Oleh Aninah Janang
18 November 2022, 22:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang


Dari pentas bersaiz mega, khemah di tepi jalan, lori bergerak, serta lawatan dari pintu ke pintu rumah hingga ke gerai makan dan pasar malam, perang kempen secara bersemuka dan menerusi media sosial oleh 945 calon yang disahkan layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akhirnya sampai ke garisan penamat. Tepat pukul 12.00 tengah malam ini, berakhirlah tempoh 14 hari berkempen yang diperuntukkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada semua calon dan parti yang bertanding.

Janji sudah dilaungkan. Manifesto sudah diperincikan. Esok, bermula pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang (di Sabah dan Sarawak) dan 8.00 pagi hingga 6.00 petang (di Semenanjung), sebanyak 20 905 366 20 orang pengundi akan menentukan siapakah yang layak merebut 221 kerusi Parlimen (satu kerusi, iaitu Parlimen Padang Serai ditunda ke tarikh pengundian baharu, iaitu pada 7 Disember 2022) seterusnya membentuk kerajaan.

Antara pemimpin utama parti yang bersaing dalam PRU-15.

Sebanyak 441 calon akan bersaing untuk merebut 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 Bugaya, Sabah. Bagi kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon paling ramai, iaitu 206 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (178), Perikatan Nasional (PN) (149) dan Pejuang (116). Parti Warisan Sabah (Warisan) meletakkan 52 calon, Gabungan Parti Sarawak (31), PAS (22), Parti Rakyat Malaysia (16), Gabungan Rakyat Sabah (13), Parti Sarawak Bersatu (10), Putra (9), DAP (8), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (7), Muda (6), Parti Bangsa Malaysia (5) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (3).

Selain itu, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Sedar Rakyat Sarawak, Parti Sosialis Malaysia, Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Parti Bumi Kenyalang dan Parti Utama Rakyat pula masing-masing mempunyai seorang calon kerusi Parlimen. Jumlah calon Bebas yang bertanding adalah sebanyak 108 orang. Jumlah ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah PRU negara.

Negeri Selangor yang mempunyai 22 kawasan Parlimen merekodkan jumlah calon Parlimen paling banyak, iaitu 124 orang, diikuti dengan Sabah (119), Perak (100), Johor (96), Sarawak (92), Kedah (68), Kelantan (63), Pulau Pinang (58), Pahang (55), Kuala Lumpur (52), Negeri Sembilan (35), Terengganu (33), Melaka (25) dan Perlis (13), manakala Putrajaya dan Labuan masing-masing mempunyai enam calon.

Bagi kerusi DUN, Perak mendahului senarai calon tertinggi dengan 220 orang diikuti Pahang (150), Perlis (64) dan tujuh calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah. BN mempertandingkan sebanyak 117 calon bagi kerusi DUN; PN dan PH masing-masing mempertandingkan 116 calon; Pejuang (45); Warisan (18); dan Bebas (24).

SPR menetapkan hari pengundian PRU-15, pada esok, 19 November 2022 dan pengundian awal pada 15 November lalu. Menurut Daftar Pemilih yang dikemas kini SPR hingga 9 Oktober 2022, sebanyak 21 173 638 orang pemilih yang layak mengundi pada PRU-15. Mereka terdiri daripada 20 905 366 pengundi biasa; 146 737 anggota tentera serta pasangan; 118 794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.