1 November 2022, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Sebanyak 6611 graduan tahun 2021 bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan berlangsung selama lima hari di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, 70 peratus graduan adalah dalam kalangan B40 atau pelajar susah, malah ada yang tinggal di pedalaman dan mereka mempunyai kisah luar biasa dalam perjalanan menggenggam ijazah demi mengubah nasib dan masa depan.

Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah, Naib Canselor UUM.

“Universiti berjaya mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan saya yakin cerita sebegini jika diangkat dalam media akan memberikan inspirasi kepada beribu-ribu lagi mereka yang sedang belajar kerana media mempunyai sentuhan luar biasa.

“Saya harap rakan media sentiasa bersama-sama UUM. Kita merupakan sebahagian atau satu daripada anggota untuk membangunkan anak bangsa,” ucapnya pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM di Dewan Mayang Emas, The Jerai Hotel, Alor Setar, pagi tadi.

Ujarnya, daripada jumlah graduan (tidak termasuk penerima Ijazah Kehormat) berkenaan, 5537 merupakan graduan sarjana muda dan 1074 graduan pascasiswazah.

Daripada jumlah graduan pascasiswazah, sebanyak 227 merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan (2), Doktor Pentadbiran Perniagaan (30), Ijazah Sarjana (691) dan Diploma Pascasiswazah (124).

Profesor Dr. Haim Hilman (3 dari kanan) ketika berucap dalam sidang media sempena Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM.

Majlis konvokesyen ini juga meraikan 393 graduan antarabangsa dari 28 negara, yakni Indonesia mencatatkan jumlah teramai, iaitu 117 graduan, diikuti China (82) dan Pakistan (43).

“Majlis konvokesyen ini menyaksikan seramai 868 graduan (13.12%) dari Ijazah Sarjana Muda mendapat Ijazah Kelas Pertama.

“Kita turut menyatakan kegembiraan bahawa pencapaian kebolehpasaran graduan (GE) UUM telah mencapai 84 peratus, sekali gus meletakkan satu standard yang baik kepada para majikan,” ujarnya.

Pada majlis konvokesyen kali ini, UUM mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan ICT) kepada Tan Sri Dr. Halim Shafie dan Ijazah Kehormat Sarjana (Pengurusan Operasi) kepada Dato’ Che Azmi Murad.

Canselor UUM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah akan menyampaikan ijazah kehormat kepada kedua-dua tokoh tersebut pada sesi pertama, 6 November 2022 (Ahad).

Dalam perkembangan yang sama, seramai 955 graduan dipilih untuk menerima 31 anugerah utama universiti, termasuklah anugerah baharu diperkenalkan, iaitu Anugerah Kecemerlangan PTPTN.

Sempena Majlis Konvokesyen UUM Ke-34, Pesta Konvokesyen (PESKON) dengan tema “#INIUUMKITA: Kenangan Tercipta” akan berlangsung dari 3 hingga 11 November 2022 mulai pukul 9.00 pagi hingga 11.00 malam di Tapak Ekspo, Padang Kawad PALAPES dan sekitar UUM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.