Oleh Mubarak Ismail
18 Oktober 2022, 13:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress telah berlangsung pada 18 Oktober 2022 (Selasa) pada pukul 10.0 pagi di Mardhiyyah Hotel & Suites, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.

Majlis pelancaran ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin.

Menurut Datuk Dr. Radzi dalam ucapannya, mesej yang mahu disampaikan oleh KPM kepada masyarakat adalah berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Bahasa Inggeris. Antara cabaran utama KPM ialah keperluan guru untuk melihat keupayaan setiap murid, mengambil kira jumlah murid di dalam kelas serta kekangan masa pelaksanaan mata pelajaran tersebut. Sehubungan dengan itu, perlu ada pendekatan yang lebih bersesuaian dalam konteks penggunaan teknologi semasa bagi mengoptimumkan PdP Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin sedang menyampaikan ucapan.

“Saya melihat kepelbagaian dan kekayaan teknologi yang boleh kita ambil dalam pasaran bagi membolehkan PdP Bahasa Inggeris dipertingkatkan dalam memperkasakan pendidikan negara. Selain itu, Reading Progress juga merupakan program rintis yang diusahakan oleh KPM dan akan dilaksanakan di 576 buah sekolah di seluruh negara yang akan melibatkan 1188 orang guru pada sesi ini, dan seterusnya akan dikembangkan ke seluruh negara pada awal tahun depan,” ujar Datuk Dr. Radzi.

Tambah beliau lagi, program rintis ini perlu bagi membolehkan KPM melihat sebarang keperluan untuk penambahbaikan proses pelaksanaan program ini. Jika terdapat sebarang kekurangan dan idea penambahbaikan, masyarakat boleh memaklumkannya kepada pihak KPM demi meningkatkan potensi murid-murid.

“Menerusi program Reading Progress ini juga, murid-murid boleh merekodkan pembacaan teks yang disediakan mengikut kemampuan masing-masing sama ada sebutan itu betul atau tidak, namun secara psikologinya, hal ini akan mendedahkan murid-murid kepada pelbagai perkataan dan struktur ayat yang baharu. Justeru, membentuk satu pandangan yang lebih jelas berkaitan keseluruhan ayat yang merangkumi sebutan dan pembacaan. Pada masa yang sama, hal ini memberikan peluang kepada murid-murid untuk meluaskan penguasaan jumlah perkataan dalam bahasa Inggeris,” kata Datuk Dr. Radzi.

Di samping itu, KPM juga menyasarkan untuk melaksanakan transformasi bagi mewujudkan kemudahan perkhidmatan rangkaian Internet di seluruh kawasan sekolah termasuklah di kantin, pusat sumber, asrama dan lain-lain bagi tujuan memudahkan proses PdP di sekolah serta membekalkan peranti dan penggantian peranti baharu menggantikan peranti lama di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

Datuk Dr. Radzi turut berkata, sukatan pelajaran (syllabus) pendidikan yang digunakan pada masa ini yang sering menerima pelbagai kritikan bukanlah baharu dicipta, sebaliknya telah lama dibentuk dan dilaksanakan sejak tahun 2017. Selain itu, sukatan pelajaran pendidikan yang digunakan oleh KPM pada masa ini bukanlah sukatan pelajaran pendidikan miliknya, sebaliknya telah melalui pelbagai proses penilaian dan penggubalan serta menerima banyak pandangan daripada para guru dan golongan pakar yang berkebolehan dalam bidang-bidang tertentu.

Ucap Datuk Dr. Radzi lagi, sukatan pelajaran pendidikan ini tidak boleh ditukar pada setiap tahun kerana akan menyukarkan semua peringkat operasi pelaksanaan terutamanya golongan guru dan murid untuk menyesuaikan diri dengan sukatan pelajaran baharu.

“Pendekatan kita adalah setiap syllabus pendidikan akan dinilai semula selepas berakhirnya satu pusingan. Contohnya, murid darjah satu yang mula menggunakan syllabus pendidikan pada tahun 2017 akan berakhir satu pusingan apabila mereka berada pada darjah enam pada tahun ini. Justeru, syllabus untuk sekolah rendah berakhir pada tahun ini, manakala sekolah menengah sudah berakhir pada tahun lalu. Apabila selesai pusingan ini, KPM akan meneliti semula syllabus pendidikan tersebut. Hal ini sedang dalam proses pelaksanaan dan KPM menghargai pandangan guru dan ibu bapa berkaitan isu syllabus pendidikan ini,” jelas Datuk Dr. Radzi lagi.

“Pendidikan perlu dijauhkan daripada politik serta memerlukan keikhlasan dan kejujuran untuk melaksanakannya supaya mencapai tahap yang terbaik. KPM mahu melihat taraf pendidikan masyarakat kita menjadi lebih baik dan terus relevan untuk PdP semua murid di sekolah pada masa depan,” kata Datuk Dr. Radzi mengakhiri bicara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.