Oleh Normasiska Noor
17 November 2022, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Program Pendidikan Pintar Cerdas (PPPC) merupakan satu daripada inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Menerusi program ini, murid yang mengikuti PPPC akan mendapat akses kepada pengajaran dan pembelajaran khusus dan luwes daripada pakar dalam memperkembangkan lagi potensi mereka secara optimum. Pelaksanaan PPPC juga merupakan satu daripada usaha untuk membangunkan modal insan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berdaya saing pada peringkat global.

PPPC menjadi antara program yang penting kepada perkembangan sistem pendidikan Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana inisiatif dalam program ini memberikan perspektif baharu kepada laluan pendidikan murid yang mencapai tahap IQ melebihi 130. Dalam hal ini, murid pintar cerdas merujuk murid yang memiliki dan menunjukkan potensi serta pencapaian yang sangat menyerlah melebihi murid sebaya dalam satu daripada aspek sama ada intelek, kreativiti, kemahiran, kerohanian atau gabungan aspek tersebut melalui satu atau lebih disiplin ilmu atau bakat tertentu.

Menerusi PPPC, murid pintar cerdas akan menerima pendidikan yang disusun bersesuaian dengan tahap kepintaran mereka melalui kurikulum yang digubal bagi mengambil kira aspek pengayaan, pecutan dan mampatan. Program ini juga turut memberikan penekanan kepada peningkatan profesionalisme guru-guru di Malaysia. Dalam hal ini, Akademi Sains Pendang (ASP) yang merupakan sekolah pertama khusus untuk murid pintar cerdas di bawah tadbir urus KPM sepenuhnya. Pembukaan sekolah ini telah berjaya memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada barisan guru-guru dalam mengajar murid yang mempunyai skor IQ 130 dan ke atas. Program ini juga akan membuka laluan pendidikan kepada murid pintar cerdas ke peringkat tertinggi dan diharapkan hingga ke peringkat Anugerah Nobel Laureate.

Sepanjang tempoh 2021, KPM memberikan fokus kepada tiga perkara utama dalam PPPC, iaitu:

  1. Latihan dan Perkongsian Ilmu
  2. Pengoperasian PPPC Kohort Pertama
  3. Pencarian Murid Pintar Cerdas

 

Dalam Laporan Tahunan 2021 PPPM 2013-2025, KPM telah menyenaraikan tiga pencapaian yang membanggakan, iaitu Latihan dan Perkongsian Ilmu; Pengoperasian PPC Kohort Pertama; dan Pemilihan Murid Pintar Cerdas.

Menerusi Latihan dan Perkongsian Ilmu, Latihan Guru dan Jurulatih Utama PPC, Seramai 19 orang guru yang dikenal pasti telah diberikan latihan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan lapan kali latihan melibatkan lapan modul. Sebanyak 30 orang Jurulatih Utama (JU) turut diberikan pendedahan oleh 14 JU kohort pertama yang menerima latihan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebanyak lapan modul latihan berkenaan termasuklah Modul 1: Pengenalan kepada Pendidikan Cerdas dan Berbakat; Modul 2: Pencarian dan Pengurusan Pintar Cerdas; Modul 3: Pembinaan Kurikulum Pintar Cerdas; Modul 4: Pedagogi Murid Pintar Cerdas dengan Kaedah Terbeza; Modul 5: Pengukuran dan Penilaian dalam Pintar Cerdas; Modul 6: Pengurusan Organisasi Murid Pintar Cerdas; Modul 7: Isu dan Sokongan Psikologi/Kaunselor Murid Pintar Cerdas; dan Modul 8: Amal.

Sementara itu, Pengoperasian PPPC Kohort Pertama juga menyaksikan pendaftaran murid ke ASP, iaitu pada tahun 2021, dengan jumlah sebanyak 47 orang murid daripada 70 orang murid kohort pertama yang ditawarkan telah melaporkan diri pada 18 April 2021. Ambilan kedua pula menyaksikan sebanyak 41 orang murid daripada 47 orang murid telah mendaftar di ASP, iaitu pada 24 Julai 2021 secara dalam talian. Pada keseluruhannya, sejumlah 88 orang murid Asas 1 telah mengikuti pembelajaran di bawah program ini di ASP.

Pada tahun 2021, dalam pemilihan Murid Pintar Cerdas menyaksikan proses mengenal pasti murid untuk mengikuti PPPC berfokuskan murid yang layak di kawasan utara Malaysia berdasarkan faktor lokasi tempat tinggal dan kekeluargaan mereka. Dalam Laporan Tahunan 2021 PPPM 2013-2025 pula, KPM berusaha untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan PPPC agar apa-apa yang dihasratkan mampu dicapai oleh negara. Maka itu, KPM akan terus membangunkan Model Pendidikan Pintar Cerdas yang bersesuaian dengan keperluan murid- murid bagi menjamin kelestarian PPPC. Pada tahun 2022, Kementerian terus menambah baik aspek pembangunan dan pelaksanaan PPPC melalui:

Penyebarluasan PPPC bagi Pemilihan Murid Pintar Cerdas:

Program ini akan disebarluaskan kepada semua jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi memastikan kefahaman pada semua peringkat KPM. Pada tahun 2022, dua buah negeri dipilih bagi tujuan Townhall, iaitu Sabah dan Sarawak yang akan melibatkan 24 buah PPD di Sabah dan 31 buah PPD di Sarawak. Tujuan utama townhall adalah untuk memberikan kefahaman kepada pihak sekolah, dan ibu bapa dan murid tentang kepentingan murid menduduki Ujian Saringan IQ; menggalakkan penyertaan murid untuk menduduki ujian bagi negeri yang terpilih.

Pembangunan Pelan Hala Tuju Program Pintar Cerdas:

Meneroka pelbagai pendekatan dalam memastikan persediaan masa hadapan bagi PPPC, iaitu dengan meneroka laluan pendidikan murid pintar cerdas dan peningkatan profesionalisme guru serta pentadbir; dan membangunkan kerangka pelan hala tuju PPPC yang dipersetujui dan akan diluluskan oleh Pengurusan Tertinggi KPM.

Pembangunan Modul-modul latihan dan Modul Pembelajaran Asas 1:

Pembangunan modul latihan dan pembelajaran bagi persediaan tahun 2026 akan terus diberikan tumpuan menerusi pelaksanaan program tanpa kebergantungan pada pihak luar yang melibatkan Pembangunan Modul Latihan Guru; Pembangunan Modul Latihan Pentadbir dan Pembangunan Modul Pembelajaran Murid Asas 1.

PPPC berada pada landasan yang tepat dalam usaha negara menyediakan akses pendidikan yang paling berkesan untuk pelajar pintar cerdas. Generasi hebat ini semestinya memerlukan sokongan yang padu dan laluan yang jelas untuk mengasah bakat dan kepintaran mereka agar negara dapat meletakkan mereka sebagai insan yang menyinari pembangunan dan kemajuan negara pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.