Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRibuan pengunjung memeriahkan Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen (PESKON) kali ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM) bertempat di Padang Kawad PALAPES, UUM, malam tadi.
Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, majlis ini amat bermakna bagi meraikan 6611 mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian, sekali gus telah melahirkan pelapis pemimpin negara.
Saya berbangga dengan pelaksanaan konvokesyen pada kali ini yang diketuai oleh Pengarah PESKON, Muhammad Alif Haikal Amran melibatkan seramai 161 pelajar sebagai perancang, pengurus dan pelaksana. UUM akan terus melahirkan graduan dan pelapis pemimpin masa hadapan.
“Kutiplah pengalaman menganjurkan pesta ini sebagai asas kepada kalian untuk menjadi pemimpin kerana menganjur program sebegini bukanlah mudah, pastinya memerlukan komitmen, kesungguhan dan paling penting ketaatan kepada ketua kita, serta pengalaman yang ditimba akan menjadi satu pengajaran dan nilai tambah.
Beliau teruja apabila berpeluang untuk melihat anak-anak, ibu bapa dan warga universiti dalam usaha merapatkan hubungan antara satu sama lain, persahabatan serta mengimbau kenangan sepanjang bergelar keluarga besar UUM ini.
“Program seumpama ini amat bermakna, maka mahasiswa diseru agar menjaga disiplin dan nama baik universiti supaya pengunjung akan terpesona dengan adab dan budi bahasa, selaras dengan moto UUM, iaitu ‘Ilmu, Budi, Bakti’ yang dijulang tinggi,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi perkembangan terkini Times Higher Education (THE) World University Rankings 2023 yang melaporkan UUM sebagai universiti media terbaik dan berada pada kedudukan ke-70 antara universiti terbaik Asia.
“Kejayaan ini merupakan kejayaan kita semua, seterusnya kita sama-sama berusaha menjadi yang terbaik di Malaysia,” tambahnya sejurus sebelum penyempurnaan gimik perasmian.
Sementara itu, Muhammad Alif Haiqal berkata, PESKON diadakan sempena Majlis Konvokesyen UUM Ke-34 yang berlangsung pada 3 hingga 11 November 2022 mulai pada pukul 9.00 pagi hingga 11 malam di Tapak Ekspo, Padang Kawad PALAPES dan sekitar UUM.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Pertandingan Paintball, Harry Potter Run, Pertandingan Nasyid, Pencarian Daie Dan Muazzin, Ketuk-Ketuk PESKON, Malam Cinta Rasul, ekspo niaga dan yang paling dinanti-nantikan adalah persembahan daripada barisan artis tanah air.
PESKON yang mengangkat tema “#INIUUMKITA: Kenangan Tercipta” merupakan satu program istimewa yang dibawa khas bagi meraikan graduan yang berjaya menamatkan pengajian.
Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Menurutnya, setiap usaha dan kegigihan dapat melahirkan graduan yang kompetitif dan mampu menyumbang kepada negara.
Beliau juga berharap agar program yang dilaksanakan ini dapat memberikan pengalaman baharu kepada semua sekretariat dalam mengendalikan program yang melibatkan dif-dif kehormat dan artis seiring meningkatkan kemahiran komunikasi antara pelajar dengan pihak luar.