Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Sudut Bacaan Jabatan/Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah Tahun 2022 telah disempurnakan oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, pada 26 Oktober 2022 di Reruai, DBP Cawangan Sabah.
Bersempena dengan kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK), penganjuran bersama antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Persekutuan dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah adalah untuk menyedarkan dan menarik minat terhadap budaya membaca dalam pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Puan Aminah dalam ucapan alu-aluannya, pertandingan ini mula dilaksanakan pada tahun 2019 dengan kategori Jabatan/Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.
Sebanyak 15 buah jabatan/agensi di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran menyertai pertandingan ini dan sesi penilaian melalui kunjungan ke jabatan/agensi yang dilaksanakan pada 20 hingga 22 September 2022.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Cawangan Sabah telah dinobatkan sebagai penerima tempat pertama dengan menerima hadiah bernilai RM1500, serta sijil penyertaan.
Bagi tempat kedua pula dimenangi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sabah dengan hadiah bernilai RM1000 dan sijil penyertaan, manakala Kementerian Pertahanan Malaysia Cawangan Sabah pula berjaya meraih tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah bernilai RM500 berserta sijil penyertaan.
Hadiah sagu hati bernilai RM300 dan sijil penyertaan disandang oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Penjara Wanita Kota Kinabalu dan INTAN Kampus Sabah. Pada masa yang sama, sebanyak sembilan buah jabatan/agensi turut menerima sijil penyertaan dan sumbangan buku terbitan DBP.
Terdahulu, pada tahun 2020 pula, akibat negara dilanda pandemik COVID-19, pertandingan tersebut telah dilaksanakan secara dalam talian dengan kategori Sudut Bacaan di Rumah. Pada tahun 2021, pertandingan ini diteruskan secara dalam talian dengan kategori Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Kota Kinabalu.