3 November 2022, 22:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pada 3 November 2022 bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan program Dr. Radzi Jidin Bersama-sama Warga Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini dihadiri oleh warga KPM yang terdiri daripada wakil bahagian dan agensi di bawah KPM.

Ketibaan YB Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bersama-sama isteri, YBhg. Datin Balqis Zakaria turut diiringi barisan pengurusan tertinggi KPM, antaranya Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs. Tuan Ramzi Mansor; Mantan Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Gazali Abas dan Mantan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Mohamed Abu Bakar.

Datuk Dr. Radzi Jidin memulakan bicara dengan mengimbau kembali tarikh keramat 9 Mac 2020 dilantik sebagai Menteri Kanan Pendidikan.

Memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Pendidikan, bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Jawatan ini merupakan amanah yang sangat berat kerana perlu bertanggungjawab kepada lebih lima juta murid, perlu bertanggungjawab kepada lebih 500 ribu orang guru dan kakitangan, dan perlu bertanggungjawab kepada  lebih 10 ribu buah sekolah di seluruh negara.

Sebagai seorang menteri, beliau bukanlah seorang yang cerewet, namun merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan telus. Sebagai seorang ketua, beliau perlu mengajar pegawainya menjadi orang yang berani membuat sesuatu mengikut peraturan dan perlu teliti dalam menghasilkan dokumen.

Tegas YB Datuk Dr. Radzi Jidin,

Setiap pegawai perlu sentiasa cakna akan keberadaan mereka sebagai seorang pekerja. Setiap pendekatan yang diambil oleh KPM adalah untuk membawa budaya baharu di kementerian supaya dihormati oleh masyarakat luar.

Menurut beliau, membuat dasar itu mudah, namun untuk memastikan dasar itu diterima oleh rakyat bukanlah sesuatu yang mudah. Perkara yang paling penting adalah untuk memastikan kepercayaan rakyat berada pada tahap yang paling tinggi. Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama berganding bahu menjayakan pelaksanaan dasar tersebut.

Dalam ucapan alu-aluan, YBhg. Datuk Yusran Shah mengatakan bahawa penganjuran program ini adalah sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti yang dicurahkan oleh barisan kepimpinan yang diterajui oleh YB Menteri Kanan Pendidikan, terutamanya dalam usaha untuk meletakkan KPM sebagai sebuah kementerian yang efisien, berintegriti dan berwawasan.

Penganjuran majlis ini bukan sahaja untuk merakamkan penghargaan atas jasa dan sumbangan YB Datuk Dr. Radzi Jidin terhadap transformasi pendidikan negara. Selain itu, KPM turut menghargai jasa pemimpin yang bersama-sama membawa pendidikan negara melalui liku-liku cabaran, terutamanya sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara.

“Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada pengurusan tertinggi KPM yang telah membawa kecemerlangan kepada KPM dalam bentuk transformasi yang telah dilaksanakan. Saya mengharapkan agar warga KPM terus memberikan komitmen yang tinggi untuk terus menjalankan amanah sepertimana yang diberi tunjuk ajar oleh YB Menteri Kanan Pendidikan,” ujar YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Pada masa yang sama, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut menitipkan nasihat buat warga dewan agar bergerak sehaluan dan memastikan segala yang dirancang berjalan dengan baik, sistem pendidikan akan menjadi jauh lebih baik. Lonjakan yang telah dilaksanakan dalam dua setengah tahun yang lepas menunjukkan bahawa KPM berada dalam landasan yang baik.

Menariknya, majlis turut diserikan dengan rakaman video kecemerlangan KPM sepanjang tahun 2022, iaitu Johan Pertandingan Perbarisan Antara Kementerian bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan yang Ke-65 dan Penarafan 5 Bintang bagi Program Keceriaan Hari Kebangsaan Antara Kementerian Tahun 2022. Selain itu, persembahan lain turut diadakan seperti lagu puisi, lagu kanak-kanak dan persembahan istimewa daripada Datuk Ramli Sarip.

Sumber foto: KPM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.