaksanaan pertandingan ini adalah untuk menyemarakkan sambutan Hari Alam Sekitar Negara dan kemuncak kepada Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 Peringkat Negeri Sabah melalui kegiatan kesenian. Selain itu, mendekatkan dan menjalin sinergi antara DBP dengan khalayak umum dan agensi kerajaan yang terlibat serta mencungkil kreativiti pelajar melalui reka cipta bahan terbuang.

Sekolah Menengah Kebangsaan Kamburogoh yang diwakili oleh Harves Esquuro Elip dan Jordan Nellder dengan hasil reka cipta EFC (Easy Functional Cleaner) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Reka Cipta Bahan Terbuang. Johan menerima hadiah wang sebanyak RM800 dan sijil penghargaan. Reka cipta bahan terbuang yang diberikan nama M-Box dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh diwakili oleh Haneem Syahirah dan Solineka Jasirin sebagai naib johan dengan menerima hadiah wang sebanyak RM600 dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Kamburogoh sekali lagi mendapat tempat ketiga dengan hasil reka cipta Multifunctional Rack yang dihasilkan oleh Ninelvin Ronnie dan Reeve Lioyd Robert. Tempat ketiga membawa pulang wang RM400 dan sijil penghargaan, manakala tiga hadiah sagu hati menerima hadiah wang RM200 bagi setiap kumpulan dan sijil penghargaan ialah kumpulan Sekolah Menengah Kebangsaan Lohan, Sekolah Menengah Kebangsaan Ranau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Datuk Amisah Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik). Turut hadir semasa majlis penutupan ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah, DBP Cawangan Sabah, Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP merangkap Presiden, BAHASA, Encik Jumain Abdul Ghani, Pegawai Daerah Ranau, Encik Jamius Agang, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau wakil kepada Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, pada 7 Oktober 2022 (Jumaat), pukul 9.00 pagi di Pentas Budaya, Pekan Kundasang.

Diharapkan penganjuran pertandingan seumpama ini dapat menyemarakkan semangat cintakan alam sekitar dan bahasa kebangsaan dalam kalangan peserta dan masyarakat secara keseluruhannya di samping meraikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara dan kemuncak DBK 2022 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.