Oleh Aninah Janang
20 November 2022, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selepas tidak ada mana-mana parti yang berjaya meraih majoriti dan membentuk kerajaan, hari ini akan menjadi hari yang penting untuk parti yang berjaya memenangi kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Parti yang dijangka menjadi tumpuan pastinya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) apabila kedua-dua parti ini bakal menjadi pelengkap majoriti parti yang akan membentuk kerajaan.

Dalam hal ini, menjadi tanda tanya, adakah GRS dan GPS akan menerima tawaran daripada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi jumlah terbesar 82 kerusi Parlimen, diikuti dengan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi dan Barisan Nasional (BN) dengan 30 kerusi.

Menurut Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, parti tu akan bekerjasama dengan GPS untuk membentuk “Blok Broneo” untuk melengkapkan parti yang akan memerintah. Kerjasama ini katanya, penting untuk memastikan kepentingan Sabah dan Sarawak terus terpelihara. Sementara itu, bagi Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, pihaknya belum membuat keputusan untuk bekerjasama dengan parti gabungan parti di Semenanjung bagi membentuk kerajaan. Ujarnya, apa-apa pun kerjasama yang akan termeterai, GPS akan memastikan perkara tersebut akan memihak kepada kepentingan rakyat Sarawak.

Bagi PH dan PN, masing-masing menjelaskan bahawa kedua-dua parti ini akan membentuk kerajaan dengan gabungan parti yang menang, khususnya di Sabah dan di Sarawak. Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang medianya turut menyatakan bahawa PN akan berbincang dengan parti di Sabah dan di Sarawak  untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Pada masa yang sama, gabungan itu juga terbuka untuk menerima mana-mana parti yang boleh menerima prinsip perjuangan PN untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan PH.

“Kami akan mengadakan perbincangan esok (hari ini) dan harap esok petang, kami boleh memuktamadkan keputusan kami,” ujarnya dalam sidang media di Shah Alam awal pagi ini. Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima surat dari Istana Negara namun enggan mendedahkan kandungannya.

Sementara itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula menjelaskan bahawa PH mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan. Beliau menyatakan bahawa PH mempunyai sokongan 111 atau 112 untuk membentuk kerajaan. Walau bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, PH belum mendedahkan rakan kerjasama yang dimaksudkan kerana menurutnya perkara itu hanya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan PRU-15 menyaksikan Parlimen tergantung dengan PH (82), PN (73 ), BN (30), GPS (22), GRS (6) dan Lain-lain (6).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.