11 Oktober 2022, 18:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih diadakan di Balai Seminar, Wisma DBP semalam bagi meraikan dua karyawan DBP yang disegani, iaitu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBhg. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBrs. Haji Abdul Halim Harun.

Kuala Lumpur – Menempuh hari persaraan sememangnya saat yang akan ditempuhi oleh insan yang melalui tempoh perkhidmatan dalam pekerjaan tertentu. Sudah tentu dengan sekian banyak pengalaman dan pencapaian menjadi satu bingkisan yang amat bermakna bagi individu yang berjaya ke tahap ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghargai kesetiaan dan kesungguhan karyawannya yang telah bertugas dengan cemerlangnya sehingga tiba hari persaraan mereka. Seluruh warga kerja DBP merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBhg. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi dalam Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih yang berakhir pada 12 Oktober 2022, bertempat di Balai Seminar, Wisma DBP, pagi tadi. Majlis ini turut meraikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBrs. Haji Abdul Halim Harun yang akan tamat pada 26 Oktober 2022.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran berkata, kedua-dua karyawan cemerlang DBP ini sewajarnya dijadikan contoh ikutan kepada karyawan, terutamanya dalam kalangan golongan muda, agar legasi kecemerlangan DBP dapat diteruskan dengan jayanya pada masa akan datang.

Menyingkap sejarah 36 tahun berkhidmat di DBP sebagai Penolong Perancang Bahasa di Cawangan Sarawak, YBhg. Dr. Abang Patdeli terus memacu bakat dan kesungguhannya untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan pernah menyandang jawatan Penolong Perancang Bahasa (1990–1996); Perancang Bahasa S41 (1996–2008); Perancang Bahasa S44 (2008–2011); Timbalan Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah (2011–2014); Pengarah DBP Wilayah Tengah (2014–2016); Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan (2016); Ketua Akademi DBP (2017); Ketua Bahagian Buku Umum (2018); Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera (2019); Pengarah Jabatan Penerbitan (2019–2020); Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (2020–2021) dan yang terakhir sebagai Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (2020–2021).

Dalam majlis tersebut, YBhg. Dr. Abang Patdeli berpesan, meniti perjalanan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan, bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap orang mempunyai potensi yang berbeza walaupun mempunyai ruang dan peluang yang sama. Meskipun tahap perjawatan ketika berakhirnya perkhidmatan rendah atau tinggi, setiap daripada kita telah melakukan yang terbaik kepada organisasi.

Kita perlu sentiasa komited dan berusaha untuk meningkatkan keyakinan diri, malah bersedia untuk menempuh apa-apapun cabaran sepanjang bekerja. Tiada masa untuk menoleh ke belakang dan sentiasalah mencari peluang untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran diri.

Demikianlah pesanan yang sempat dititipkan kepada semua warga kerja DBP.

Selamat bersara!

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.