Oleh Suria Janib
18 Oktober 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Dalam Negeri mengadakan kempen besar-besaran dengan memberikan penerangan kepada orang ramai supaya sama-sama menyokong agensi itu terus mengekalkan kepulihan dalam penagihan dadah.

Menerusi Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022, yang diadakan pada siang tadi, AADK membawa beberapa orang bekas penagih yang berjaya dipulihkan menerusi kaedah rawatan dan pemulihan yang dijalankan oleh agensi itu.

Raja Mohd. Zulkifli Raja Said cuba membantu klien pulih diri dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan sasaran.

Pembimbing Rakan Sebaya AADK, Raja Mohd. Zulkifli Raja Said ketika ditemu bual oleh Sidang Editor Dewan Masyarakat berkongsi pengalaman tentang kejayaannya mengendalikan program kepulihan kepada klien AADK. Beliau yang pernah berkhidmat dalam agensi tersebut pada tahun 2005 di Negeri Sembilan mengakui mengambil tanggungjawab yang berat dalam usaha membantu memulihkan kliennya.

Katanya,

AADK banyak membantu dan memberikan sokongan kepada saya untuk meneruskan khidmat sosial ini dengan menghantar saya mengikuti kursus pemulihan jati diri termasuklah melibatkan saya dalam kursus program neurolinguistik, iaitu kaedah ini banyak digunakan oleh pakar motivasi ternama untuk merawat klien.

Kejayaan cemerlang beliau yang banyak membantu memulihkan kliennya membawa dirinya pada tahap yang lebih tinggi. Menurutnya, AADK menyarankannya untuk melebarkan usahanya secara individu dan tidak terikat dengan agensi itu.

Apabila saya menyertai AADK, seolah-olah saya berada dalam zon selesa, namun demikian setelah bergerak sendiri, peluang melakukan khidmat sosial lebih terbentang luas. Dengan bantuan AADK, saya berjaya menubuhkan syarikat konsultan yang menyediakan kem motivasi dan latihan bina insan kepada pihak swasta dan jabatan kerajaan.

Gerakan kepulihan klien beliau kini tertumpu di Felda Keratong, Pahang bagi projek pembangunan ekonomi belia di komuniti tersebut. Beliau melihat kesan yang dibawa pada era pandemik COVID-19 dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan suatu ketika dahulu, banyak belia yang kehilangan punca pendapatan atau hilang pekerjaan.

Beliau mengakui dengan bantuan AADK, beliau berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi belia seperti memperkenalkan bidang penternakan haiwan, pertanian dan perniagaan.

Katanya,

Saya hanya bertindak sebagai pendorong kepada belia yang berminat untuk menceburi pelbagai bidang ekonomi yang disokong oleh AADK. Saya pernah melalui kehidupan yang ‘sangat bermasalah’ (ketagihan dadah) di kampung, jadi satu cara untuk menebus ‘dosa’ ini adalah dengan melakukan pembangunan ekonomi yang bermanfaat untuk komuniti belia setempat.

Setiap minggu beliau akan menjadi konsultan AADK untuk membantu klien AADK dengan memberikan galakan kepada mereka untuk menceburi pelbagai bidang ekonomi di samping berusaha ke arah penetapan sasaran kepulihan daripada penagihan dadah.

Beliau berharap setiap komuniti dan ahli masyarakat perlu mengambil tahu atau mengambil berat terhadap kelompok di persekitaran mereka. Misalnya, sebarang penyalahgunaan dadah yang berlaku di sekeliling mereka perlu dilaporkan segera kepada AADK. “Sekiranya semua orang mengambil berat terhadap permasalahan ini, sekurang-kurangnya gejala penagihan dadah dapat dibendung,” katanya lagi.

Seorang lagi bekas penagih dadah, Ee Hua Siew @ Andrew Ee, pelopor Pusat Pemulihan Dadah Persendirian Exodus Home Wanita berkongsi pengalaman pahitnya yang terpaksa menghabiskan masa remajanya dengan penagihan dadah sehingga beliau ditempatkan di pusat pemulihan dadah di Tampin selama setahun setengah.

“Mereka berhak menerima kehidupan yang lebih baik” – Ee Hua Siew @ Andrew Ee.

Pengalaman yang pahit ini telah menyedarkan beliau untuk melakukan aktiviti sosial dengan membantu memulihkan klien AADK. Hasil inisiatif beliau bersama-sama isterinya, Puan Bertha Hutagalung dapat menubuhkan pusat jagaan dan perlindungan wanita untuk membantu warga emas, ibu tunggal, pesakit psikiatri, remaja bermasalah dan anak yatim piatu.

AADK juga banyak membantu beliau menguruskan pusat pemulihan tersebut dengan jayanya, menjadi aktivis masyarakat yang aktif, dilantik sebagai ahli jawatan kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan sering membantu pelajar yang bermasalah terutama daripada penagihan dadah.

Katanya,

Saya gembira dapat membantu pelajar menjadi anak yang baik, mahu kembali ke sekolah dan saya sentiasa bersedia berkhidmat bersama kaunselor di sekolah.

Beliau mengakui masih banyak wanita di luar sana yang memerlukan bantuan. Oleh itu, beliau dan isterinya terpanggil untuk memberikan khidmat masyarakat yang memerlukannya.

Walau bagaimanapun, beliau berharap supaya semua masyarakat sentiasa prihatin dan bersatu padu dapat mencapai misi dan visi AADK #Dadah Terkawal 2025. Bagi mereka yang sudah menagih, perlulah segera membuat rawatan supaya dapat dipulihkan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.